Tragedi pertama Haziq pada Hari Raya 2008

Mama masih ingat lagi waktu itu hari raya ketiga. Umur Haziq baru sahaja menjangkau 3 bulan dengan keadaan fit (sawan) yang masih menyerang setiap hari. Kalau nak dibilang, kadang-kadang mama dah tak larat nak mengiranya. Boleh kata hampir setiap jam Haziq akan diserang sawan. Masa tu Haziq belum lagi dirujuk ke HKL, masih belum ada sebarang dignosis yang diberikan terhadap kesengsaraan dan derita yang ditanggung Haziq. Mama tahu bahawa setiap kali Haziq diserang sawan, pasti saraf otak Haziq akan tercedera dan merencatkan pertumbuhan bahagian-bahagian saraf yang lain. Apa yang mama boleh buat? Suapkan dengan ubat sawan yang mama sendiri tahu kesannya terhadap saraf. Serangan sawan akan berkurangan tetapi kesannya, saraf  Haziq akan menjadi semakin lemah. Apa pilihan yang mama ada? Setiap kali, itulah yang mama buat sampaikan mama rasa badan Haziq, siap dengan badan mama dan ayah pun dah berbau ubat sawan. Bila dapat ubat, sawan masih juga menyerang. Nampaknya kaedah beri ubat secara oral kurang efektif. Takkan setiap hari nak duduk di hospital, masukkan ubat secara IV pula? Hmm….mesti mama trauma lihat hospital lepas ni. Asyik-asyik hospital, sikit-sikit hospital…kalau orang tanya pun, mama cuma boleh kata haziq diserang sawan yang sentiasa berubah corak. Mama rakam serangan sawan yang berlaku tapi mama tak sanggup nak tengok lama-lama. Bukan aje sedih, tapi tak tahan bila melihat Haziq tahan-tahan nafas, hilang-hilang suara dan ada ketikanya sampai kebiru-biruan.

Kembali nak cerita tentang tragedi hari raya ketiga. Waktu itu seawal pagi, dalam lingkungan 4 pagi kalau tak silap mama. Haziq tiba-tiba menangis, tahan-tahan nafas sehingga bukan saja muka naik biru, separuh badannya kebiruan!!. Mama dah panik, air mata tak payah ceritalah, dah berjujai-jujai. Ayah pun dah jadi tak tentu arah. Puas kami tepuk belakang Haziq, gosok-gosok pipinya, gosok-gosok tapak kakinya, semuanya tak menjadi. Mama dan ayah dah nak terus bergerak ke hospital Segamat sebab waktu tu kebetulan memang di kampung. Sedang elok kami nak melangkah keluar bilik baru Haziq tersedar. Seingat mama, hampir 20 saat Haziq kebiruan. Waktu tu, apa yang mama fikir ialah Haziq hampir putus nyawa rasanya. Haziq terus jadi lembik selembik-lembiknya. Kami tak jadi ke hospital sebab dah tahu kalau ke hospital memang sah akan ditahan semula ke wad. Mama peluk Haziq kejap seolah tak mahu langsung lepaskannya. Mama cium Haziq. Mama basahi pipi Haziq dengan air mata mama. Mama peluk ayah kuat-kuat. Mama tak cerita langsung pada mak dan abah tentang apa yang berlaku. Biarlah kesedihan ini kami yang tanggung berdua. Mama dah membayangkan pada waktu itu mama akan kehilangan Haziq. Semua itu dah bermain-main dalam fikiran mama. Ya Allah, kau panjangkanlah usia anakku, Kau kurangkanlah derita anakku, Kau berikanlah kesembuhan padanya, Janganlah Kau uji dia dengan ujian yang mungkin tidak tertanggung oleh tubuh kecilnya.Ya Allah, kau berilah peluang untuk dia melihat mama, ayah, kakak dan abangnya. Kau berikanlah sinar bahagia untuk Haziq Ya Allah. Tak putus-putus mama berdoa.

Semakin hari keadaan Haziq makin membimbangkan mama. Setiap kali Haziq diserang sawan, kepala mama ligat berfikir saraf mana kali ini yang akan tercedera. Perkembangan apa pula yang akan terbantut. Apa yang mama harus buat? Di mana dan dengan siapa mama nak mengadu? Nak cerita banyak sangat pada mak, asyik disuruh jumpa orang itulah, orang inilah. Pening mama dibuatnya. Bukanlah mama tak percaya pada perubatan alternatif, tapi bila memikirkan orang yang bakal dicari tu bukanlah Ustaz yang mengamalkan perubatan Islam, mama terpaksa berhemah memberikan pelbagai alasan. Pernah juga sebab taknak kecilkan hati mak, mama ikutkan juga bertemu seorang pakcik di Kampung Jawa. Malam-malam pula tu. Nak ke rumahnya pun ala-ala seram gitu. Apa yang hebatnya rumah pakcik tu, dalam kawasan pokok getah, rumah kayu dengan tangga tinggi, ada ASTRO!!!. Rumah mama pun tak pasang astro……Hebatlah tu pada pandangan mama. Kata orang, Siti Norhaliza pun pernah mendapatkan perkhidmatan perubatan alternatif daripada pakcik tersebut. Entahkan iya entahkan tidak, anggukkan kepala ajelah. Mama tak sanggup tengok Haziq terus-terusan menanggung derita begitu. Mama perlu mencari solusi selain hanya bergantung dengan ubat yang dibekalkan pihak hospital.

Apa yang mama fikirkan sekarang, macam mana nak hilangkan kebiru-biruan bila Haziq menangis sambil tahan nafas. Ada juga yang cadangkan supaya mama dan ayah pergi mencari perubatan alternatif homeopathi. Hmm…boleh juga dicuba kaedah ini. Nantikan episod bagaimana dan di mana mama mendapatkan ubat-ubat homeopathi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s