Bertukar tangan…

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua pengunjung laman ceritahaziq? Terima kasih kerana menjenguk dan singgah di laman ini yang dah hampir lama juga tak sempat dijenguk. Harap-harap tidaklah sampai berlumut….hehehe. Entri kali ini mama nak kongsikan luahan hati tatkala Super Haziq mama bertukar pengasuh sekali lagi. Apa sudah jadi?

Kalau nak dipanjangkan cerita, nanti mama yang kusut jadi mama mudahkanlah cerita supaya tak pening yang nak membacanya kan….Peristiwa berlaku hanya 3 hari lalu. Mama hantar dan ambil Super Haziq seperti biasa. Tiada sebarang kelainan yang mama kesan pada pengasuh. Berbual seperti biasa dan tidaklah mama menganggap sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku. Sudahlah sejak hampir dua minggu mama serabut dengan sedikit masalah berkaitan kereta…rupanya muncul pula satu masalah baru. Masalah lama belum selesai, masalah baru mula menyapa….

Malam itu, kira-kira jam 11.30 malam mama dapat penggilan dari pengasuh yang menangis-nangis menyatakan tak dapat nak jaga Super Haziq. Terdiam, terkesima dan terkedu mama seketika. Pada waktu itu? Tengah malam? Aduh…..makin serabutlah mama dibuatnya…..Apa sebabnya biarlah menjadi rahsia kami namun panggilan itu sebenarnya menyebabkan mama tawar hati. Entahlah….Lantas mama berbincang dengan Super Ayah. Kami hanya punya satu pilihan iaitu mengharapkan ehsan pengasuh lama iaitu Ibu Aisyah untuk menjaga Super Haziq. Mama yakin Ibu Aisyah pasti berbesar hati untuk menerima Super Haziq kerana punya pengalaman 3 tahun menjaga Super Haziq sebelum berpindah tangan ke pengasuh baru. Lagi pula, perpindahan dahulu adalah kerana masalah kesihatan, bukan kerana masalah lain….Tawakkal sahajalah…tengah-tengah malam itu juga mama call Ibu Aisyah dan menceritakan masalah yang mama hadapi. Sungguh!!Rezeki Allah itu Maha Luas, dan Ibu Aisyah seperti menadah tapak tangan untuk menerima Super Haziq semula. Mama tahu Ibu Aisyah dan suaminya memang sayangkan Super Haziq. Mana tidaknya…lama sikit tak bawa Super Haziq bertandang ke rumah mereka, pasti abahnya sudah rindu-rinduan…..

Maka bermulalah episod Super Haziq kembali ke rumah Ibu Aisyah. Setengah hari juga mama di sana untuk menerangkan semula kaedah penjagaan Super Haziq, waktu susunya, waktu makannya, menu makannya, waktu mandinya dan sebagainya. Alhamdulillah…’bonding’ di antara dua insan ini sememangnya kuat. Alhamdulillah Super Haziq tidak meragam, mudah dijaga walaupun ibunya turut menjaga 8 orang anak jagaan lain. Alhamdulillah…anak-anak yang lain juga behave dan seolah mengerti kondisi Super Haziq. Tiada yang mengusik atau menyebabkan air mata Super Haziq menitik. Alhamdulillah!! Mama dan Super Ayah bisa menarik sedikit nafas lega……Betapa sukar mahu mencari pengasuh yang sudi mengasuh anak-anak syurga ini dan bukan calang-calang pengasuh yang dapat memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi untuk anak yang tidak sempurna pada pandangan mata manusia. Memang Allah Maha Besar…….Dia Maha Mengetahui apa yang kami perlukan, bukan apa yang kami mahukan!Allahuakbar!

Mudah-mudahan Super Haziq kekal dengan Ibu Aisyah kerana mama punya perancangan lain bila Super Haziq di bawah penjagaan Ibu Aisyah dan semoga perancangan ini akan berjaya dengan izin Allah jua.

 

dialah hartaku paling berharga

dialah hartaku paling berharga

Klinik genetik, sedekah dan sebuah impian….

Assalamualaikum…..

Yeah!! akhirnya mama berjaya membuat coretan tentang perjalanan temujanji Super Haziq di Klinik Genetik HKL pada 11 Mac yang lalu.  Sudah beberapa hari berlalu baru mama dapat coretkan. Paling tidak, rakaman perjalanan tersebut masih segar dalam kotak ingatan mama kan….Memikirkan badan yang masih sakit-sakit ketika hendak memulakan perjalanan, ada terdetik juga di hati mahu membatalkan perjalanan kerana tubuh yang tidak cergas sebagaimana biasa, namun tatkala memikirkan keadaan fizikal yang berlaku ialah kesan mencari kepuasan untuk diri sendiri, maka kenalah korbankan kepentingan diri demi insan dikasihi. Flashback apa yang membuatkan tubuh mama begitu lesu dan tak berdaya rasanya…………..

Tiga hari sebelum perjalanan ke HKL, mama bersama seorang teman menghadiri conference di Semenyih. Hari pertama perjalanan, hari kedua conference dan hari ketigalah segalanya bermula. Sebelah paginya mama memanjat Bukit Broga tanpa proper training, cuma berbekalkan semangat dan impian setinggi gunung. Akhirnya berjaya menawan 3 puncak walaupun pada awalnya nak sampai ke puncak pertama pun bagaikan hampir terputus nafas! Alhamdulillah! Selesai turun, kami bergerak ke Kuala Lumpur, kononnya mahu menyertai program anak-anak muda Dapur Jalanan untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah berjaya dan malam itu juga kami bertolak pulang ke JB. Sampai di rumah kira-kira jam 1.30 pagi, bersembang sekejap dengan Super Ayah dan kemudiannya terus melabuh badan. Esoknya???Terus sakit-sakit seluruh badan dan mama hanya ada lebih kurang sehari untuk berehat kerana jam 3 pagi esoknya bakal memulakan perjalanan ke HKL. Bayangkan pagi ini sampai di JB dan pagi esoknya bergerak ke KL dalam keadaan seluruh badan sakit-sakit. Mahu tak mahu, dengan kerut seribu gagahkan jugalah tubuh. Kebetulan pula Super Kakak dah mula menunjukkan tanda-tanda demam dan akhirnya menjadi kenyataan. Meskipun demam, semuanya mama bawa sekali ke HKL.

Kami bertolak jam 3 pagi kerana mahu santai-santai kononnya memandangkan temujanji jam 10.00 pagi. Sampai di terowong  Smart, kenderaan semakin perlahan kerana kesesakan kenderaan memasuki kawasan bandar. Tiba-tiba…”pommmmm”. Berderau darah seketika. Di belakang kami kereta polis. Di belakangnya pula sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilanggar dari belakang. Mengurut-ngurut dada mama terkejut. Kami teruskan perjalanan dan seperti biasa, Super Ayah turunkan kami di bangunan Institut Kaji Hayat di mana klinik genetik beroperasi. Sementara atau kekal di situ, wallahua”lam. Kemudian Super Ayah terpaksa park kereta di tempat lain memandangkan parking di HKL ya amaaaaattttt…..susah benar nak dapat. Maka mama, Super Abang dan Super Kakak menunggu giliran untuk temujanji Super Haziq.Tak lama selepas itu mama dan Super Haziq dipanggil masuk.

Kali ini kami bertemu Dr Keng dan mama maklum besar kemungkinan mama akan dapat result ujian darah kami (mama, Super Ayah dan Super Haziq) yang diambil sewaktu pertemuan pada November 2013). Berdebar-debar juga menantikan apakah keputusannya. Mama boleh menarik nafas lega bila Dr.Keng memaklumkan bahawa kondisi Super Haziq berlaku bukan disebabkan heredity atau keturunan. Dr Keng juga amat memahami kerisauan dan kebuntuan kami bagaimana mahu menjawab sekiranya ada yang bertanya apakah sebenarnya penyakit Super Haziq. Beliau faham ada kalanya sukar untuk mama dan Super Ayah menjelaskan keadaan tersebut. Katanya….”beritahu saja siapa yang bertanya bahawa anak ini mengalami sedikit perubahan pada kromosomnya yang menyebabkan dia begitu (lambat perkembangan, tak boleh cakap, belum boleh duduk) dan sebagainya sebab katanya mulut orang sukar ditutup dan mereka akan terus bertanya kerana tidak faham. Jelaskan sahaja begitu katanya….

Dr Keng juga mencadangkan agar Super Haziq didedahkan dengan dunia luar bersama kawan-kawan seperti diletakkan di mana-mana centre yang bersesuaian dan masih dalam pertimbangan mama. Hanya perlu meneruskan rutin terapi dan rawatan alternatif memandangkan mama sudah tidak terlalu bergantung dengan ubatan hospital melainkan keadaan mendesak.Fine….syukur bertemu doktor pakar yang menghormati pandangan dan pendirian ibu bapa yang memiliki anak-anak syurga dan juga mahukan yang terbaik. Cuma mama minta doktor buatkan surat rujukan andaikata mama bersedia menghantar Super Haziq ke mana-mana pusat spastik berdasarkan segala kemungkinan yang ada. Pertemuan kemudiannya usai jam sebelas dan sempat mama berikan Super Haziq oat kerana dah ada bunyi rengekan disebabkan sudah melewati waktu makan paginya. Tiba-tiba mama terpandang susuk tubuh yang mama kenali di alam maya dan waktu terapi Super Haziq di Alam Impian. Terjerit kecil mama waktu itu. Lope!!! Mummynya tak perasan waktu itu kerana sedang bercakap di telefon dan membelakangkan mama. Bertemu rakan sekasut pula. Rezeki juga namanya ni…sempatlah bersembang sementara menunggu Super Ayah mengambil kenderaan untuk menjemput kami. Rupa-rupanya Lope juga mahu bertemu pakar genetik. Kita serupa lagi tapi kami dah lepas…….(sambil kesat peluh)…hihi

Lope takmo pandang...

Lope takmo pandang…

Then kami terus bergerak pulang memandangkan pada sebelah malam sepatutnya anak-anak tipikal akan menghadiri kelas tambahan. Kiranya one  day journey, sarapan di Melaka, makan tengahari di Sungai Besi dan makan malam di Pasir Gudang…..fuhhhhh….Kami  berhenti di KFC Sungai Besi melayankan anak-anak tipikal yang mengadu kelaparan. Selesai makan, Super Ayah keluar terlebih dahulu sementara mama menunggu Super Kakak ke tandas. Bila mama keluar, kelihatan seorang pakcik menjual keropok dan mama menolak dengan baik kerana jarang sekali di rumah menggoreng keropok. Bimbang kalau dibeli nanti entahkan bila berjaya digoreng. Pakcik itu hanya tersenyum. Sampai di kereta Super Ayah memaklumkan pakcik itu memberi sedekah buat Super Haziq. Allah….segan rasanya dengan pakcik tersebut. Sudahlah mama tidak membeli, rupa-rupanya beliau memberi!!! Mama hanya mampu mendoakan agar rezeki pakcik itu dibukakan seluas-luasnya kerana ihsannya kepada anak syurga mama. Semoga pakci itu terus diberikan kesihatan yang baik oleh Allah dan dapat berniaga serta memperoleh rezeki berlipat kali ganda. Kami meneruskan perjalanan dan sampai di rumah jam 7 malam. Terasa sangat letih tubuh dan perlu lagi melayan Super Haziq yang merengek keletihan kerana boleh dikatakan tidak tidur sepanjang perjalanan! Kalau tidur pun mungkin tidur-tidur ayam atau kata Super Kakak, just take a nap….

Lega meskipun penat kerana doktor memaklumkan pertemuan akan datang hanya pada tahun 2015 memandangkan punca masalah telah ditemui dan mama hanya perlu meneruskan rutin, menjaga posisi tubuhnya dan memantau setiap perkembangan Super Haziq. Lepas ni bulan 8 baru naik ke HKL untuk appoiment di Jabatan Oftalmologi pula. Selain itu terapi setiap bulan di rumah kedua, Hospital Sultan Ismail, Pandan, Johor. Tak apalah nak, keluar masuk hospital kan dah biasa….alah bisa tegal biasa…mudah-mudahan bakal terus ada perkembangan positif untuk anak syurga mama ni. Harus!! sebab mama masih simpan hasrat untuk bawa Super Haziq ke Baitullah….mama sedang mulakan misi menyimpan….mama target dalam 5 tahun lagi kita akan ke sana ye sayang, bila dana yang mama kumpulkan cukup untuk kita berlima ke sana, insyaAllah. Kalau lebih cepat dana tersebut berjaya dikumpulkan, lagi awal kita akan ke sana. Besar harapan mama ni sayang. Mama sentiasa ingatkan diri…kalau nak ke luar negara semata-mata untuk berjalan-jalan, mama memilih untuk menyimpan hasrat itu kerana tempat pertama yang mahu mama kunjungi ialah RumahNya….Semoga Allah mendengar hasrat mama ini dan mempermudahkan urusan kita sekeluarga untuk menjejak kaki dan menjadi hambaNya yang terpilih sebelum menutup mata,aamiinnn…..

Sehingga detik itu tiba, anak mama kenalah kuatkan semangat, takmo manja-manja sangat. Kena bagi leher kuat, baru boleh duduk dan berdiri malah tak mustahil Super Haziq mama akan mampu berjalan dan berlari! Kuat semangat ye sayang dan jangan lupa pinjamkan juga semangat untuk mama, ayah, abang dan kakak yang sentiasa menyayangimu…..I LOVE YOU!!!

Masa untuk terapi pertuturan!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera….

Hmmm….berat benar rasanya jari jemari bila nak mula mengetuk abjad pertama memulakan sesuatu entri baru. Terima kasih buat semua pembaca yang mungkin menanti apa perkembangan terkini anak syurga mama ni kan….Cerita kali ini berkisar tentang sesi terapi pertuturan Super Haziq pada awal bulan ini. Dah lama dah tapi mama baru berkesempatan nak mencoret sebelum mama ceritakan tentang pertemuan di HKL bersama pakar metabolik. Berbalik pada temujanji dengan terapi pertuturan. Penilaian yang dibuat oleh terapist memberikan respon bahawa Super Haziq semakin responsif dengan cahaya. Satu musical box dimainkan di depan Super Haziq berserta cahaya pada alat tersebut dan Super Haziq mencari-cari di mana arah musical box tersebut. Kemudian terapist mencuba kaedah look and choose, maksudnya membuat pilihan di antara dua item, bubles dan botol susu. Super Haziq mengarahkan pandangannya ke arah bubles dan hari itu sebagai hadiahnya, Super Haziq dapat main bubles!! Jom kita tengok keletah Super Haziq waktu terapi tu…..

mula-mula nangis...

mula-mula nangis…

20140225_113256

 

 

20140225_112514-2-1

20140225_112514

20140225_112511

Mula-mula tu memang tak suka tapi lama-lama ketawa mengelekek! Ada juga bunyi-bunyi yang keluar dari mulutnya dan ini merupakan perkembangan positif menurut terapist pertuturannya. Alhamdulillah! Nampak juga Super Haziq memberikan kerjasama yang semakin baik. Tak lagi meragam macam dulu. Apa yang penting, kenyang….dah kenyang buatlah apa pun…mesti ok punya…..

Oklah..cukuplah setakat ini dulu…entri berikutnya akan mama ceritakan hasil pertemuan dengan pakar metabolik HKL ye. Tunggu………

Tak suka!!!

Assalamualaikum…..

Alhamdulillah berkesempatan juga akhirnya mama mengemaskini laman ceritahaziq. Hampir sebulan terbiar sepi tanpa dijenguk apatah lagi dikerling sekilas pandang….Sedaya mungkin mama akan mencari ruang untuk terus menitipkan perkembangan Super Haziq untuk tatapan pelawat setia laman ceritahaziq. Sayang you all ketat-ketat!!!! Bukan apa…sejak sebulan lepas kondisi mama agak kurang stabil sebenarnya. Masih dalam proses pemulihan selepas berhadapan sedikit masalah dengan bahagian tulang tengkuk dan pinggang dan hingga ke hari ini alhamdulillah!!! Kian cergas….Dapatlah bawa Super Haziq ke sesi terapi di hospital macam biasa. Meskipun bersendirian tanpa Super Ayah, mengangkat kerusi roda yang boleh tahan jugalah keberatannya…alhamdulillah Allah berikan kesihatan yang semakin membaik. Super Ayah tak dapatlah nak bersama-sama mama uruskan terapi Super Haziq selalu melainkan kalau terapi di sebelah petang. Sebelah pagi Super Ayah terpaksa berkejaran menguruskan dua lagi anak tipikal yang sesi persekolahannya tidak sama…terpaksa jadi lipas kudung walaupun tak ada kaitan langsung dengan lipas…..hehehe

Oh ya…entri kali ini mama mahu kongsikan tentang perkembangan kognitif dan emosi Super Haziq yang semakin responsif dengan bentuk emosi yang berbeza. Contohnya kalau berbual dalam tawa, Super Haziq mampu tersenyum dan ketawa, begitu juga bila digeletek, Super Haziq akan ketawa mengelekek. Sebaliknya jika berpura-pura marah dengan meninggikan suara, Super Haziq sudah pandai mencebik mulut dan menangis hingga berair mata. Padahnya….agak sukar nak memujuk. Jenuhlah mahu dipeluk, dipopok dan ditaburi kata-kata sayang barulah reda sedikit emosinya. Ada kalanya waktu Super Haziq menangis, terbit juga kebimbangan di hati mama andai ada jiran-jiran yang terdengar pitching suaranya yang tinggi itu…mungkin anggapan mereka Super Haziq dipukul atau didera….

Begitu jugalah kalau dibawa ke sesi terapi. Andai baik moodnya, mudahlah sesi tersebut berlangsung.Boleh gelak-gelak…respon kaki dan tangan yang agak keras juga semakin lembut…Namun kalau mood tak sukanya datang….menjerit macam tak ingat dunialah dia di situ. Ada ketikanya mama buat tak tahu saja kerana Super Haziq akan belajar mengawal emosi namun ada juga yang mengatakan bahawa kita terlalu kasar…takpelah nak..tak suka pun tak sukalah….

20131127_155937

20131127_160850-1

Tapi seronok juga tengok memek-memek muka Super Haziq bila moodnya kurang baik. …tak suka pun tetap kena paksa….untuk kebaikanmu juga kan sayang……hihi.  Antara momen-momen tak suka yang sempat mama capture:

20131130_144938

20131127_061802

20131224_184123

 

Mama berdoa agar ekspressi itu bisa terzahir selalu…..konsisten setiap ketika supaya dapat mama terus tersenyum dan gigih berdiri…sekadar meminjam kekuatanmu menghadapi ujian ini cuma mama mahu kamu percaya bahawa KAMU TIDAK BERSENDIRIAN!!WE LOVE YOU SOO MUCH!!!

hypotonia vs dystonia….

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ceritahaziq. Apa khabar? Super Haziq alhamdulillah…walaupun ada masa-masanya kondisinya kelihatan turun naik, sekali pandang sihat…cuma yelah, cuaca semenjak dua menjak ni memang lain macam hinggakan Super Haziq kesayangan mama ni akhirnya diserang selsema berhingus. Seingat mama, hampir 6 tahun usia Super Haziq mama ni, inilah pertama kali Super Haziq diserang selesema berhingus. Itupun berjangkit daripada anak pengasuh katanya. Alhamdulillah, tak lama selsema…tak sampai seminggu…cuma semalam dedar-dedar nak demam-demam manja….

Hmm….tentu you all tertanya-tanya apa kisah di sebalik tajuk entri mama Super Haziq kali ni kan…kan….Begini ceritanya….Super Haziq mama ni kan anak CP…kondisi anak CP ni memang pelbagai…ada diplegia, spastik, ataxia, dystonia, hemiplegia, quadriplegia….nak terang satu-satu pun mama bukannya medical staff yang ingat semua benda. Apa yang mama ingat diagnosis Super Haziq je : Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy with Global Development Delayed (GDD). Keadaan fungsi anggotanya hypotonic, lembik…angkat tangan jatuh…angkat jatuh…tak ada daya melawan….tapi itu dulu……macam pada zaman dahulu………

Diam tak diam..hari ke hari…walaupun handbag mama tu sudah sepatutnya bergelar budak tadika…sedikit demi sedikit perkembangan yang ditunjukkan mengubah sedikit diagnosis dirinya. Mama pun sebenarnya dah tak boleh gelar Super Haziq “budak sekampit beras” sebab berat badannya dah naik…yeah! Walaupun orang keliling mungkin melihat mudah jaga Super Haziq ni sebab baring aje….senang je berdukung…oh hakikatnya setiap 2 bulan Super Mama ni perlu ” overhaul” badan sebab banyak “part” yang rosak….kalau tak nanti badan mogok….hehe. Apa yang kita lihat biasanya tak seindah apa yang dilakukan seseorang yang dilihat itu…dulu waktu didiagnos hypotonic….risaunyalah….yelah semua lembik…angkat tangan jatuh…nak dudukkan leher jatuh payah nak angkat semula…sekarang????

Kisahnya bila rutin bertemu Dr Tajul, pakar neurologi kanak-kanak dari HKL yang telah bertugas di HSI…bab ni mama punyalah suka….rasa nak melenting pun ada tapi sila jangan cuba-cuba bayangkan ye..huduh!! Tak perlulah mama, Super Ayah mahupun Super Haziq dan adik beradik yang berdua tu turun naik ke HKL lagi….HKL tu dah jadi rumah nombor 3 dah selepas HSI….Puaslah bersembang dengan Dr Tajul,setengah jam juga sebab menunggu pun hampir sejam setengah kan….sembang punya sembang punya baik punya cerita….Dr Tajul perasan Super Haziq keraskan badan bila seorang lagi doktor muda buat pemeriksaan atas Super Haziq. Super Haziq ni kalau orang yang tak biasa sentuh atau pegang, dia ajan beri respon samaada selesa atau pun tidak. Nampaknya Super Haziq tak berapa selesa dan berikan respon tangisan serta keraskan badan. Hypotonia memang dah lama tak ada….jadi Dr Tajul diagnos Super Haziq mengalami kondisi dystonic/dystonia(suka keras-keraskan badan dengan tangan yang dibengkokkan ke luar). Sudah………satu lagi diagnosis….

Kalau bab ubat…Dr Tajul dah faham malah hormat pendirian mama tapi mama lihat Dr Tajul ni seorang yang tak mudah mengalah atau dalam kata mudahnya,dia nak bantu kita. Super Haziq dicadangkan mula mengambil baclofen semula. Mama as usual….tersengih-sengih….ha.. Dr Tajul dah faham benar dengan sengihan panjang mama. Dr Tajul lihat kaki Super Haziq membengkok dan agak “ketat”, jadi baclofen akan membantu melembutkan sedikit otot supaya mudah terapi nak dilakukan.Puaslah mama pusing sana, pusing sini dan akhirnya mama angkat bendera putih. Baiklah, kali ini mama akur dengan Dr Tajul…..Yelah, mama pun perasan kaki kanan Super Haziq agak keras.Agaknya kerana mama pun tak terlalu konsisten dengan stimulaterapi….mama yang perlu distimula dulu baru mampu stimula Super Haziq mama ni….

Susah juga kalau keadaan ni berterusan.Apa yang mama fikirkan ialah bagaimana Super Haziq mahu berdiri kalau sendi kakinya ketat sedangkan pakar rehab sudah memberikan harapan positif bahawa Super Haziq mempunyai kemungkinan yang besar untuk terus berkembang..duduk dan berdiri. Justeru mama akur kali ini. Harap-harap dapat membantu…….

Takpelah nak…mama cuba apa yang mama mampu ye sayang…teruskan jadi tunjang kekuatan mama….terus pinjamkan semangat buat mama ye sayang…..muah3!!sayang Haziq ketat-ketat!!!!!

Senyummu kekuatanku....

Senyummu kekuatanku….

Mr “S” datang lagi…..

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua…

Doa mama setiap detik dan waktu….

“AllahuRobbi….Kau angkatkanlah kesakitan dari tubuh anak syurgaku. USAH kau uji dia dengan ujian yang mungkin tidak tertanggung oleh tubuh kecilnya.Kau berilah dia peluang untuk terus menikmati hembusan udara yang Kau pinjamkan..Kau ukirkanlah senyum dan tawa di wajahnya agar aku bisa menumpang bahagia….Kau kuatkanlah semangatnya agar aku bisa berjuang seiringan…Kau bebaskanlah deritanya agar aku dapat terus BERTAHAN….”

Dua hari ini Super Haziq bergelut dengan serangan mr “s” yang datang tanpa diundang. Jujur sudah agak lama tak buat stimula sendiri tatlaka vitamin ‘m’ datang. Adakah kerana itu mr’ s’ muncul semula? Bingung mama dibuatnya. Hari selasa sekali serangan berlaku. Semalam sehingga dua kali!. Mama seperti biasa meskipun katanya tak panik tetapi tetap panik sementelah memang sudah lama serangan mr ‘s’ tidak menjengah. Mahu tidak panik…pejamkan mata tuan puan dan bayangkan bagaimana tubuh kecil itu mengejang dalam tangisan sambil menahan nafas hingga wajahnya kebiruan akibat kekurangan oksigen. Kita yang melihat reasa seakan mahu terputus nafas, inikan pula tubuh anak kecil itu yang langsung tidak mampu menyatakan kesakitan yang ditanggung. Allahurobbi….luluh rasa hati, remuk redam perasaan setiap kali ia berlaku. Tidak tahu bagaimana hendak diterjemahkan perasaan yang datang.

Hanya doa yang mampu mama panjatkan agar Allah mengurangkan kesakitanmu sayang….sehingga ke hari ini, sewaktu mama menitipkan entri ini di laman ceritahaziq, hati ini masih dipagut resah..masih berdebar-debar….Terjawablah agaknya mengapa seminggu dua ini mama terlalu rindukan kamu..seakan tidak mahu berenggang denganmu…setengah hari bagaikan berminggu-minggu tidak menatap wajahmu, tidak mencium mu bukanlah kebiasaanku, dan mama terasa seakan tidak mahu berpisah denganmu sayang. Mungkin ini petanda kamu akan terasa sakit kerana si dia yang datangnya tidak berjemput, perginya juga tanpa disuruh….semoga kamu terus sihat ye sayang…..KUATKAN SEMANGATMU UNTUK TERUS BERJUANG DAN PINJAMKAN SEMANGATMU AGAR MAMA DAPAT TERUS BERTAHAN!!!

buah hatiku sayang

buah hatiku sayang

Apa dicari?

Assalamualaikum…

Salam penuh kebahagiaan buat semua pengunjung laman ceritahaziq yang masih tak putus-putus meluang masa untuk membaca dan mengetahui apa cerita Super Haziq mama. Alhamdulillah…sedar tak sedar, sudah lebih 30, 000 view di laman ceritahaziq ini. Sudah 3 hari 2013 ditinggalkan dan dalam sedar tak sedar juga sebenarnya masa semakin pantas berlari meninggalkan kita. Hari ini Jumaat pertama tahun 2014. Dapatkah kita bertemu Jumaat akan datang? Wallahua’lam… Masih belum terlambat rasanya mama mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi buat semua pembaca dan pengunjung laman ceritahaziq. Jangan sampai terlupa tahun Hijrah pula ye teman-teman….Tahun baru, azam lazimnya berganti baru. Dua tiga hari lepas ada juga mama terbaca entri sahabat-sahabat yang meneruskan azam “long term” yang telah disetkan untuk beberapa tahun ke hadapan. Bagus juga tu kan…tidaklah asyik bertukar azam setiap tahun. Masuk saja tahun baru, sibuk nak bertanya azam baru….apa yang penting biarpun azam kita sama sejak dahulu kala hingga ke hari ini dan masa akan datang, meskipun mungkin hanya ada sedikit perubahan, yang penting kita istiqomah….

Hmmm…bercerita tentang Super Haziq kesayangan mama ni…tahun 2013 adalah tahun yang mama rasa membahagiakan mama dengan perkembangan Super Haziq. Walaupun perkembangan itu “sangat kecil” pada pandangan mata kasar orang lain, namun ianya “SANGAT BESAR” bagi mama yang sememangnya menantikan setiap detik perkembangan Super Haziq yang mama cintai ini…. Mama dapat melihat Super Haziq ketawa macam budak-budak tipikal yang lain, mama dapat lihat super Haziq cuba memalingkan badan daripada posisi meniarap, mama dapat merasa genggaman tangan Super Haziq yang bertambah kukuh, mama dapat melihat kaki Super Haziq mula kurang ‘spastiknya’, mama paling bahagia tatkala melihat sawan Super Haziq yang semakin berkurangan!! Enam bulan terakhir 2013 adalah detik-detik bahagia mama. Seingat mama, sepanjang enam bulan terakhir itu Super Haziq hanya diserang sawan sebanyak 4 kali!! Berbeza jika dibandingkan enam bulan sebelumnya Super Haziq diserang sawan 3-4 kali sebulan. Berbeza dengan bulan-bulan sebelum itu serangan sawannya setiap hari sehingga pernah diserang sebanyak 10 kali dalam masa SEJAM!!! Allahu Akbar!!! Setiap kali serangan sawan, Super Haziq akan menangis,menahan nafas sehingga mukanya kebiruan dan ada ketika serangan yang kuat, dapat dilihat lidahnya menjadi pendek dan kebiruan. Pada ketika itu mama berharap agar kesakitan itu dihentikan, kerana mama tahu sangat sakitnya serangan sawan yang menyebabkan kekejangan tubuhnya yang kecil itu. Mama berdoa agar Allah beri peluang untuk mama terus bersama Super Haziq mama. Hakikatnya, kondisi anak-anak ini ibarat “time bom” yang boleh meledak bila-bila masa dan kita mungkin kehilangannya. Sedih, sukar menerima namun itu hakikat yang perlu dipelajari untuk diterima dan mungkin buat masa ini kami belum mampu menerima seandainya time bom ini meledak. Mama masih belum puas mencurah kasih, mencium, memeluk, mencubit, menggomol, menyuap, memandikan, memakaikan pakaian, mengurut dan banyak lagi moment yang masih mama rindukan. Perasaan yang hadir sukar digambarkan. Syukran Ya Robb yang masih meminjamkan anak kecil ini untuk mama, Super Ayah, Super Kakak dan Super Abang berbahagi kasih dan pengorbanan dalam perjuangan memberikan yang terbaik untuk amanah Allah yang satu ini! Terima kasih untuk lima tahun setengah yang indah ini!!

Bila difikir-fikir,tahun 2014 Super Haziq menjejak usia ENAM tahun. 23 Julai tarikh kelahiran Super Haziq. Selayaknya pada usia ini Super Haziq sudah mula memasuki alam pendidikan formal di tadika. Namun entah mengapa, mama tidak berasa cemburu dengan anak-anak tipikal lain yang sudah memulakan alam bermasyarakat atau bersosialisasi. Bermain bersama-sama, berlari, menjerit dan sebagainya. Mama akur dengan ketetapan Allah. Anak mama, buah hati pengarang jantung mama ini belum mampu untuk bersosialisasi. Masih lagi menjadi baby besar mama, masih lagi menjadi handbag termahal mama yang dekat di hati mama. Sensitif bila mendengar anak ini cacat lantaran terma itu bertukar menjadi anak istimewa, anak syurga, dan sebagainya. Hakikatnya, kebenaran itu perlu diakui dengan redha meskipun sukar. Kondisi anak mama ini tidak memungkinkan untuk diterima dalam sistem pendidikan. Mama akur dengan sistem tersebut. Bukan pendidikan yang mama dambakan buat masa ini sebaliknya proses pemulihan yang berterusan. Dalam pada mama berjuang untuk memulihkan Super Haziq, pada ketika inilah penerapan elemen pendidikan itu diselitkan secara tidak formal. Biarpun mungkin pandangan mama ini jelek pada pandangan orang lain, mungkin sedikit songsang daripada apa yang diperjuangkan oleh rakan-rakan sekasut yang lain…mama berpegang kepada realiti dan hakikat. Selagi anak ini tidak dipulihkan fungsi sistem tubuhnya, bagaimana mungkin dia dapat menyerap segala ilmu yang hendak diterima. Justeru, fokus mama ialah proses rehabilitasi yang bakal disusuli dengan sistem pendidikan. Inilah yang paling diinginkan mama untuk pihak-pihak berwajib memberi perhatian. Anak-anak cerebral palsy yang dikatakan tidak mampu berada di dalam sistem pendidikan itu akan LAYAK berada di situ seandainya wujud program/pusat pemulihan yang sistematik dan efisien sejak dari usia anak-anak ini kecil lagi. Namun kecewa di hati mama kerana sehingga kini kebajikan dan hak anak-anak ini masih dipandang dari ekor mata sahaja, bukan sebelah mata, apatah lagi dengan kedua-dua belah mata! Semoga akan ada perubahan yang memberangsangkan selepas ini…..

memek sedih

memek sedih

bila gembira

bila gembira

senyum bahagia

senyum bahagia

Melihat reaksi pelbagai Super Haziq ini sudah cukup membahagiakan hati kecil mama. Meskipun mama tidak sehebat mama-mama lain di luar sana dengan rutin yang pelbagai namun mama juga masih ada keinginan sendiri. Keinginan yang sentiasa berterusan. Semata-mata untuk perkembanganmu sayang. Mama cukup gembira tatkala urutan stimulaterapi yang mama cuba usahakan menunjukkan perubahan yang amat memberangsangkan. Mama bukanlah pandai mengurut tapi disebabkan tak mahu urutan itu terhenti setakat sewaktu rawatan, mama memerhatikan bagaimana perawat merawat Super Haziq dan sedikit demi sedikit mama aplikasikan di rumah. Jujurnya, tidaklah selalu tapi mama cuba pastikan tidak terputus. Terima kasih buat Mak Ija yang sudi merawat Super Haziq mama. Biarpun ada ketikanya tubuh sendiri sudah tidak mampu bertahan, namun tetap digagahkan demi insan kesayangan. Kadangkala sampai terlupa bahawa diri sendiri memerlukan rehat, badan juga bukanlah robot yang harus bekerja tanpa henti. Tatkala Allah memberikan peringatan supaya ‘tomakninah’, barulah mama menyedari bahawa mama bukanlah sekuat atau segagah mana. Mama bukanlah Super Mum yang boleh dibanggakan. Ada kalanya mama tertewas dengan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan. Ada masanya mama kecundang dengan emosi yang turun naik dan ada ketikanya mama boleh bertahan sehingga sukar digambarkan dari mana datangnya sebuah kekuatan. Jujurnya, mama cuma manusia biasa. Selagi bibir ini bisa menguntum senyum, selagi itulah insan-insan di luar sana tidak akan dapat menyelami luka dan sarat tekanan atau cabaran yang ditanggung. Mama sentiasa mengingatkan diri….”LA TAHZAAN….INNALLAHA MA ‘ANA”~~~Jangan bersedih…Allah bersama kita. Sentiasa mama ingatkan diri supaya jangan terlalu bersedih. Anggap sahaja setiap cubaan itu sebagai cabaran, bukanlah masalah. Andai ia masalah sekalipun, mama cuma ingatkan diri bahawa masalah juga datangnya dari Allah, maka bersangka baiklah denganNya. In sha Alah, tiada kedukaan, tiada keluh kesah dan tiada kerisauan di dalam meniti perjalanan yang masih banyak liku-liku yang akan ditempuhi.

Hari berganti hari, minggu bertukar minggu, bulan berganti bulan dan tahun terus bertukar. Semua orang memasang impian dan angan-angan. Tahun ini mama memasang impian untuk menambah sesi terapi Super Haziq memandangkan terdapat satu pusat rehabilitasi dan terapi yang baru dibuka di Pasir Gudang, alhamdulillah! Mama berhasrat benar untuk membawa Super Haziq menunaikan umrah tapi kena tunggu dana yang cukup ye sayang…..Mama sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua sahabat yang telah menjejakkan kaki ke Baitullah dan mendoakan yang terbaik untuk Super Haziq mama. In sha Allah ada rezeki kita akan sampai juga ke sana sayang….Mama nak ambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada insan-insan yang telah banyak memberi cetusan, idea dan semangat antaranya ahli keluarga yang dikasihi, sahabat-sahabat sekasut, rakan-rakan seperjuangan dalam menyahut cabaran pengajian, Ustazah Nor Aziah serta En Zaini Abas yang telah benar-benar memberikan cetusan semangat dan membuktikan kehebatan Al-Quran untuk anak syurga mama. Ramai lagi yang tak mama tuliskan nama kalian satu persatu namun sesiapa sahaja yang bergelar sahabat mama dan pernah mengenali mama, doa kalian adalah hadiah terindah buat mama dan Super Haziq untuk terus berjuang. Apa lagi yang mama mahu? Apa lagi yang mama cari? Mama tidak meminta terlalu banyak…..

Mama sentiasa memanjat doa agar terus diberikan peluang oleh Allah dengan meminjamkan Super Haziq selama yang boleh untuk mama. Mama pohon beroleh kesihatan yang baik, rezeki yang berlimpah ruah dan barokah untuk mama memberikan yang terbaik untuk Super Haziq dan mama mohon agar diberikan kekuatan serta semangat yang tidak putus dalam menunaikan amanah Allah ini. Pencarian mama tidak akan berhenti untuk Super Haziq. Pencarian mama masih belum bertemu titik noktahnya melainkan salah seorang daripada kami kembali kepada Sang Pencipta. Sehingga detik itu tiba, mama akan berusaha melalui hari-hari mendatang dengan harapan dapat terus melaksanakan amanah dengan sempurna agar dapat berpimpinan dengan Super Haziq di taman-taman syurga. Amiiiin….doakan mama ye sayang…..

Semoga 2014 ini membawa rahmah yang berterusan buat Super Haziq dan keluarga kami. Semoga segala urusan dipermudahkan. Begitu juga kepada kalian yang membaca catatan mama kali ini. Semoga Allah lancarkan urusan kalian, Allah bukakan pintu rezki dah rahmatNya yang seluas-luasnya dan sentiasa dilindungiNya saban ketika….semoga perjuangan ini tetap berada di landasan ISTIQOMAH dan mama akan berusaha sebaik mungkin kerana “PERJUANGAN MASIH BELUM SELESAI”……