Learning Disabilities (LD)

Dalam entri terdahulu saya ada menceritakan episod bagaimana Haziq akhirnya disahkan sebagai OKU dalam kategori LD. Kalau nak diikutkan secara logiknya, dalam usia tidak sampai 2 tahun, kanak-kanak seperti Haziq tidak wajar dikategorikan sebagai kanak-kanak LD kerana kita masih lagi tidak dapat menilai dan mengukur perkembangan pembelajarannya tetapi kategori itu diberikan kerana Haziq telah didiagnose juga adalah pesakit GDD iaitu Global Development Delayed. Saya juga menjanjikan akan berkongsikan bersama semua pembaca laman cerita Haziq ini berkenaan LD itu sendiri. Saya percaya hanya individu yang terlibat dengan dunia pendidikan khas seperti guru-guru, ibu bapa serta pasukan perubatan sahaja yang biasa mendengar terma ini. Tak apa, kita kongsikan pengetahuan yang sedikit ini kerana pengetahuan yang banyak hanya milik Dia yang Maha Berkuasa.

Learning Disabilities (LD) atau dalam bahasa mudahnya ialah Masalah Pembelajaran merupakan masalah neurologi. Dalam kata pendeknya pula, masalah ini berpunca daripada perbezaan cara otak manusia itu diprogramkan. Kanak-kanak dengan masalah pembelajaran sebenarnya juga bijak atau mungkin lebih bijak daripada rakan sebaya yang lain tetapi mereka menghadapi masalah dalam membaca, menulis, mengeja, memberi sebab, mengingat atau menyusun maklumat yang diberikan kepada mereka. Masalah pembelajaran tidak boleh dirawat atau diperbetulkan.Ianya merupakan isu berpanjangan yang senantiasa menanti solusi. Melalui sokongan dan intervensi yang betul, bagaimanapun kanak-kanak dengan masalah pembelajaran boleh berjaya di sekolah dan berjaya dalam bidang kerjaya dan kehidupan.

Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak dengan masalah pembelajaran untuk mencapai kejayaan melalui galakan terhadap kekuatan atau kelebihan yang mereka miliki, mengetahui serta peka dengan kelemahan mereka. memahami sistem pendidikan yang sesuai untuk mereka, bekerjasama dengan pasukan multidisiplin dan belajar pelbagai perkara berkaitan strategi untuk berurusan dengan kesukaran spesifik.

Di Malaysia, kanak-kanak dengan masalah pembelajaran dikategorikan kepada beberapa jenis seperti di bawah dan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu:

Sindrom Down

Kanak-kanak Sindrom Down merupakan kumpulan kanak-kanak yang menghadapi masalah Trisomi 21 (gangguan pada kromosom ke 21). Kanak-kanak ini mengalami kelambatan pertumbuhan secara keseluruhan, mempunyai ton yang lembik (hypotonia), profil muka yang leper, hidung kecil, mata melonjak ke atas serta jari-jari yang pendek. Mereka mempunyai kesukaran bertutur, memerlukan bahan pengajaran berpandukan deria penglihatan, memiliki pengetahuan am yang kurang, memerlukan respon motor, serta mempunyai daya ingatan yang singkat dan memerlukan teknik pengulangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Autisme ringan

Autisme bermula sejak awal 20 masihi lagi. Perkataan autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu “autos” yang bermaksud sendiri. Dalam situasi ini, autos merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Seorang ahli psikologi dari Harvard iaitu Leo Kanner telah memperkenalkan istilah austis pada tahun 1943 berdasarkan pemerhatian beliau terhadap penghidap autisme yang menunjukkan respon yang negatif dalam berkomunikasi dengan orang lain, pengasingngan diri, keadaan yang tidak fleksibel dengan orang lain dan cara komunikasi yang berbeza daripada orang biasa. Hasil kajian, (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006), di dalam jurnalnya yang bertajuk “Does Television Cause Autism?” menyatakan bahawa 1 daripada 166 kanak-kanak di dunia merupakan penghidap autisme.

Penghidap autisme biasanya mengalami masalah gangguan dalam komunikasi. Menurut (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006) dalam jurnalnya menyatakan bahawa kanak-kanak autisme ini mengalami masalah separa buta akal. Mereka kurang memahami konsep pemahaman yang difikirkan oleh orang lain. Penghidap autisme biasanya mengelakkan diri untuk bertentang muka dengan orang lain. Mereka tidak menyahut apabila mereka dipanggil tetapi hanya menolehkan muka kepada orang yang memanggil mereka. Mereka turut mengalami masalah emosi yang tidak seimbang. kebanyakan penghidap autisme sangat sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan ciuman. Kebiasaannya penghidap autisme mengalami tabiat suka menjilat, menggigit, atau mencium apa sahaja barang termasuklah barang mainan mereka.

Menurut Vacca (2007) dalam jurnalnya yang bertajuk Autistic Children Can Be Taught To Read menyatakan bahawa pemikiran imaginasi kanak-kanak autistik sentiasa berkurangan, maka penulisan dan pembacaan yang kreatif terlalu sukar untuk difahami oleh mereka. Maka, guru perlu mengajar dalam bentuk yang lebih fakta dan konkrit. Sebagai contohnya, guru menanyakan soalan fakta seperti “Apa yang berlaku disini?, apa yang akan berlaku seterusnya?” dan sebagainya. Vacca (2007) percaya bahawa adalah lebih baik sekiranya guru menggunakan bahan yang realiti berbanding bahan yang berbentuk fantasi.

Attention Deficit Hyperactivity Disorders

ADHD adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Ia melibatkan 3 jenis kepayahan  iaitu kurang tumpuan,hiperaktif,dan menurut kata hati(impulsitiviti).Seorang kanak-kanak dikatakan mempunyai masalah ADHD sekiranya dia mempunyai lebih dari 6 gejala antaranya:

Kurang tumpuan

Kanak-kanak sentiasa melakukan banyak kesilapan di dalam kerja sekolah,mempunyai masalah untuk mengatur aktiviti-aktivitinya ,sering kehilangan barang di rumah dan di sekolah , tidak dapat menyelesaikan tugasnya, tidak memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengannya ,tidak berupaya mematuhi arahan ,mengelakkan aktiviti yang memerlukan konsentrasi dan fikiran ,mudah hilang perhatian dan pelupa.

Hyperaktif

Kanak-kanak sering menggoyang-goyangkan tangan dan kakinya serta mengeliat dan resah di tempat duduknya ,meninggalkan kerusinya di kelas walaupun sepatutnya ia duduk di situ ,berlari-lari dan memanjat-manjat dengan berlebihan (lebih dari kanak-kanak biasa,bising waktu bermain ,sentiasa bergerak ke sana ke mari (tidak duduk diam) ,dan banyak bercakap.

Kerencatan akal

AAMR (American Association on Mental Retardation), mendefinisikan kerencatan akal sebagai suatu kurang upaya yang bercirikan kefungsian intelektual dan tingkah laku adaptif yang terhad. Kerencatan mental lazimnya berpunca sebelum umur 18 tahun. Ciri-ciri atau tanda-tanda kerencatan mental sahaja tidak dapat menentukan sama ada mereka yang difikirkan mengalami terencat mental adalah sah atau pun tidak selagi pengenalpastian yang betul dibuat.

Untuk mengenal pasti kanak-kanak kerencatan mental, lazimnya kita melihat dari dua sudut iaitu kefungsian intelektual dan tingkah laku adaptasi yang ditunjukkan oleh individu berkenaan.

Kefungsian intelektual


Bagi menaksir kefungsian intelektual, ujian kecerdasan (intelligent test) perlu dilaksanakan. Kecerdasan adalah merujuk kepada kebolehan mental umum yang melibatkan kebolehan mengamat, menaakul, menyelesaikan masalah, memahami, belajar dengan cepat, berfikir secara abstrak memahami idea dan dapat belajar daripada pengalaman.

TingkahlakuAdaptasi

Greenspan (1997), menerangkan bahawa Tingkah laku adaptasi (adaptive behaviour) ialah keberkesanan atau sejauh manakah seseorang kanak-kanak itu mempunyai kemahiran praktikal (practical skills), kemahiran sosial (social skills) dan kemahiran konseptual (conceptual skills) – yang dijelaskan sebagaimana berikut.

Kemahiran Praktikal (Practical Skills):

Merupakan kemahiran asas yang dilakukan setiap hari seperti makan, minum, memakai baju, bergerak kesana-sini, menyikat rambut, menggunakan tandas, mengambil ubat, menaiki kereta, mengemas rumah, menggunakan telefon dan sebagainya yang melibatkan pergerakan psikomotor dan amalan harian tanpa bantuan orang lain
Kemahiran Sosial (Social Skills): Kebolehan bersosial seperti bercampur gaul dengan orang lain, menghormati orang lain, mematuhi undang-undang, menunggu giliran dan sebagainya. Tanggungjawab social yang dipamerkan adalah sama dengan kanak-kanak normal yang sama-sama umur.

Kemahiran Konseptual (Conceptual skills):

Merupakan kemahiran yang bersifatkan memahami konsep seperti membaca, menulis, mengira, memahami konsep waktu, konsep wang dan lain-lain. Kemahiran konseptual yang dipamerkan adalah sama seperti yang dipamerkan oleh kanak-kanak biasa yang sama umur.

Bermasalah pembelajaran spesifik seperti disleksia.

Disleksia merupakan sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku. Kanak-kanak disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh. Mereka mempunyai keupayaan intelek yang normal tetapi menghadapi masalah membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira. Di alam persekolahan, kanak-kanak disleksia mungkin menghadapi kesukaran membaca dalam keadaan terbalik, sukar memahami dan mengikut arahan, keliru dengan konsep masa seperti semalam dan hari ini serta gagal menguasai asas 3M.

Ciri-ciri yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan kategori kanak-kanak dalam kumpulan LD. Begitu juga dengan Haziq. Mempunyai ton yang lembik (hypotonia), perkembangan fizikal yang sangat lambat, fokus mata yang bermasalah,kepala masih tak kuat dan beberapa ciri lainnya. Apabila disahkan sebagai OKU, Haziq disarankan untuk mengikuti sesi terapi yang telah dirujuk oleh pakar neurologi HKL ke Hospital Sultan Ismail, Johor. Terapi yang perlu dilalui oleh Aiman Haziq ialah terapi jurupulih cara kerja dan fisioterapi. Maka bermulalah rutin baru setiap bulan ke HSI bagi menjalani sesi terapi yang ditetapkan. Mulalah mendengar jeritan Haziq setiap kali sesi dijalankan. Tetapi, mama dah menarik sedikit nafas lega kerana tidak lagi perlu berulang alik setiap bulan ke HKL kerana temujanji telah diaturkan setiap tiga bulan. Tumpuan mama sekarang ialah kepada terapi Haziq di HSI. Terapi oh terapi……

4 thoughts on “Learning Disabilities (LD)

  1. kalaulah nur boleh berjumpa dan bertukar cerita dgn mama haziq..nur juga di jb, anak nur pun macam haziq..dah 9bln tp masih blom ada apa2 perkembangan..anak nur perempuan, menjalani fisio juga di hsi.

  2. Salam Mama Haziq, sy trjumpa blog ni msa sdg mncari info utk ank sahabat sy. Sudah 2 minggu babynya di ICU slepas mngalami pndarahan otak slepas tjatuh dari buaian. Sabtu lepas bayi sahabat sy dah dipindahkan ke wad. Tp hari ini pihak hospital memberitahu sahabat saya hari esok JKM akan mndaftarkan bayinya sbagai OKU, Walaupun kes agak berlainan sy harap ketabahan Mama Haziq boleh sy jdkan contoh utk shbt saya nnt. Sbgai sahabat hnya ini lah yg trmampu sy berikan pdnya sbgai pnguat semangat. Semoga Mama Haziq teruskan memberi maklumat sbagai pnguat semangat dan rujukan kpd mereka yg sgt2 memerlukan.
    Terima Kasih . Hanya Allah yg mbalas pngorbanan insan2 sperti Mama Haziq yg redha dgn stiap ujian-Nya. Subhanallah..

    • Waalaikumsalam. Pertamanya, terima kasih sebab sudi singgah di blog Haziq. Sampaikan salam saya buat teman Zatul dan semoga beliau kuat dengan ujian Allah. Kalau kita rasa ujian kita terlalu berat, kita kena ingat mungkin ada orang lain yang lebih berat dugaannya. InsyaAllah kita akan redha dan ikhlas. Haziq dikategorikan sebagai LD sebab mengalami lewat perkembangan secara keseluruhan. Mata rabun, masih tak boleh mengeluarkan walau satu suku kata, kalau meniarap pun tak boleh berpusing balik, masih macam baby tetapi….alhamdulillah, nampak perkembangan positif. Yang penting Haziq sihat. Buat teman Zatul, apa sahaja saranan yang baik, ikutlah. Mudah-mudahan ada jalan, ada ruang untuk membantu anaknya meneruskan kehidupan dengan lebih baik pada masa hadapan. Jangan sesekali malu ada anak sebegini. Ingat seperkara, kita diamanahkan untuk menjaga, membelai seorang ahli syurga(aminn), maka tanggungjawab kita untuk melakukan yang terbaik. InsyaAllah…rajin-rajinlah jenguk blog Haziq ye sebab perkembangan Haziq insyaAllah akan dicatat di sini…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s