Genap 7 tahun. Allahuakbar!

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Sudah sebulan enam hari permata hati mama tinggalkan mama. 8 Mei itulah tarikh yang seakan merentap jantung mama sayang. Kalau hendak diceritakan satu persatu detik perjalanan terakhirmu, pasti air mata ini tidak mahu berhenti dan merembes laju.

Baru hari ini mama punya kekuatan untuk menulis di laman blog ceritahaziq. Mengenang kembali saat-saat kau masih dalam pelukan mama, air mata ini terasa begitu murah. Hari ini air mata mama mengalir lagi. Dada ini sesak lagi. Gara-gara satu aplikasi. Aplikasi itulah yang mendorong mama untuk menulis di laman blogmu ini sayang.

Mama terlihat satu aplikasi di facebook yang menawarkan aplikasi menukarkan tarikh Masihi ke tahun Hijrah. Mama tergerak untuk mencuba aplikasi tersebut. Setiapa tarikh lahir ahli keluarga kita mama cuba dapatkan tarikh dalam tahun hijrah termasuk Haziq. Mama cuba pula dengan tarikh pemergian Haziq dan pada waktu itulah mama terpempan. Terkedu. Terkesima. Sebak. Nafas seakan tersekat. Allahuakbar! Subhanallah! Hanya itu yang mampu mulut mama ucapkan berkali-kali…

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Genap 7 tahun mengikut tahun Hijrah! Aiman Haziq pergi tepat usianya 7 tahun pada 20 Rejab. Hanya hari yang berbeza. Perginya pada hari yang sungguh mulia. Penghulu segala hari. Speechless! Mama tak tahu apa yang ada dalam hati mama ketika tulisan ini mama coretkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia di sebalik kejadian.

Mama masih belum mampu menuliskan apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu. Semuanya berlaku terlalu pantas. Terlalu cepat. Masih terasa seakan mimpi. Namun mahu bercerita tentangnya, mama belum cukup kuat. Meskipun mama telah cuba menulis, namun mama masih belum mampu menoktahkannya. InsyaAllah apabila tiba masanya, mama akan terus menulis dan menoktahkannya. Ada kalanya seakan tidak mahu mempercayai namun janji Allah itu benar bahawa setiap makhluk itu pasti merasai mati.

Beruntung Aiman Haziq….beruntung sangat kamu sayang…kamu sedang berbahagia di alam sana. Kamu sedang berlari riang di sana duhai anak. Tiada lagi kesakitan. Tiada lagi tangis dan air matamu yang dapat mama lapkan. Tiada lagi senyum manja dan tawa riang yang dapat mama tatap dan dengar. Tiada lagi rengek manjamu bagaikan memahami apa yang mama ungkapkan. Tiada lagi semua itu. Yang tinggal hanyalah kenangan yang terpahat kukuh di sanubari.

Selamat jalan sayang…

Mak sentap nak!!

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua…

Empat bulan bersawang betul laman ceritahaziq ni…

Sebenarnya tak tahu apa yang mahu dikongsikan kerana perkembangan Aiman Haziq masih seperti biasa. Tidaklah apa yang boleh membuatkan mata mama ni terbuntang besar ataupun mama nak kena buat aksi lompat bintang sampai cecah dinding. Hodoh nak….Namun hari demi hari masih ada perkembangan positif yang dapat mama perhatikan. Biarpun kecil dan mungkin taklah beerti mana bagi orang lain yang mengganggap itu perkembangan biasa anak tipikal, bagi mama ianya tetap suatu pencapaian yang membuatkan keterujaan itu membuak-buak.

Cuma kali ini mama nak kongsikan kisah ‘kesentapan’ mama dengan kenyataan seorang kawan yang telahpun mama kongsikan di dinding facebook mama. Ada ke dia kata jangan jadikan anak sebagai alasan untuk tak bergerak…tak buat apa-apa! Waktu tu memang terdiam gilerlah mama. Darah naik atas muka. Kalau siapa perasan mesti nampak muka mama yang berubah. Nak aje mama balas kata-katanya. Tak terucap. Dada rasa nak pecah. Marah? Bukan marah tapi waktu itu mama rasa dia tak patut keluarkan kenyataan macam tu sebab dia tak ada dalam kondisi mama!

Ya…mama akui anak tu tak boleh dijadikan alasan kalau kita nak berjaya. Betul…tak salah kenyataan dia. Tapi dia tengok ke tidak anak macam mana yang mama punya. Kalau anak-anak mama semuanya tipikal, mama angkat topi setuju 100 % dengan kenyataanya tetapi cubalah duduk sehari dalam kasut mama. The way dia punya expression dan riak muka yang mama memang tak boleh nak tahan. Akhirnya pada orang lain mama menangis dan curahkan apa yang selama ni terpendam. Apa yang mama rasa, apa yang sedang mama lalui.

Betul…selama ni orang pandang dan anggap mama sebagai seorang yang periang, selalu tersenyum seolah tak ada sebarang masalah atau cabaran yang sedang dihadapi. Tapi itu tidaklah bermakna orang boleh samakan kedudukan kita dengan mereka. Setiap anak istimewa itu sangat unik dan tidak boleh dibanding-bandingkan. Kenapa? Pertama, boleh merudumkan emosi parent. Kedua…setiap perkembangan, progress anak-anak ini tidak sama walaupun mungkin duduk bawah payung terma yang sama. Tak perlu tengok jauh-jauh…cara bagi makan Haziq mungkin tak sama dengan anak CP lain, belum lagi cara nak mandikan. Cara rawatannya…apa terapi yang perlu dilakukan untuk perkembangannya…semuanya berbeza. Meskipun mama ni cubalah bertahan dengan macam-macam cakap dari mulut-mulut yang tak tahu pun apa itu cerebral palsy, tiba pada suatu masa mama rasa mereka ini perlu disedarkan. Kadang-kadang dalam hati tu terdetik jugalah nak pinjamkan Aiman Haziq pada orang-orang yang pandai bercakap ni…Bagi mereka rasa dan peluang untuk menguruskan anak-anak CP. Tak perlu berikan masa yang lama. Bagi sehari cukuplah. Biar mereka sama-sama berkongsi rasa. Tak cukup sehari kita extendkan seminggu. Kotlah ada yang tak puas nak uruskan anak-anak CP. Adalah juga masa untuk mama dengan ayah rehat, pergi honeymoon ke..kan…

Jadi kalau tak ada anak macam Aiman Haziq, sebelum nak bercakap tu molek sangatlah berfikir-fikir dulu. Luka hati kalau dah tercalar…lambat sikitlah nak baiknya kan…Bukan tak boleh baik…boleh…hati tisu mama ni cepat je boleh bertukar jadi hati kering…Kita ni bukanlah jenis tak boleh dengar nasihat ke apa, tapi the way kita menegur seseorang tu kita kena perhatikan dulu baik-baik orang yang kita nak tegur tu macam mana karekternya. Silap-silap tegur boleh putus kawan! Bak kata orang dulu-dulu, kita nak tarik rambut dalam tepung kan..kalau boleh kita tarik rambut tu sebaik dan seperlahan mungkin supaya tepung yang ada tu tak berselerak. Win-win situation kalau kata orang Jawa….tepung tak rosak, rambut yang mengacau tepung tu pun dapat dialihkan. Kan…..

Alhamdulillah, selepas dengar kata-kata sentap tu, mama dapat lepaskan apa yang selama ni tertahan atas bahu mama.  Lega! Kali terakhir mama menangis rasanya waktu mama hampir kehilangan Aiman Haziq ketika serangan sawan paling teruk pada tahun 2008. Selepas tu mama tekad dalam hati taknak tunjukkan emosi mama depan orang lain. Mama lebih suka orang lihat mama macam biasa, macam tak ada apa-apa sebab sebenarnya ia boleh juga jadi motivasi untuk mama supaya tak terlalu memikirkan semua masalah yang datang tu sebagai beban, sebaliknya cabaran yang kena cari jalan penyelesaiannya di mana dan bagaimana. Mama berjaya namun selepas hampir 7 tahun, akhirnya air mata itu tak dapat lagi mama bendung. Akhirnya pecah juga kolam air mata mama.

Subhanalllah, selepas menangis, ada rasa lega. Sentap pun kurang. Hari ini rasanya sentap tu dah tak ada dah…hilang dari hari ke hari sebab mama taknak jadikan ianya penghalang untuk menyekat apa yang sedang mama usahakan. Cuma apa yang mama nak ingatkan untuk diri mama sendiri, kalau kita nak tegur orang, kalau kita nak nasihat orang…pastikan kita gunakan ayat yang sesuai dengan keadaan/ karekter dan bentuk penerimaan daripada orang yang kita nak tegur. Terima segala pro dan kontra setiap tindakan kita. Terlajak perahu masih sempat kita undur, terlajak kata ada hati yang terluka, susah nak dapatkan semula kepercayaan melainkan kita benar-benar sesali apa yang kita lakukan dan mendapat kemaafan.

Semoga kita semua dapat menjaga lidah kita daripada berkata yang sia-sia dan mendapat perlindungan Allah saban waktu sehingga ke syurga-Nya.

2014 yang berlalu…

Assalamualaikum dan salam penuh kasih sayang buat semua pengunjung laman ceritahaziq.

Haziq tanya apa khabar….Haziq tanya apa khabar….Haziq tanya apa khabar, semua….Semoga semuanya berada di bawah lindungan dan kasih sayang Yang Maha Esa. Hmmmm….diam tak diam sudah 11 hari kita berada di tahun 2015. Hari ini mama berusaha mengetuk papan aksara di depan mata selepas hampir setengah tahun laman ceritahaziq ini terbiar tanpa sebarang seliaan, kemas kini mahupun perkongsian cerita. Adakah yang masih tertunggu-tunggu cerita dari mama ni ye? Maafkan saya kerana sudah lama membiarkan jemari ini tidak menari. Banyak kisah yang mahu dikongsikan namun hendak diputarkan setiap detik dan cerita, tidak mampu rasanya untuk ditaipkan kata demi kata.

Baru seperenggan, bahu sudah terasa tegang. Inilah antara sebab mengapa saya jarang berada lama di hadapan komputer dan tidak dapat memberi fokus untuk menghasilkan penulisan yang berjela-jela panjangnya. Namun saya gagahkan juga. Apabila saya buka semula laman ceritahaziq dan melihat banyak mesej/respon yang tidak berbalas, terasa bersalah menjengah dan saya kira saya perlu meneruskan apa yang telah saya mulakan pada tahun ini. Teruskan menulis dengan harapan ada sesuatu yang boleh saya kongsikan tentang Aiman Haziq dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Selain itu, saya masih memasang angan untuk menghasilkan sebuah travelog perjalanan seorang anak istimewa dengan kecacatan kromosom.

Untuk catatan pertama tahun 2015 ini, saya hanya ingin kongsikan sorotan kisah Aiman Haziq dalam setengah tahun terakhir 2014. Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang menantikan perkembangan anak ini dapat melihat perjalanan anak ini. Bermula Jun 2014 (kalau tak silap), saya menambah makanan tambahan untuk Aiman Haziq. Selepas melihat perubahan ketara sawan Haziq dengan pemakaian pelapik tilam Bio Velocity (BV), saya mencuba memberikan Haziq BV Alfalfa (Raja semua tumbuhan) yang turut mengandungi teknologi BV di dalamnya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana sejak gabungan dua produk BV ini, sehingga detik saya menulis entri ini, sudah hampir 8 bulan Haziq tidak diserang sawan! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Perkembangan yang sangat mengujakan!. Namun begitu, berdasarkan sejarah lampaunya yang diserang sawan seawal usianya dua hari, kami tetap berjaga-jaga kerana sawan boleh hadir tiba-tiba tanpa dijangka. Meskipun begitu, saya dan suami tetap punya sebab untuk tersenyum. Alhamdulillah! Allahuakbar! Tidur malam kami semakin lena berbanding suatu ketika dahulu ketika kami terpaksa tidur bergilir-gilir, bimbang Haziq diserang sawan. Semoga episod tidur berganti-ganti ini tidak menghantui kami lagi selepas ini.

Haziq juga sudah bertukar pengasuh. Betapa beruntungnya anak yang bernama Aiman Haziq ini kerana punya 3 ibu; iaitu saya, Ibu Aisyah dan Ibu Nora. Pengasuh terawal, Ibu Aisyah. Tiga tahun usia Haziq, Ibu Aisyah dikurniakan cahayamata dan tidak dapat menjaga Haziq. Rezeki Haziq dapat bertemu Ibu Nora yang pernah punya pengalaman menjaga anak istimewa persis Haziq. Tiga tahun juga Ibu Nora berpeluang mengasuh Aiman Haziq. Tahun lepas tatkala Ibu Nora mendapat peluang kerja dengan gaji yang lebih besar, Aiman Haziq dipulangkan kepada Ibu Aisyah. Kecil tapak tangan, padang taman perumahan itu Ibu tadahkan, kata Ibu Aisyah. Saya cuma mahu meneruskan misi untuk terapi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sementelah Ibu Aisyah memang seorang guru mengajar Al-Quran. Di samping itu, Ibu Aisyah juga mengasuh beberapa anak-anak jagaan lain, Justeru Aiman Haziq akan berada dalam persekitaran yang berbeza, boleh bersosial dan lebih terbuka (dengan caranya sendiri, insyaAllah). Alhamdulillah,hampir sebulan bertukar tangan….kelihatan Aiman Haziq lebih manja, makannya juga sudah tidak terlalu spesifik, asal sedap boleh saja. Paling seronok kalau sesekali saya bawa Aiman Haziq ke Kimiwa Cafe, pasti lempeng dan kuah sardin saya suakan ke mulutnya. Lagi seronok bila melihat Aiman Haziq berjaya menghabiskan sekeping lempeng! Badan kecil tetapi selera mengalahkan orang besar! Seronok melihat Aiman Haziq yang tidak cerewet sangat tentang makan. Paling seronok bila tahu Aiman Haziq sudah ada menu kegemaran. Pastinya, lempeng sardin, nasi goreng hitam dengan kicap dan telur, ikan singgang! Boleh habis sepinggan!

Tahun lepas juga saya memulakan sesi ‘home fisio’. Sasaran saya mahu buat setiap minggu tetapi bajet masih belum mengizinkan. Buat masa ini saya hanya mampu buat dua kali sebulan. Saya kira cukup baik berbanding sesi terapi di hospital yang hanya dapat dibuat dua bulan, sekali kerana pesakit yang terlalu ramai dan perlu menunggu giliran. Andai ada rezeki lebih tahun ini, saya berhasrat untuk melengkapkan sesi fisioterapi setiap minggu di rumah. Saya rasa semua ibu bapa yang memiliki anak-anak seperti Aiman Haziq memasang impian yang sama demi perkembangan anak-anak ini cuma yelah, banyak juga komitmen lain yang perlu disusun ikut keutamaan. Kadang-kadang terpaksa melupakan keinginan kerana mahu mengutamakan keperluan anak syurga. Bila menyentuh soal Aiman Haziq, saya tidak begitu berkira. Apa yang saya rasakan bagus, baik…saya akan berusaha untuk mendapatkannya! Biarlah orang nak kata apa pun, mereka yang tidak duduk dalam kasut saya pasti tidak akan mengerti. Kadang-kadang orang hanya pandai mengata atau bercakap belakang berbanding menghulurkan tangan untuk memberikan semangat agar terus mampu bertahan. Itulah lumrah yang harus diterima. Belajar menerima apa saja seadanya. Belajar untuk lebih mensyukuri nikmat yang ada.

Saya masih menyimpan angan untuk meneruskan sesi stimula untuk Aiman Haziq. Kalau boleh semua benda yang disyorkan mahu dibuat tetapi ada masanya kena ‘sedar diri’. Ada ketikanya wajar untuk muhasabah diri. Sejauh mana kekuatan yang ada. Sejauh mana kuatnya tubuh untuk terlalu lasak. Memanglah sekali pandang empunya tubuh ini ‘sihat’, namun hakikatnya kita manusia yang sering merasa lelah. Setiap kali terasa tubuh terlalu letih, ayat ‘dunia memang tempat untuk berpenat’ inilah yang menjadi azimat untuk kembali menggagahkan diri. Banyak lagi harapan dan sasaran untuk Aiman Haziq pada 2014 yang masih belum direalisasikan dan akan disambung tahun ini insyaAllah. Semoga Allah mudahkan!! Amiiin Ya Robbal A’lamiiiiin…

Oh ya, ada satu lagi cerita Aiman Haziq yang mahu saya kongsikan pada akhir tahun 2014. Setelah beberapa ketika cuba mendapatkan slot untuk terapi pertuturan Aiman Haziq dengan seorang terapist pertuturan yang jauh datangnya dari Utara, akhirnya kami berjaya menempatkan Aiman Haziq dalam senarai. Kredit kepada sahabat di Kulim, Kak Ju yang mengusahakan pertemuan kami. Memang teruja bila melihat perkembangan pertuturan Muhamad Aiman dalam masa yang disasarkan dan membuatkan saya benar-benar teruja untuk mendapatkan sesi terapi pertuturan bersama Mr. Mano. Sanggup kami dari JB bergerak ke KL selepas subuh, sampai tepat pada waktu sesi terapi dan bergegas pulang sejurus usai sesi terapi. Sejak hampir tiga tahun lalu kami tak buat ‘kerja gila’ ini. Sarapan di Pagoh, makan tengahari di KL dan makan malam di Machap atau mana-mana yang sempat. Mengapa? kerana temujanji neuro Haziq sudah dipindahkan ke HSI. Hanya tinggal temujanji metabolik dan klinik mata yang hanya setahun sekali di HKL. Jika tidak, dulu hampir setiap sebulan kami buat ‘kerja gila’ berulang alik ke rumah kedua kami, HKL. Bila dah lama tak buatlah yang jadi sedikit huru hara. Perjalanan 4-5 jam boleh jadi 10 jam!! Macam-macam hal….

Ok, kembali kepada cerita sesi terapi pertuturan. Aiman Haziq as usual, anak yang behave…baik saja waktu terapi. Boleh ketawa dan hanya menangis sekejap. Mr. Mano seorang yang sangat humble, sangat peramah, tidak lokek dengan ilmu yang beliau punya berdasarkan pengalaman yang ada dan saya sudah ada senarai tugas atau latihan intensif untuk merangsang pertuturan Aiman Haziq sebelum pertemuan susulan pada Tahun Baru Cina nanti. So far, kelihatannya Aiman Haziq tidak ada masalah dengan pernafasan, cuma rangsangan perlu diberikan secara intensif di bahagian kotak suara dan beberapa bahagian sebagaimana dalam nota catatan saya tempoh hari. Seronok bila melihat Aiman Haziq mula mengeluarkan bunyi-bunyi dengan lebih kerap. Biarlah bising pun sebab saya tahu Aiman Haziq dalam proses menyerap bunyi sekeliling untuk ditiru. Semoga banyak lagi perkembangan positif boleh dicapai selepas 7 bulan otaknya tidak mengalami kecederaan atau kerosakan akibat serangan sawan. Itulah yang paling saya takuti. Hampir enam tahun saya berhadapan situasi ini hampir setiap hari dan saya berharap agar episod ini segera berlalu agar Aiman Haziq boleh terus tumbuh membesar dengan sihat, ceria dan gembira.

Dan bila tahun baru menjelma, saya penuh harapan agar impian untuk memasukkan Aiman Haziq ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti akan tercapai. Jika benarlah bangunan itu adalah bangunan PDK sebagaimana direncanakan, ianya PDK pertama di Parlimen Pasir Gudang dan saya akan berusaha memberikan Aiman Haziq persekitaran yang kondusif untuk perkembangan psikomotor, emosi dan sosialnya. Semoga anak ini sentiasa dilindungi dan mendapat redha Allah sepanjang masa. Doakan Aiman Haziq ye Tuan-tuan, Puan-puan…Saya tak tahu sehingga bila peluang untuk membuat kebajikan ke atas anugerah yang Allah pinjamkan ini dapat kami sekeluarga nikmati. Namun selagi nafas ini masih belum berhenti, saya akan cuba lakukan yang terbaik sebelum tiba masanya anugerah ini dipulangkan kepada Sang Penciptanya. Doakan saya dan keluarga saya agar selalu kuat dan sama-sama dapat mencurah kasih untuk Aiman Haziq.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk anak ini. Saya yakin terlalu ramai yang menyayanginya walaupun tidak pernah bersua muka. Inilah indahnya nilai dan rasa kasih yang Allah titipkan dalam seketul daging kecil dalam tubuh kita kan…Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

20131209_111526

Budak sekampit beras? Tidak lagi…..

Assalamualaikum buat semua pengunjung laman cerita Haziq.

Alhamdulillah…hari ni hari pertama kita berpuasa ye. Saya mewakili Super Haziq dan keluarga kecil kami nak mengucapkan selamat  menjalani ibadah puasa tahun ini. Semoga ibadah kita diterima di sisiNya insyaAllah. Apa kisah nak dikongsi dalam entri kali ni ye…kali ini saya nak kongsikan tentang Super Haziq yang dah makin debab! Kalau dulu saya selalu gelarnya Budak Sekampit Beras tapi rasanya gelaran tu sudah tak relevan sebab saya kira tubuhnya kian berisi. Sajalah nak share….beberapa tahun lepas, saya alami masalah sakit tulang belakang. Berbulan menahan sakit, akhirnya saya dapatkan rawatan dengan tabib tulang di Pulau Pinang. Katanya tulang pinggang dan punggung saya tak berada dalam kedudukan asal. Wajarlah pada ketika tu kalau duduk lama sikit, bila bangun saya pasti mengambil masa untuk melangkah. Perlu berpaut pada kerusi dan meja terlebih dahulu untuk meluruskan pinggang, barulah dapat menegakkan badan dan mula berjalan. Agak khuatir sekiranya ia berulang lagi kerana saya sedar sudah ada tanda-tandanya 2-3 hari lepas.

Balik dari berbengkel di Port Dickson pada hari Khamis, saya mengambil Haziq dari rumah pengasuh. Bila dukung saja, oh tiba-tiba terasa seakan benang tertarik di pinggang dan saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Memang terasa tubuhnya. Satu lagi, suka benar Super Haziq melonjak-lonjakkan badan. Satu perkembangan yang positif cuma tak tahanlah mahu menahan. Sementelah dah dekat Ramadhan, Jumaat hingga Ahad bercuti. Super Haziq memang cukup suka bila ada orang melayannya. Makan berpangku, ada kalanya mahu didukung, mandinya mencangkung, semuanya perlukan kekuatan pinggang dan saya dah mula merasakan saya berhadapan masalah yang sama. Sudah tidak boleh duduk lama di kerusi…oh tidak………..

Ditakdirkan Allah juga dua hari lepas waktu kami berpusing-pusing mahu berbelanja barang keperluan, ternampaklah sebuah kerusi yang rasanya cukup sesuai untuk Super Haziq di kedai barangan terpakai. Bila didekati, conditionnya agak elok, kalau dibasuh kelihatan seperti baru. Kerusi beroda, mudahlah kalau nak bergerak dalam rumah kecil kami. Kuranglah sedikit risiko sakit belakang akibat selalu nak didukung. Memang Allah dah tentukan rezeki setiap anak. Saya percaya itu. Harga yang kami dapat untuk kerusi tersebut sangat berbaloi dengan keadaannya. Hanya RM45!! Antara alat bantuan untuknya yang termurah, alhamdulillah!!

20140628_190729

20140628_190901

Just nice dengan Super Haziq. Boleh dinaik dan diturunkan, beroda dan boleh ditolak ke dapur malah ke dalam bilik. Kuranglah sedikit perlu didukung melainkan waktu makan dan mandi. Masih mencuba untuk suakan susu dan makanan dalam posisi duduk.Nampaknya masih belum bertemu cahaya kejayaan kerana kerap tersedak. Mahu atau tidak, selesanya berpangku sehingga ke hari ini apabila makan dan menyusu. Semoga terus sihat. Tak apalah kalau babab sekalipun. Tak mengapalah kalau saya menghadapi sedikit cabaran asalkan Super Haziq terus sihat. Dapat melihatnya ketawa sudah cukup bahagia apatah lagi duduk memanggil mama, berdiri mahupun berlari. Masih menunggu keajaiban Ilahi….Mungkin usaha saya masih belum cukup untuk anak ini. Masih meneruskan apa yang mampu dan sekarang sudah lena pula diulit mimpi….rasa mahu saja saya gigit pipinya yang semakin tembam dan dadanya yang bidang….alamak baru saja cakap dah buka mata…..alahai…oklah kita sambung di entri berikutnya nanti ye. Bila budak babab ni dah mula menyanyi……….

Diserang sawan lagi….

Assalamualaikum…..

Apa khabar semua pengunjung laman ceritahaziq? Hmmmmm….sebenarnya entri kali ni mahu saya kongsikan tentang serangan sawan yang menjengah Super Haziq pada 18 Jun yang lalu. Kalau yang pernah mengikuti kisah Super Haziq pastinya tahu sedikit sebanyak kronologi kehidupan Super Haziq yang hebat ini. Kalau dulu pernah diserang sawan setiap hari, kemudian reduce kepada 3-4 kali seminggu dan kemudian reduce lagi hingga sebulan 2-3 kali, kemudian ada juga pernah langsung tidak diserang sawan dalam sebulan dan memang tak boleh dijangka bila serangan sawan akan berlaku. Oh tidak lagilah saya nak menulis Mr “S” atau apa istilah lainnya. Mudah kalau ia serangan sawan, maka saya katakan ianya serangan sawan. Thats it! Lebih mudah untuk difahami. Sebenarnya, serangan sawan yang dialami Super Haziq memang sudah sangat berkurangan berbanding dulu. Kalau dulu sukar benar ditebak bila ketikanya serangan sawan akan berlaku. Ada ketikanya ketika tidur, ada ketikanya ketika minum, ada ketikanya ketika sedang menyuap makanan dan ada ketikanya secara tiba-tiba. Pada ketika itu, macam-macam gaya yang keluar kerana pattern sawan yang berubah-ubah. Sekarang, paling banyak serangan sawan berlaku 2 kali sebulan. Ada kalanya tiada langsung selepas konsisten menggunakan pelapik tilam berunsurkan cahaya Dhuha menggunakan teknologi biovelocity sejak bulan 9 tahun lepas. Menipu kalau saya katakan sawannya hilang 100%…masih berlaku cuma peratusannya sangat berkurangan….

Jujurnya kami memang cukup takut bila serangan berlaku dan semua ibu bapa yang mempunyai anak CP yang diserang sawan mempunyai ketakutan yang sama. Sawan menyebabkan berlaku kecederaan dan kerosakan otak yang boleh mempengaruhi fungsi anggota badan dan menggangu perkembangan motor kasar dan motor halus anak-anak CP. Bukan sahaja fizikal akan terkesan, malah perkembangan mental dan intelektual juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menerima kesan yang pastinya bukanlah kesan yang positif.

Ada yang membayangkan bila seseorang anak CP diserang sawan, tubuhnya akan mengeras, bibirnya akan berbuih-buih, matanya akan mendongak ke atas dan pada ketika itu kita akan kelam kabut cari sudu besi untuk diletakkan di mulut bagi mengelakkan kancing gigi. Itu tanggapan suatu masa dahulu dan sudu tidak lagi relevan dalam usaha pemulihan sawan anak-anak CP malah ia boleh membahayakan. Memang ada anak-anak CP yang diserang sawan sebegitu dan sebenarnya banyak lagi pattern sawan yang mungkin ramai lagi komuniti di luar sana tak tahu. Ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang kelip-kelip mata, ada yang menangis macam Super Haziq dan macam-macam. Serangan sawan terakhir ialah pada 18 Jun baru-baru ini. Ketika itu saya sedang suakan air campuran BV Alfalfa dan madu untuknya. Sedang asyik menyedut air dari botol, dek kerana kehausan agaknya…tersedak dan terus menangis hingga kebiruan. Itulah bentuk sawannya. Tiba-tiba menangis hingga tiada suara dan blueish….Cepat-cepat saya cari lampu suluh dan suakan ke mukanya dan itulah senjata kami buat masa ini. Super Haziq ni lain sikit ‘pe’elnya’….walaupun biasa minum susu 3-4 jam sekali, tapi sekali minum macam tak minum berhari-hari! Kadang-kadang naik seriau kita dibuatnya..tak sampai 5 minit habis sebotol! humang ai………..

Bila saja berlaku sawan, meskipun tidak lama..hanya sekitar seminit-seminit setengah, namun saya amat faham dengan risiko kekurangan oksigen yang tidak sampai ke otak. Entah saraf mana yang terkesan saya tidak tahu tetapi saya nekad tidak  membawanya ke hospital. Mengapa? Belum sempat keluar rumah, sawannya sudah berhenti dan ada ketikanya dia tertawa. Ada ketikanya dia jadi lemah, mahu dipeluk dan dimanja tapi tak pernah pula tidur lepas serangan sawan. Kalau dibawa juga ke hospital, entah berapa hari pula akan ditahan semata-mata mahu memantau kadar oksigen tubuhnya. Kami ni naik seriau kalau dengar perlu dimasukkan ke hospital. Tiga tahun pertama hidupnya, hospital memang sudah jadi rumah kedua. Bila sudah tidak mendesak mahu dimasukkan ke  hospital, menggigil rasa kepala lutut kalau perlu berkampung lagi di hospital….oh tidak!!!

Apa pula kena mengenanya lampu suluh dengan serangan sawan? Ha…..Super Haziq ni semakin peka dengan cahaya. Saya memang super duper yakin bahawa anak saya tidak buta. Adakah patut doktor tanda di ruangan buta waktu mahu memohon kad OKU beberapa tahun lepas. Rasa nak menjerit sampai keluar anak tekak tapi suara tersekat pula di kerongkong. Saya kan mengajar student pekak…jadi kalau saya dengar saja suara anak saya, so saya tahu dia tak bisu…Eh apa pula kaitannya?…saja buat kalian gelak….tak tertanya pula pada doktor tu kenapa dia tanda di ruangan buta. Masa tu terasa macam lembu dicucuk hidungnya…ikut saja apa kata doktor, blurrrrrr….saya yang blur, bukan doktor ye…

Sambung semula cerita tentang lampu suluh. Oleh kerana Super Haziq makin peka dengan cahaya, fokusnya akan beralih kepada cahaya apabila disuakan cahaya ke mukanya. Kalau sedang diserang sawan juga boleh reda! Macam tak percaya dan kami sudah tahu taktik terkini walaupun tidaklah sensasi. Tapi mungkin juga boleh dicuba pada anak-anak CP lain kalau memang mereka attracted dengan cahaya. Jadi, bila diserang sawan sahaja, saya akan kelam kabut capai lampu suluh yang diletakkan di laci berdekatan katil di dalam bilik. Ada juga kadangkala kalau di ruang tamu dan tiba-tiba Super Haziq diserang sawan, satu rumah kelam kabut mencari lampu suluh. Al maklum kadang kala lampu suluh tu ada dalam beg balik kampunglah, si kakak buat alat mainanlah…mulalah dengar jeritan ‘singa’ mencari lampu…..Sekurang-kurangnya bila dah nampak saja tanda-tanda serangan iaitu tangisan yang lain macam saja bunyinya…ok lampu!!!!!!!!!!

Alhamdulillah…buat masa sekarang sawan Super Haziq seakan boleh dikawal. Kalau tidak tersedak atau mengamuk, insyaAllah tidak akan berlaku serangan sawan. Kalau menangis pun kenalah kenalpasti tangisan tersebut adalah tangisan yang boleh trigger sawan atau tidak. Cuak benar bila saja serangan sawan berlaku kerana sudah pasti ada perkembangannya yang terganggu. Mudah-mudahan semakin besar usianya…sawan pun tidak akan lagi menjengah. Diam tak diam, sebulan lagi genaplah usianya 6 tahun. Mungkin masih terlalu muda usianya namun ianya tahun-tahun yang sangat mencabar. Encik sawan….syuh…..pergilah jauh-jauh!!!!!!!…

Versi Tanah Kubur: Cerita tentang OKU

Assalamualaikum…

Apa khabar semua pembaca laman ceritahaziq? Tertunggu-tunggukah entri terkini? Maaflah ye….kali ni mama tak mahu bercerita tentang Super Haziq namun apa yang akan mama kongsikan nanti adalah berkenaan pernyataan umum tentang OKU. Cuma kali ini dalam versi cerita dalam slot Tanah Kubur bersama Tok Adi….aaaa….aaaa….kamu naakk ke manaa tu…..ayuhlah teruskan baca cerita ni….(ampun Tok Adi!!!!}

Beberapa hari lepas saya menonton Astro Oasis 106. Biasalah…dah namanya astro…program tv untuk hiburan dan mencari keuntungan, ulang tayangnya berkali kali dan kali dan lagi dan lagi. Kenyataan bukan..ini fakta, bukan auta ye. Kebetulan cerita tu bersangkut paut tentang seorang anak OKU yang sudahpun dewasa. Amran namanya. Sebelum ini mama dah pernah lihat cerita tu cuma kali ini rasa terpanggil untuk menulis. Bila dikatakan OKU, pasti ada sebab yang menjadikan mereka begitu. Bila dikatakan mereka ahli syurga, ada yang sentapnya bertingkat-tingkat!! Bersangka baiklah!! Kata-kata itu doa. Meskipun seseorang itu OKU namun seandainya masih boleh berfikir, masih boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, masih mengerti halal haram setiap apa dilakukan, tiada apa yang terkecuali namun seandainya perkara itu di luar batas keupayaan mereka, tidak salah kalau kita doakan mereka ahli syurga…..Kesian Amran. Dibenci hanya kerana kecacatan fizikalnya. Ayahnya sendiri membencinya, apatah lagi masyarakat di sekeliling yang mempunyai stigma negatif. Kalau masyarakat tidak begitu, tidak akan ada cerita yang dilayarkan. Pasti cerita itu berdasarkan kehidupan dan realitinya, bukan sekadar imaginasi pengarah atau penulis skrip semata-mata.

Kasihan Amran….antara yang berbekas di hati saya…”Aaamran nak belajar Al-Quran, tapi tak tahu. Aamran tahu alif, ba…belajar banyak kali tapi tak masuk jugak…. huhuhu…bodoh…..Aamran nak pergi Mekah, Amran nak jumpa Tuhan tapi Tuhan nak ke jumpa Amran sebab muka Aamran hodoh?”…Allah….Allah…cuba kita letakkan diri pada Amran yang sedang menuturkan kata-kata itu. Apa agaknya rasa yang bertandang ye? Saya yang melihatnya saja sudah merasa sebak. Dalam tak sedar rupanya ada air mata yang mengalir dan setiap kali menonton kisah tersebut, saya tak pernah jemu. Ingat Moin…watak antagonis dalam Tanah Kubur tu? Kerjanya melaga-lagakan orang, menabur fitnah dan bersangka buruk. Mungkinkah wujud orang sebegitu dalam masyarakat kita? Pasti ada. Pasti ada insan-insan yang sentiasa sinis, memandang sebelah mata terhadap insan yang bergelar OKU. Salahkah mereka memegang title OKU tersebut? Mereka mintakah dilahirkan sebegitu? Pasti tidak bukan……

Dalam masyarakat masih tebal persepsi dan pandangan masyarakat tentang golongan OKU. Dihina, disindir, diperli, dikatakan kenan, itu sudah seperti makanan ruji bagi kami ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU, apatah lagi OKU itu sendiri. Meskipun mungkin mereka tidak mengerti apa yang diperkatakan orang tentang mereka tetapi masih ada yang lupa bahawa di keliling anak OKU itu masih ada manusia yang sempurna. Masih ada insan yang puna hati untuk dijaga. Malah saya sendiri pernah ditanya, adakah saya memiliki anak OKU kerana saya mengajar pelajar-pelajar OKU? Kenankah maknanya itu? Sebab itu saya berani mengatakan bahawa masih ada insan-insan yang terlupa bahawa kami juga penghuni  alam ini yang perlu dihormati.

Selalu mendengar rintihan rakan-rakan tentang sukarnya rutin yang perlu dilalui. Orang lihat itu sebagai keluhan. Benar, kami juga manusia biasa. Kudrat kami bukan segagah badang yang mampu menerangkan hutan. Kudrat kami bukan bertulangkan besi beruratkan dawai. Ada kalanya kami perlukan masa untuk diri sendiri tetapi lebihnya kami utamakan untuk anak-anak ini. Kami cuba berikan yang terbaik. Bukan seperti Amran yang terus-terusan dihina, sehingga ayahnya sendiri merasa malu memiliki anak sepertinya. Tidak mahu memberike percayaan kepadanya semata-mata kerana malu. Namun kami tidak malu punya anak OKU kerana kami percaya Allah pilih kami pasti ada sebabnya. Betapa sedih tatkala Amran bertemu Tuhannya dalam lena memeluk Al-Quran yang menjadi cita-citanya untuk dikuasai. Buruk wajahnya berubah indah kerana kuasa Allah, tanda kehebatan Allah. Apalah dosa anak OKU dihina, dicaci dimaki. Kita rasa kita sempurna tapi sepertinya kita yang cacat akal dan jiwa.

Itu belum lagi kisah ibu-ibu ditinggal suami hanya kerana punya anak OKU. Itu belum lagi cerita anak OKU didera hanya kerana sukarnya mahu menerima kehadiran insan itu dalam hidup kita. Kita rasa kita terlalu sempurna.Kita rasa kita tidak akan cacat selama-lamanya namun andai sekelip mata Allah mahu buktikan kebesarannya, siapa kita mahu menidakkannya. OKU bukan penumpang di sudut dunia, bukan juga pelangi selepas hujan yang hadir dan cantiknya sementara tetapi tetap manusia biasa, punya hak yang perlu dijaga. Semua orang akan melalui fasa hidup yang sama sehingga ke akhir usia. Justeru apa hak kita untuk menidakkan hak mereka?  Bersyukurlah kerana mungkin insan-insan yang mengata itu tidak punya OKU dalam keluarga mereka, tidak tahu bagaimana hebatnya cabaran yang harus dilalui, tidak tahu bagaimana beratnya bahu yang memikul kerana hanya melihat dari kerlingan mata sahaja.

Terasa sempurnakah kita? Hebatkah kita? Berkuasakah kita? Akhirnya tanah kubur juga menanti. Tiada pangkat yang akan diletak dibahu dan dibawa bersama, tiada kuasa di atas kertas akan dititipkan bersama, tiada harta berkoyan akan dilonggokkan sewaktu dikuburkan sebaliknya hanya sehelai kain putihlah yang membalut tubuh. Bukan kau hebat pakaianmu berwarna warni, bukan kau berkuasa dan kaya kuburmu bak bilik mewah…jangan kau harap semua itu kerana lubang kecil itulah sahaja tempat persemadian kita. Kau sempurna….dia cacat dan tak sempurna namun pengakhirannya di tempat yang sama, ke liang kubur juga perginya….Terima kasih Tok Adi kerana setia meredakan hati-hati insan yang sentiasa bersangka buruk….

Tak ada manusia

Yang terlahir sempurna

Jangan disesali apa yang telah terjadi

Kita pasti pernah dapatkan cubaan yang berat

Seakan hidup ini tak ada ertinya lagi

Syukuri nikmat yang ada

Hidup adalah anugerah

Tetap jalani hidup ini

Melakukan yang terbaik

Buat semua rakan-rakan sekasut di luar sana, jangan pernah menyerah. Kita tak perlu meletakkan terlalu pergantungan pada manusia sebab akhirnya kita akan kecewa, maka Allah jua tempat kta berserah. Mengadu pada Dia. Pasti Dia mendengar. Biar apa makanan ‘jiwa’ yang diberikan mungkin mengguris hati dan emosi kita, kita akan tetap saling bahu membahu kerana kita berada di dalam kasut yang sama. Benar, mereka MAMPU SIMPATI NAMUN BELUM TENTU MEREKA BOLEH LETAKKAN EMPATI. Kita akan kuat selagi kita bersama-sama. Kepada yang masih kurang rasa kasih sayang di dalam hati, tontonlah siri anak OKU bersama Tok Adi dalam TANAH KUBUR di Astro Oasis…..Free promo pulak….

Untuk anak syurga mama Aiman Haziq bin Ruzaini, I’m so proud and honoured having you for this 6 sweet and lovely years. Tears and joys are like rithm and songs in my journey. Nobody could understand that. Nobobody could feel my feeling for you…nobody except HIM and my soulmate, my bedpartner, my bestfriend. I’m so grateful having a partner who could lend his shoulder for me to cry on, having a son and daughter who love his youngest brother so much. Hope this relationship, this love will last long till Jannah. Ameeen…..Sayang kamu ketat-ketat Aiman Haziq. Selagi ada nyawa di badan, kamu keutamaan kami. Mama punya rakan-rakan yang akan terus berjuang untuk kamu semua duhai anak-anak syurga.

Sekadar rasa dari mama Aiman Haziq bin Ruzaini, Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy with Global Development Delayed and Visual Impairment.

Parking OKU punya cerita…..

Assalamualaikum…..

Salam penuh kemesraan buat semua pengunjung laman ceritahaziq. Maaflah sayang, mama coretkan cerita ni di laman ceritahaziq sebab walaupun ianya bukan cerita tentang Haziq, namun tetap ada sipi-sipi perkaitannya. Nak cerita, semalam mama ke Econsave. Seperti biasa masa nak cari tempat parking kereta tu, mama akan lalu di tiga petak khas kenderaan untuk OKU. Rasa geram mulalah bertandang. Sebab apa? Ui…kereta boleh tahan besar dan mahal yang parking di situ, tanpa pelekat OKU. Memang selalu bersangka baik tetapi kita ni manusia yang lemah, tak sempurna, kadang-kadang terbit juga rasa kesal dengan sikap masyarakat yang ‘ tak reti bahasa’. Fizikal cukup sempurna namun mentaliti di kelas ketiga!

Mama park betul-betul berhadapan dengan salah satu antara tiga petak itu. Masuk ke dalam Econsave dan mencari apa yang mahu dicari namun tidak berjumpa. Keluar semula dan tinggal satu kenderaan masih di petak yang sama. Entah kenapa mama rasa perlu berbuat sesuatu. Mama masuk dalam kereta dan mula mencari buku nota yang sentiasa ada dalam beg tangan dan akhirnya…..

 

20140520_104707

kenderaan yang tinggal di petak kenderaan OKU

20140520_105522                                                                                           Peringatan mesra istimewa dari mama………

Waktu itu entah kenapa mama benar-benar terusik, marah, kesal, semuanya ada. Bukan sebab mama tak dapat masuk petak tu yang mama tak hairankan sangat pun tetapi lebih kesal dengan mentaliti masyarakat yang kononnya sempurna. Hak yang sedikit ini pun hendak dirampas. Lupa agaknya bagaimana cara menghormati hak orang lain. Kalau kita menyalak bukit, kita yang penat…bukit tak runtuh namun kita yang lelah kehabisan tenaga. Hendak harap pihak berkenaan menguatkuasa apa yang patut dilaksana? Berapa peratuslah sangat implimentasinya? Mama sudah sampai ke tahap tak kisah dah….Mama bercakap atas kapasiti hak bersuara seorang ibu kepada anak OKU. Kalau itupun dikatakan keterlaluan….sungguh undang-undang manusia ini bukanlah sesuatu yang bakal menggugat! Akhirnya catatan itulah yang terhasil. Mama selitkan di viper depan kenderaan tersebut dan mama sanggup menunggu apakah yang akan berlaku atau dilakukan kepada kepingan kertas kecil itu.

Hampir 15 minit menunggu, akhirnya kelihatan sosok tubuh wanita menghampiri kenderaan tersebut. Sekali lagi hati kecil mama terusik. Wanita!!! Wanita yang terkenal dengan lembut hatinya juga hilang pertimbangan semata-mata mahukan petak paling hampir dengan pasaraya. Selepas masuk ke dalam kenderaan, wanita itu cuba untuk ‘wipe’ kertas tersebut namun ianya kukuh lekat di situ. Akhirnya wanita itu keluar semula dari kenderaannya dan mengambil kepingan kertas tersebut. Selepas beberapa detik membaca, beliau terus memandu keluar dari petak berkenaan. Hmmmmm…..Mama risau juga, kotlah kertas tersebut direnyuk dan dicampak ke luar tingkap….nampaknya apa yang dijangka tidak berlaku, alhamdulillah!

Mama terus menunggu mana tahu ada kenderaan lain yang bakal memarkir kenderaan di petak berkenaan. Tiba-tiba muncul sebiji viva. Mama ingat dia nak park di petak khas yang kosong tu, namun rupanya lalu sahaja dan park betul-betul di sebelah mama. Mama perhatikan dari ekor mata. Bila pemandunya keluar saja, mama turunkan tingkap dan menyapanya. Terkejut abang tu!! Bila mama tanyakan mengapa tidak park saja di petak OKU yang kosong tu…dengan muka blurr (soalan apa ni?, agaknyalah…), beliau menjawab..”kan tu untuk OKU”…terus mama rasa terharu sangat, nak menangis pun ada, sebak pun ada. MasyaAllah masih wujud insan semulia beliau yang tahu menghormati hak orang lain. Sebenarnya ramai lagi semulia beliau namun dek kerana segelintir yang mindanya jumud ini telah merosakkan imej insan-insan lain yang penuh dengan integriti dan kasih sayang. Malah beliau jugalah yang bantu alihkan troli di belakang kereta kerana ulah manusia yang tak bertanggungjawab. Suka-suka sahaja meletak troli barang di belakang kenderaan, kalau abang tu tak tolonglah alihkan, sudah pasti mama akan langgar bila mengundurkan kenderaan. Terima kasih bang!!

Kalaulah ramai orang yang berfikir sebegini… namun mengharapkan perubahan mentaliti di kalangan 28 juta rakyat Malaysia sememangnya payah. Jadi biarlah kami bantu dengan cara begini. Semoga usaha kecil ini dapat meresap ke nurani insan yang dikurniakan akal yang sempurna oleh Allah. Balik je ke rumah, mama standby dengan edisi ingatan mesra yang lebih kemas dan SIAP UNTUK DELIVERY!!!!

versi cantik...

versi cantik…

Mohon maaflah kepada pemandu-pemandu kenderaan yang bakal menerima peringatan kasih mesra ini. Ini bukan denda, cuma helaian membuka minda dan jiwa. Kalau masyarakat tak beri peluang kepada OKU untuk berada dalam lingkungan mereka….apa gunanya??? Janganlah menuding kepada kecacatan yang dialami OKU semata-mata tetapi pandanglah kembali apakah kesempurnaan kita itu benar-benar sempurna atau kesempurnaan kitakah yang makin mencacatkan mereka? Selamat renungkan bersama…….