Episod Rumah Sakit II

Mama dan ayah dah tak boleh tahan. Serangan sawan hampir setiap jam membuatkan mama dan ayah terus mengambil keputusan merujuk Haziq ke Hospital Sultanah Aminah JB. Ini bermakna mama memang dah bersedia untuk menjalani sekali lagi episod di rumah sakit. Demi Haziq, mama sanggup. Haziq ditempatkan di wad A3, di letakkan di dalam inkubator kerana usianya yang belum sebulan. Sirap phinobarbitone ditukarkan dengan syrup epilim, masih secara IV. Nampak gaya ada perubahan, serangan sawan tiada. Apa yang mama persan,  bila ubat dimasukkan secara IV, memang serangan sawan tak ada tetapi bila ditukar secara oral, serangan sawan datang semula. Bermulalah juga episod mama dah tak menjaga diri. Mujur mama dapat menumpang katil di wad A2, tetapi kenalah turun naik tingkat atas untuk menjenguk Haziq. Entah berapa kali mama diserang ‘bentan’. Badan tiba-tiba menggigil, seram sejuk dan sekejap panas, sekejap sejuk. Gara-gara tidak berbengkung, tidak menjaga pemakanan dan sebagainya. Waktu-waktu begini, apa yang ada di fikiran cumalah nak menjaga Haziq sampai terlupa menjaga diri sendiri. Entah berapa kali juga darah Haziq diambil, untuk ujian itulah, ujian inilah…dihantar ke IMR Kl lah, macam-macam lagi. Dr Intan Raihani, mama ingat lagi nama Dr yang sangat prihatin dengan kes Haziq. Nampaknya kes sebegini jarang mereka temui. Macam-macam diagnosislah pula yang mereka cuba keluarkan. Haziq jadi bahan eksperimenlah pula mama rasa.

Di hospital juga mama terjumpa seorang bayi berusia lebih kurang 5 bulan yang dikatakan lumpuh otak. Matanya sentiasa terbuka dan tubuh badannya kaku. Sempat bertemu dengan ibunya yang berkongsi cerita. Kecuaian pihak hospital menyebabkan bayi tersebut lemas ketika dilahirkan. Malah, bayi malang tersebut juga turut patah kaki apabila menjalani fisioterapi di hospital tersebut. Saman dikeluarkan kepada pihak hospital dan kerajaan kerana kecuaian tersebut.Keadaan ini membuatkan mama insaf, rupanya ada lagi kanak-kanak malang yang mempunyai nasib yang lebih mengharukan daripada Haziq. Mama bersyukur kerana kondisi Haziq waktu itu tidaklah kritikal. Mama sempat juga bertemu dua orang ibu muda yang mana anak-anak mereka mempunyai masalah yang agak kritikal. Yang seorang, anaknya tidak boleh bernafas sendiri, terpaksa menggunakan bantuan oksigen. Yang seorang lagi, mempunyai masalah nutrisi sehingga terpaksa dicucuk sana,dicucuk sini dan diberikan nutrisi khusus untuk menaikkan berat badan. Kalau lihat keadaan bayi-bayi ini, sedih, sayu dan memilukan. Mama juga dapat melihat serta menyelami perasaan ibu bapa yang kehilangan anak di depan mata. Allahu Akbar. Mama mungkin belum sekuat itu untuk menghadapi saat kehilangan insan-insan yang mama sayangi.

Mencari ketenangan di luar wad…

Doktor dan jururawat di sana semuanya ingat mama salah seorang ahli perubatan sebab selalu bertanyakan ‘medical term” pada doktor pakar dan doktor yang bertugas. Sebenarnya, mama perlu tahu setiap apa yang doktor laporkan dalam perkembangan Haziq. Bila Doktor tulis sesuatu, mama akan rujuk internet. Kalau mama tak faham, mama akan tanya doktor supaya mama faham. Bila doktor pakar melawat, lazimnya ibu bapa tak dibenarkan berada berdekatan dengan bayi tetapi bagi mama..”ada aku kesah?”. Mama nak tahu setiap perkembangan Haziq. Mama sengaja berdiri di sebelah inkubator Haziq supaya bila doktor pakar datang, mama boleh tanya apa sahaja yang mama nak tanya berkenaan Haziq.

Agak lamalah juga mama di HSA. Seingat mama hampir dua minggu. Pasukan perubatan HSA mencuba apa yang terbaik. Mereka membuat ujian mengesan meningitis (radang di selaput otak). Alhamdulillah semuanya ‘clear’. Mereka juga telah membuat scan buah pinggang kerana Haziq ada skin tag di kedua-dua belah telinga yang dikatakan mempunyai kesan kepada buah pinggang. Alhamdulillah, semuanya ok. Ujian IEM dibuat dan mereka mulakan ubat baru iaitu phenytoin bila sawan Haziq masih sama. Mereka nak buat lumbar puncture (ambil air tulang belakang) tetapi mama enggan membenarkan. Masih dalam trauma mitos yang mengatakan ambil air tulang belakang boleh lumpuhlah, hmm biasalah orang Melayu kan..takut tak bersebab (mamalah tu). Mereka hormat dengan keputusan mama. Mereka nak menjalankan MRI tetapi keputusannya sangat lambat iaitu diantara 5-6 bulan. Mengeluh jugalah mama mendengar tempoh keputusan hendak diperolehi. Diantara waktu tersebut, tiada apa yang boleh dilakukan? Jadi, mama dan pasukan perubatan bersetuju untuk merujuk Haziq ke Pakar Puteri untuk menjalani ujian EEG kerana keputusan EEG yang dibuat sangat lambat.

Apabila kondisi Haziq dah nampak agak membaik, mama minta Haziq dipindahkan ke A2 supaya mama boleh lebih dekat dengan Haziq. Permintaan mama diluluskan, dapatlah mama duduk dengan Haziq di wad bersama-sama. Mama minta jasa baik jururawat untuk maklumkan sekiranya ada serangan sawan berlaku lagi pada Haziq. Apa yang mengejutkan mama bila salah seorang jururawat tersebut berkata’ kita ni nak kencing pun tak sempat!!”. Terkejut mama mendengar kata-kata jururawat tersebut. Permintaan mama bukanlah besar sangat, cuma minta tolong beritahu mama kalau Haziq diserang sawan. Kalau pun nak merungut, janganlah sampai ibu pesakit dengar, kan ke kecil hati mama dibuatnya. Mama tanpa berlengah terus minta Haziq dipindahkan semula ke NICU. Mama tak mahu anak mama dijaga oleh insan-insan yang selalu merungut dan bermuka tidak ikhlas. Mujur NICU mahu menerima Haziq semula dengan alasan yang mama berikan. Mama meluahkan perasaan mama pada salah seorang jururawat senior di NICU. Mama sangat terharu dengan layanan mereka di NICU, sangat prihatin dan mesra. Tak apalah mama turun naik ke tingkat atas asalkan putera mama, mama tahu dijaga dan diperhati dengan baik.

Selepas macam-macam ujian yang dibuat ke atas Haziq, mama dan ayah dibenarkan bawa Haziq keluar. Syrup phinorbarbitone diberikan sebagai bekal di rumah.Kami kemudiannya bawa Haziq ke Pakar Puteri untuk mendapatkan pendapat kedua. Kebetulan Haziq pula demam, admit pula di sana dua malam. EEG terus dibuat dan keesokannya dah dapat keputusan. Jelasnya EEG Haziq memang bermasaalah. Mama pun sukar nak menyebutnya. Frequently spike burst…apalah termanya mama pun tidak berapa faham. Apa yang dijelaskan doktor, sawan yang menyerang Haziq menyebabkan keadaan otak Haziq menjadi rosak. Terkedu mama dan ayah mendengarnya.

Haziq di Puteri Specialist JB

Terpaksa jugalah menunggu sehingga demam Haziq kebah baru dapat kembali ke rumah. Mama dan ayah kemudiannya diberikan cadangan untuk bertemu dengan seorang pakar neurologi dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Khoo Teik Being pada Oktober 2008. Mama dan ayah memang membuat rakaman bentuk sawan yang menyerang Haziq. Bila Dr Khoo melihat rakaman tersebut, beliau katakan ianya seperti “Salam Attack”. Diagnosis baru. Beliau melihat keputusan EEG Haziq dan mencadangkan supaya Haziq dirujuk ke HKL untuk pemeriksaan lanjut. Ubat Clonazepam diberikan dan epilim dihentikan. Sayangnya masih tiada sebarang perubahan. Mama mula merancang cuti untuk membawa Haziq ke HKL. Mama akan buat apa saja untuk Haziq. Kalaulah di HKL dapat merungkai penyakit Haziq, mama sanggup..

Selang beberapa hari, mama mendapat panggilan telefon daripada sister di wad A2 yang memohon maaf di atas sikap jururawat di bawah kendalian beliau. Ya Allah, mama sendiri hampir terlupa hal itu. Rupa-rupanya, jururawat senior di NICU mengadu masalah mama kepada sister tersebut dan sister tersebut terus mengambil tindakan sewajarnya. Mama tak menyangka sister tersebut boleh telefon mama disebabkan hal tersebut yang dah hampir mama lupakan. Hmm…pengalaman, pengajaran, semuanya menjadi guru terbaik dalam hidup..Bagi mama, apa yang penting sekarang ialah fokus buat Haziq yang bakal melalui satu lagi episod rumah sakit yang lebih jauh…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s