Di sini titik mula…

Siapa  menyangka, siapa dapat menduga bahawa rezeki Allah tu boleh datang dari pelbagai arah yang tidak dijangka-jangka. Oktober 2007 saya disahkan mengandung anak ketiga. Syukur dipanjatkan kehadrat Ilahi di atas kurniaan ini. Setelah memiliki sepasang anak lelaki dan perempuan, soal jantina anak tidaklah menjadi isu besar. Tidak kisahlah lelaki atau perempuan, kami terima dengan berlapang dada. Kehamilan kali ini pastinya dinanti penuh tidak sabar oleh si abang dan kakak yang mencari teman untuk bermain. Seperti kehamilan sebelumnya, pastinya trimester pertama adalah trimester paling mencabar bagi saya. Alahan yang dialami pada sebelah petang menyebabkan saya hanya ingin berbaring sahaja. Awal pagi pula lazimnya muntah-muntah sehingga keluar muntah kuning kehijauan yang menyebabkan tekak berdarah. Akibatnya, timbul bintik-bintik merah di sekeliling mata sehingga ke pipi. Rupa-rupanya ia berlaku disebabkan tekanan yang terlalu kuat sewaktu muntah. Menakutkan juga dibuatnya. Mungkin juga secara kebetulan, ketiga-tiga kehamilan mempunyai alahan yang sama, iaitu tak boleh bau seterika. Pantang terbau, pasti termuntah. Akhirnya sang suami terpaksa mengambil alih tugas menggosok pakaian sepanjang tempoh kehamilan.

Ketika kandungan mencecah empat bulan, perut tiba-tiba mengeras seperti kandungan sudah seperti enam bulan lagaknya. Tidak seperti dua kandungan sebelumnya, usia kandungan empat bulan memaksa saya menukar uniform biasa ke pejabat kepada uniform yang sinonim bagi ibu-ibu yang mengandung lainnya. Biasanya kandungan meniti 6 bulan baru saya memakai uniform ibu-ibu mengandung tetapi tidak kali ini. Namun, tidak merasakan seolah ada sesuatu yang pelik sedang melanda diri, saya pergi menjalankan rawatan urutan tradisional seperti biasa bagi mengurangkan rasa keras di perut. Lega rasanya bila telah diurut. Perut  pun rasa selesa dan apa yang peliknya, saya boleh memakai baju kurung semula seperti biasa!. Tinggallah semula uniform itu seketika. Rutin harian berjalan seperti biasa. Usia kandungan 6 bulan lebih barulah saya mula memakai uniform ibu mengandung kerana perut sudah mulai membesar dan memerlukan ruang besar supaya lebih selesa. Kalau pakai baju kurung pasti akan rasa senak dan sesak.

Sehingga akhir kehamilan, tiada apa-apa perubahan yang dirasakan pelik berlaku pada diri. Tiada demam dan sebagainya. Menjelang beberapa hari daripada tarikh jangkaan bersalin iaitu pada 23 Julai 2008, saya berasa seolah bayi di dalam perut kurang bergerak. Kerana cuak, saya mengajak suami terus ke hospital terdekat. Setelah diperiksa, telah ada bukaan 2cm dan setelah melakukan scan, rupa-rupanya bayi saya sedang tidur. Agak lama juga untuk menunggu bayi saya terjaga. Setelah terjaga, saya diarahkan untuk masuk ke wad memandangkan telah ada bukaan. Saya ingat lagi waktu itu dah masuk waktu Zuhur. Menunggulah di dalam wad. Sempat juga berbual dengan ibu di sebelah katil yang dah masuk beberapa hari tetapi masih belum bersalin. Ada juga ibu di hadapan katil yang baru sahaja lepas bersalin. Waktu itu masih belum terasa sakit sangat. Menjelang waktu asar, perut dah mula terasa sakit. Contraction mula berlaku bersela masa. Suami ada di sisi menemani. Pergi mendapatkan jururawat kerana sakit. Bukaan diperiksa. Baru 4cm. Masih lama lagi kata jururawat. “Puan, puan balik ke katil dahulu, nanti kalau dah tak tahan, puan maklumkan kami”.

Saya balik semula ke katil. Sehingga hampir waktu maghrib, suami minta izin untuk pulang seketika ke rumah yang mengambil masa kira-kira 20 minit. Saya kata tak perlu kerana saya yakin akan bersalin malam itu juga. Suami nak balik juga, badan dah berlengas katanya. Saya pun benarkanlah. Ingatkan sempatlah beliau berpatah balik. Sakit makin menyucuk-nyucuk. Muka dah berpeluh-peluh, pinggang dah tak tahan sakit, nak berjalan pun dah tak larat rasanya tapi saya gagahkan juga memegang dinding ke bilik rawatan. “Nurse, saya dah tak tahan ni..”..dengan wajah yang berpeluh-peluh saya naik ke atas katil. Apabila bukaan diperiksa, mereka agak kelam kabut kerana bukaan sudah 7cm!!! Lantas saya diletakkan di atas kerusi roda dan disorong ke bilik bersalin. Sempat saya menghubungi suami sebelum masuk ke bilik bersalin. Suami menjangkakan sempatlah sampai semula ke hospital ketika saya di dalam bilik bersalin. Sampai sahaja di bilik bersalin, sudah ada bidan yang menunggu dan saya diarahkan naik ke atas katil dengan perlahan-lahan. Saya katakan yang saya ingin teran bayi keluar dan bidan tersebut terus bersedia menerima kelahiran bayi saya. Tak sampai 15 minit saya berada di ‘labour room’, tetapi proses kelahiran kali ini saya rasakan cukup berbeza. Paling cepat tetapi paling susah bagi saya kerana saya terpaksa meneran sehingga 4-5 kali sebelum anak kesayangan dapat melihat dunia.

Kalau anak sulung dahulu, saya diinduce tetapi sekali teran, bayi sudah menjengah dunia. Anak kedua pula, dua kali teran dan saya dapat merasa sepenuhnya bagaimana proses kontraksi daripada peringkat awal sehingga proses melahirkan. Kali ini, anak ketiga ini, masa melahirkan yang sangat pendek tetapi agak sukar bagi saya. Apabila suami sampai sahaja di bilik bersalin, bidan memaklumkan bahawa saya telah selamat bersalin. Terkejut jugalah suami kerana tak sampai 15 minit segalanya telah selamat….alhamdulillah. Maka bermulalah perjalanan hidup anak ketiga kami yang kami namakan Aiman Haziq…………

 

<!–more–>

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s