Episod Rumah Sakit 1

Hari kelima, mata baby sekali lagi naik ke atas, nampak mata putih sahaja. Naik takut mama dibuatnya. Mama buka bedung baby, tiada apa yang lain dirasakan. Sekejap saja, tak sampai pun sepuluh saat. Mama beritahu ayah. Kebetulan jururawat desa datang lagi melihat perkembangan mama dan baby. Baby disarankan dibawa ke hospital Segamat untuk pemeriksaan kerana jaundisnya yang semakin tinggi. Mama dan ayah pun bersiap sedia untuk episod tinggal di hospital sekiranya baby ditahan di wad. Awalnya mama hanya bawa baby ke Klinik Kesihatan Segamat di Bandar Putera. Apabila tiba giliran mama dan baby mendapatkan rawatan, betul-betul di hadapan doktor, mata baby sekali lagi naik ke atas. Doktor pun agak terkejut dan mengklasifikasikannya sebagai febrile fit dan terus mengarahkan baby ditahan di wad. Baby ditempatkan di dalam inkubator kerana jaundis dan dapat memantau sekiranya baby diserang fit sekali lagi. Kesian baby mama, tangannya kecil tetapi terpaksa menahan sakit kerana darahnya diambil untuk diuji.

Wajah baby lepas tangannya dicucuk jarum

Mulalah episod mama di rumah sakit. Berbengkung tetap berbengkung. Mama tak dibenarkan menunggu di NICU. Mama terpaksa menumpang di surau berdekatan kerana tiada katil ataupun bilik disediakan untuk ibu-ibu yang menunggu anak di NICU. Setiap kali waktu menyusukan baby barulah mama masuk ke wad. Sebelah petang mama akan balik sekejap ke rumah untuk berurut, kemudian kembali semula ke hospital.Sebelah malam, mama balik ke rumah. Nasib baiklah rumah atuk dekat, kalau jauh nampaknya mama terpaksa berumahtangga di hospital pula. Baby mama diberikan ubat sawan, syrup phinobarbitone secara IV (masuk ikut salur darah). Lima hari di rumah sakit, tiada tanda serangan sawan langsung. Agaknya kesan ubat yang dimasukkan ke tubuh baby. Jadi, hari kelima bila kuning dah turun dan tiada tanda-tanda serangan sawan, baby dibenarkan keluar. Doktor bekalkan surat rujukan terus ke hospital berdekatan kalau baby diserang sawan sekali lagi. Mama dan ayah sebenarnya dah risau sebab bila baby diserang sawan, pasti ada saraf otak yang rosak dan terjejas. Mudah-mudahan tak ada lagi serangan sawan selepas ni.

Dalam pada di kampung, akhirnya selepas fikir punya fikir, mama pun jumpa nama yang mama rasa sesuai untuk baby. Mama namakan baby dengan nama Aiman Haziq. Aiman tak kisah…..itulah yang selalu mama ulang-ulang macam tagline seorang pelakon cilik tu. Rasa macam tenang je hati dapat bagi nama tu pada Haziq.Kami pun balik ke Pasir Gudang sebab cuti ayah dah habis. Mama pun tak betah duduk lama-lama di kampung. Lebih senang menguruskan semuanya sendiri. Biarlah susah senang di rumah sendiri. Mama masih dibekalkan dengan syrup phinorbarbitone bila balik ke JB dan perlu diberi pada Haziq secara oral pula. Rupa-rupanya, kaedah pemberian syrup tersebut secara oral tidak mendatangkan kesan yang positif. Haziq masih diserang sawan. Kali ini, coraknya telah berubah! Mama tekejut sebab Haziq diserang sawan seolah-olah terkejut-terkejut. Kaki dan tangannya sekejap-sekejap ternaik, mata ke atas, macam orang main sepak takraw pula. Nafas pula tertahan-tahan. Mama dah cuak……Sehari kena hingga 3-4 kali. Mama masih berikan syrup. Mama dan ayah dah tak terkata apa-apa.

Kami saling berpelukan dan menangis. Sedih kerana keadaan Haziq yang begitu. Seksa rasanya melihat apa yang ditanggung tubuh kecil Haziq. Sepanjang berkahwin, inilah kali pertama mama lihat ayah menangis. Sebak mengenangkan apakah nasib anak kecil kami yang diduga sebegini. Namun, ayah kuat semangat. Ayah bagi kekuatan pada mama untuk redha menerima ujian ini. Ayah berikan bahu untuk mama bersandar. Ayah berikan tubuh untuk mama peluk kejap bila meluahkan kesedihan. Sukar hendak menerima kenyataan dengan kondisi Haziq yang begitu. Ayah seka air mata mama. Ayah kata kita kena kuat, demi Haziq…

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s