Air tulang belakang?

Mendengar kalimah “Puan, kami perlu mengambil air tulang belakang pesakit untuk mengesan sebarang kuman dan penyakit lain,” Dr Intan Raihani memaklumkan kepada saya. “Tak apa puan, puan boleh berbincang dengan suami dahulu dan berikan jawapan kepada saya nanti,” jelasnya lagi. Tersenyap seketika apabila mendengar kehendak doktor yang satu itu. Rasa ngeri, nyeri, ngilu semuanya datang bertandang. Maklumlah, stigma dan persepsi masyarakat terutama masyarakat Melayu terhadap isu pengambilan air tulang belakang masih lagi tebal. Kononnya, pengambilan air tulang belakang boleh menyebabkan pesakit bertambah parah dan mungkin menyebabkan kelumpuhan. Saya sebenarnya bukanlah tertutup sangat mengenai hal ini, cuma rasa takut tetap ada. Kalau benar seperti apa yang dikata, mampukah saya menanggung satu lagi tamparan yang hebat?? Saya belum bersedia…Jawapan yang saya berikan ialah berikan saya masa berfikir dan berbincang.

Balik ke rumah, komputer riba menjadi teman. Laman Google saya buka. Niatnya untuk mencari prosedur ‘lumbar puncture’ atau air tulang belakang. Apa yang saya jumpa:

Secara  saintifik ia dikenali sebagai Cerebrospinal fluid (CSF). Cecair berwarna jernih ini beredar ke seluruh sistem saraf tengah. Air tulang belakang adalah sejenis protein yang terletak di antara otak dan tengkorak. Ia memiliki dua kelebihan pada sistem saraf tengah. Dari sudut peredarannya, ia menghantar nutrisi kepada struktur sistem saraf. Ia juga menyingkirkan bahan buangan daripada otak dan tulang belakang selain menyahtoksik persekitaran sistem saraf.

Air tulang belakang juga bertindak menyerap goncangan. Ia melindungi otak dan tulang belakang daripada trauma disebabkan pergerakan, misalnya jatuh. Secara purata, manusia menghasilkan air tulang belakang sekitar 0.3 ke 0.4 mililiter setiap minit. Tetapi setiap kali dihasilkan, ia akan terserap ke dalam sistem badan. Jika penghasilannya tidak diserap, seseorang itu akan berhadapan masalah kepala besar berair dikenali sebagai hydrocephalus.

“Air tulang belakang yang normal berwarna jernih tetapi akan bertukar warna dan tidak mustahil menjadi pekat kekuningan jika berlaku jangkitan pada otak dan urat saraf. Analisis ke atas tahap protein, gula, sel darah putih dan merah, kultur untuk kuman, mikroskopi dan beberapa ujian lain boleh memberitahu maklumat tepat penyakit urat saraf. Penyakit yang biasa terjadi di otak dan selaput otak adalah meningitis dan encephalitis (radang otak) selain masalah urat saraf lain yang tiada kena-mengena dengan jangkitan. Tetapi prosedur lumbar puncture tidak boleh dibuat jika berlaku tumor pada otak atau pendarahan di otak.

Hanya beberapa titis air tulang belakang saja diambil. Biasanya prosedur itu membabitkan bahagian bawah ruas tulang belakang di antara L3 dan L4. Urat saraf tunjang berakhir pada ruas tulang pinggang L1 atau L2. Justeru lumbar puncture tidak menyebabkan penusukan jarum ke tulang atau saraf penting yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu cacat. Disebabkan bahagian antara ruas itu hanya urat saraf kecil, apabila jarum dimasukkan, saraf secara automatik akan ketepi.

Prosedur lumbar puncture ini mengambil masa kurang lima minit. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang kesan pada pesakit, jika dilakukan dengan langkah berjaga-jaga. Justeru, ada beberapa langkah perlu diambil kira sebelum lumbar puncture dibuat;

a) Tiada tekanan tinggi dalam otak

b) Tiada pendarahan dalam otak

c) Kulit di bahagian yang bakal dibuat lumbar puncture bebas dari sebarang jangkitan.

d) Tiada tumor dalam otak yang boleh meningkatkan tekanan dalam otak. Jarum yang diguna halus dan kecil.

Tiada had usia untuk memulakan prosedur lumbar puncture. Bayi yang baru beberapa hari dilahirkan pun boleh melalui lumbar puncture.

Tetapi jika pesakit itu tidak stabil, prosedur ini tidak akan dilakukan. Bagi kanak-kanak, jika ubun-ubunnya masih lembik prosedur itu selamat. Bagi kanak-kanak yang ubun-ubunnya sudah keras, imbasan CT mungkin perlu dibuat. Tetapi jika kemungkinan meningitis yang tinggi, pesakit akan dimulakan dengan antibiotik dulu diikuti dengan lumbar puncture.
Sumber: Berita Harian 8.4.2007

Maklumat ini melegakan hati saya. Saya faham masyarakat Melayu memang kaya dengan pantang larang. Justeru saya memikirkan mengapa tidak saya lakukan sekiranya prosedur ini dapat mengenalpasti kuman yang menyerang sekiranya ada? Sekurang-kurangnya saya mendapat jawapan. Rasa takut masih ada. Membayangkan cerita-cerita orang bahawa anak saya akan dibengkokkan seperti udang mengerekot, sakitnya berhari-hari, kecut pula isi perut dibuatnya. Akhirnya, saya memberikan keputusan yang tidak dijangka. Saya sendiri terpengaruh dengan stigma yang telah lama tertanam dalam jiwa masyarakat kita ini!.

Namun begitu, Allah menggerakkan hati saya sebagai seorang ibu untuk merasai derita si anak. Apabila Haziq terpaksa dirujuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur, saya dengan senang hati memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada pasukan perubatan untuk melakukan sebarang prosedur yang boleh membantu Haziq. Buatlah apa sahaja asalkan Haziq saya dapat dibantu. Biarlah orang berkata apa, saya tidak mahu ambil kisah. Anak saya, saya berhak menentukan apa yang terbaik buatnya. Saya yang menjaganya siang dan malam, saya yang merasai kesakitan yang ditanggungnya, maka saya sebagai ibu berhak mendapatkan yang terbaik. Siapa mereka untuk mempengaruhi keputusan saya. Meskipun ramai yang menyogok dengan cerita-cerita yang menakutkan, kali ini saya tidak termakan tempiasnya. Tekad saya bulat. Saya perlu mendapat kepastian tentang penyakit anak saya. Saya tidak mahu tertanya-tanya entah sampai bila. Apa yang terdaya dilakukan perlu saya lakukan…kenapa perlu takut? Selagi peneman saya masih ada di sisi, menyokong dan memberikan semangat, saya akan terus melemparkan senyuman…

32 thoughts on “Air tulang belakang?

  1. hye mama..ape kaba haziq skrg?hopefully sehat n semakin bijak. just to share psl air tulang belakng ni. my daughter mase 3bln pon terpaksa i izinkan utk doc teruskan prosedur ni. mmg konfius b4 making decision. sbb 100% ramai yg kate jgn izinkan doc ambik air tulang belakang. tp mmg btol u kate, kite sndri yg menaggung n menghadap si kecil yg sakit. hanya berdoa n bertawakal kpd Allah agar semua nya berjln lancar n selamat.

    • salam Irma. Alhamdulillah, Haziq nampak sihat selepas seminggu demam. Dah asyik nak melonjakkan badan nak pandai berdiri agaknya. Demam nak masuk 3 tahun juga agaknya bulan ni. Apa saja keputusan yang kita buat sebagai ibu dan ayah pastinya untuk kebaikan anak yang paling kita sayang. Orang boleh kata maca-macam, boleh fikir apa saja kerana itu hak mereka. Kita yang melalui ujian ini perlu tahu apa yang terbaik harus kita lakukan. Bersedia dengan sebarang risiko mahupun kemungkinan. Menyesal? tiada dalam kamus….yang penting usaha dan tawakkal, insyaAllah pasti ada jalan terbaik untuk kita………..

  2. Thanks for sharing. Kin pon dalam situasi macam sis skrg. adik kin akan menjalani proses pengambilan air tulang blakang. and sbb tu kin buat research, and sampai ke page ni. thanks for the info. doakan semuanya akan selamat yer.

    • Sama-sama Kin. Kita hanya merancang yang terbaik untuk insan-insan yang kita sayangi. Paling penting, berdoa, bertawakkal dan jangan sesekali kita menyesal dengan keputusan yang kita dah buat. Apa yang bakal terjadi semuanya telah ditentukan Allah sebab hanya Dia yang Maha Mengetahui. Baik atau buruk, kita mesti redha….semoga adik Kin selamat menjalani prosedur tersebut dan didoakan agar kesembuhan bakal mengiringi adik Kin, insyaAllah.

  3. Assalam..kak,smalam 8/8/2011 sy d uji oleh yg maha Esa dlm bln puasa ini d mana baby perempuan sy brumur 1 tahun 2 bln mengidap semacam meningitis..selepas d kjarkan ke wad kecemasan sg buloh..mcm2 mereka lakukan pd baby sy..ubat tido+antibiotik+scan otak…dan trus masuk ke i.c.u…hati mana yg x trsentuh tgk baby kecil di buat bgitu..tp tulah kecekapan pasukan perubatan sg.buloh melakukan yg terbaik kepada Nursyajuma…sam a seperti anggapan sy yg lama bhawa lumbar puncture ni akan ada risikonya..tetapi bila trbaca blog kakak,Alhamdulillah..kurang la skit rasa takutnya tu…pada jam lbih kurang 5.00pm (9/9/2011) lumbar puncture telah selamat di lakukan keatas Nursyajuma atas izin kami suami isteri..tp doc tu pandai syco kami..dia x britau nk lumbar puncture,dia cuma nak ambil sedikit sampel air dr urat saraf sebelah tulang belakang katanya..so,kami pn brsetuju..keputusan akan diketahui pd esok hrinya..berdebar2 gak nak tau resault nya nanti…Kepada kakak sy ucapkan ribuan terima kasih dgn adanya info yg teramat berguna ini dan dapatlah btulkan anggapan sy selama ini..kepada semua,doa anda sy harapkan expecially sblum brbuka puasa kerana doa orang yg ingin brbuka puasa,Allah akan makbulkan..berdoalah buat Nursyajuma semoga sihat dan cepat sembuh…Sekian terima kasih.

    Ahmad Noor 12 A.M 10/08/2011

  4. Assalam..kak,smalam 8/8/2011 sy d uji oleh yg maha Esa dlm bln puasa ini d mana baby perempuan sy brumur 1 tahun 2 bln mengidap semacam meningitis..selepas d kjarkan ke wad kecemasan sg buloh..mcm2 mereka lakukan pd baby sy..ubat tido+antibiotik+scan otak…dan trus masuk ke i.c.u…hati mana yg x trsentuh tgk baby kecil di buat bgitu..tp tulah kecekapan pasukan perubatan sg.buloh melakukan yg terbaik kepada Nursyajuma…sam a seperti anggapan sy yg lama bhawa lumbar puncture ni akan ada risikonya..tetapi bila trbaca blog kakak,Alhamdulillah..kurang la skit rasa takutnya tu…pada jam lbih kurang 5.00pm (9/9/2011) lumbar puncture telah selamat di lakukan keatas Nursyajuma atas izin kami suami isteri..tp doc tu pandai syco kami..dia x britau nk lumbar puncture,dia cuma nak ambil sedikit sampel air dr urat saraf sebelah tulang belakang katanya..so,kami pn brsetuju..keputusan akan diketahui pd esok hrinya..berdebar2 gak nak tau resault nya nanti…Kepada kakak sy ucapkan ribuan terima kasih dgn adanya info yg teramat berguna ini dan dapatlah btulkan anggapan sy selama ini..kepada semua,doa anda sy harapkan expecially sblum brbuka puasa kerana doa orang yg ingin brbuka puasa,Allah akan makbulkan..berdoalah buat Nursyajuma semoga sihat dan cepat sembuh…Sekian terima kasih.

    Ahmad Noor 12 A.M 10/08/2011

    • Assalamualaikum.Buat Ahmad dan isteri, semoga kalian kuat dan semoga Nursyajuma juga kuat melalui ujianNya. Akak harap kalian yakin dengan keputusan kalian. Keputusan yang pernah akak buat dulu untuk Haziq pun ada rasa gelisah dalam dasar hati tetapi, yakin dan bertawakkal. Sekurang-kurangnya kita berusaha melakukan yang terbaik untuk insan kesayangan. Lagipun prosedur lumbar puncture dah tak macam dulu, lebih mudah. Risiko? apa-apa yang kita lakukan tiap-tiap hari pun ada risikonya kan.InsyaAllah, yakinlah bahawa Allah sayang kita, sebab tu Dia uji kita kerana kita adalah hamba-hamba pilihanNya.

  5. assallamualaikum..thanks dapat share maklumat.anak lelaki sy juga Haziq namanya.nk masuk 5bln.igtkan demm biasa nk tumbuh gigi..dia mengalami sawan 2x.demam pans on off lbh semgu..sawan pertama just prgi klink swasta.fist time trjadi panik juga.ms kami sekeluarga sibuk nk brbuka,haziq nk kene sawan lg skli.apa lg,sy n suami bergegas bw dia ke wad kecemasan.Doc ters bw ke wad n benda yg sama dilakukan kepd bby nursyajuma..tak tahu apa nk ckp bila doc kata nk ambil sampel air tulang blakang..takut dgn gambaran cerita y mcm2..blh jadi lumpuh tak blh jln n bnyk lg..smpai bbrapa kali doc pakar dtg suruh kami suami isteri bincang.jelskan mcm mn cara nk ambil dgn jarum y sgt halus n tk ada risiko..tp hati sy ttp berasa tkut n x setuju. sbb tgk keadaan bby ms tu dh tak demam lg,dia pun dh aktif mcm biasa, buat apa nk buat LP lg.Namun, akhirnya kami setuju.Habis teman2 suami call tnya pendapt..menits air mata ibu tgk si kecil mengs x henti.disurh puasa sblm Lp..kptsn akhrnya OK.Selps 3hari diwad bby sht n tak dmm lg..semoga risiko jgka masa pjg itu tak terjd pada bby…Insyallh

    • Assalamualaikum Jamliza dan suami…Saya faham, stigma yang bersarang dalam minda kita masyarakat Melayu memang susah nak hilang. Tetapi, kita cuba apa yang terbaik. Budak-budak bila sawan,kita mesti cari puncanya. Ianya akan berulang.Sekali kena, cuba bayangkan berapa banyak sel saraf yang rosak dan kita tak tahu saraf mana yang terima kesannya. Sekurang-kurangnya bila kita dah buat LP, dan keputusannya OK, kita rasa puas hati kan. Kalau ianya berulang, banyak lagi alternatif lain yang perlu kita cuba juga. Semoga kalian kuat semangat dan tidak mengalah dalam menerima ujianNya…

  6. assalammualaikum…tertarik baca titipan kat sini…….perkara sama yg sy lalui…….hanya Allah je tau mcm mana rasanya bila terpaksa buat keputusan bila dr kata nk ambik air tulang belakang…….tp dengan tawakal benarkan jugak……arini dapat keputusan, dr kata alhamdulillah x ada pape……….x menyesal buat prosedur ni, sebab kalo apa2 jadi rasanya akan lg menyesal…..setakat ni…tgk anak alhamdulillah sihat dan ok……mudah2an Allah permudahkan segala urusan kita

    • Assalamualaikum….terima kasih singgah di blog cerita Haziq..Kita cuma usaha apa yang perlu dan apa yang kita rasa terbaik untuk anak-anak kita. Semoga anak Hana (ye ke nama ni), maaf ye tak tahu nama….sembuh dan membesar sihat sebagaimana anak-anak yang lain…

  7. Assalamua’laikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam, Penguasa Dunia dan Akhirat…. Terbaca blog ini, saya terdetik untuk mengatakan beberapa perkara….

    1. Apabila kita hendak menyatakan sesuatu, KATAKANLAH BERDASARKAN ILMU PENGETAHUAN BUKAN ANDAIAN ATAU KATA-KATA ORANG….

    2. Apabila mendapat sesuatu berita, pastikan KEABSAHAN/KESAHIHAN berita tersebut. JANGAN terus diselitkan dalam minda kita tanpa usul periksa.

    3. Apabila ia berkaitan dengan agama, sumber utama semestinya AL-QURAN DAN SUNNAH NABI YANG SAHIH…iatulah yang ditinggalkan oleh Allah dan Nabi Muhammad SAW….

    4. Apabila kita mahu menyatakan sesuatu, fikirkan kesannya ; dosa mahupun pahala…dosa dijauhi, pahala dilipat gandakan…

    Akhirnya…saya ucapkan jazakallahu khairan kathira kepada Puan blog kerana berkongsi ilmu dengan saya pada pagi Jumaat ini. Semoga setiap tulisan yang ikhlas mendapat ganjaran daripada Allah swt…Kepada orang Melayu, jauhi buruk sangka tanpa usul periksa, gunakan akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir dan mencari kebenaran….

    • Waalaikumsalam. Terima kasih kerana singgah di blog saya. Terima kasih kerana sudi membaca dan sudi meninggalkan komen. Kalau ada yang boleh dikongsikan, silakanlah. Kalau ada yang tersilap, sudikanlah menegur..kita hanya manusia yang tak lepas melakukan kesilapan. Sekadar berkongsi pengalaman yang sedikit. Yang baik diteladani, yang buruk jadikanlah sempadan….

  8. salam mama…sy noly..saya ingin share pnglaman saya juga…ank sy pun mngalami hal yg sma sewaktu usia 3 hari…puncanya 24jam xkncing pastu doc suspek ank sya nk kna sawan…bygkanla time tu dahla sy tgh berpantang…2 mlm asyik bfkir menangis mngenangkan keadaan ank sy..kami suami isteri cuba mmbuat kputusan yg terbaek..tye pda smua ahli kluarga smua ckp jgn wat n klu ade cra len watla cra len…tp doc ckp klu xwat slagi tula ank sy akn dbg ubat…stelah brbincang akhirnya kami bersetuju memberi kbenaran untuk mngmbil air tulg blakag wlaupun sbnrnye ati ni berat sgt..alhamdulilah ketiga2 ujian yg dlakukan tiada pe2 masalh..dan alhamdulilah smpai ke hari ini ank sy NUR AMNI SOFEA yg berusia 7bulan sihat..

    • Assalamualaikum…apa khabar Noly…Alhamdulillah Nur Amni Sofea membesar dengan sihat….Allah tahu apa yang terbaik untuk kalian. Mesti ada hikmahnya atas setiap keputusan yang dibuat dan atas setiap apa yang terjadi. Semoga Sofea terus dikurniakan kesihatan yang baik…

  9. Assalamualaikum puan..t/ksh di atas perkongsian yang sangat berguna ini.. saya google bagi pihak sepupu yg berada di kg. Beliau baru 3 hari bersalin, baby demam… then doktor suruh buat pilihan sama ada ambil air tulang belakang atau tunggu lagi sepuluh hari.. takut juga, nak tunggu lagi 10 hari ada yg tak diingini berlaku.. nauzubillah.. Doakanlah yg terbaik utk anak sepupu saya tu ye…. Ameen…

    • Waalaikumsalam. Puan, perkongsian ini berdasarkan pengalaman saya dan juga sedikit info yang saya baca. Kalau mahu penjelasan lebih terperinci, lebih baik diserahkan kepada pasukan perubatan yang pastinya lebih mengetahui pro dan kontranya prosedur pengambilan air tulang belakang.Saya dulu pun kali pertama doktor nak buat, saya tangguhkan kerana stigma ketakutan dan kerisauan yang mendominasi. Tetapi akhirnya kami akur seandainya itulah pilihan terbaik yang kami ada dan kami yakin dengan keputusan itu. Baik buruk kesannya, kami bersedia….

      Bagi kes baby demam, saya rasa lebih baik jerlum dahulu dengan air sebab masih ada rawatan awal yang boleh diberikan untuk mengawal suhu badan yang tinggi.Pelik juga kalau tiba-tiba nak ambil air tulang belakang tu hanya kerana demam. Cuba tanya semula dengan doktor mengapa perlu ambil air tulang belakang hanya kerana demam? saya pun tertanya-tanya…….Tapi kalaulah keputusan telah dibuat dan sepupu puan yakin dengan keputusan itu…saya tetap mendoakan yang terbaik buat mereka dan semoga baby mereka cepat sembuh….

  10. Tq akak. Skrg ni pkl 1am. Kawan sy call. N tanye pasal amek air tulang belakang ni. Saya ni bukan doktor, tp akak saya yg doktor. Nak call tanye dah tgh malam. So. Saya search google. N terjumpe blog akak. Tq akak. Utk maklumat yg amat berguna ni

    • Terima kasih singgah di blog Haziq…….apa-apa pun cuba bincang dengan kakak Nick juga sebab ini keputusan besar yang perlu diambil. Di hujung keputusan itu perlu ada rasa redha dan keputusan itu diambil bukan atas dipengaruhi oleh sesiapa. Hanya fikirkan yang terbaik untuk yang tersayang…

  11. salam kak…
    situasi sy x same dgn situasi akk..sy punya situasi xde kaitan dgn ank mahupn sedara mara..tp kene dekat diri sy sdiri..sy masih dlm dilema,takut,dan risau bila doktor cdgkan lumbar pncture as one of the option utk sahkan sy menghadapi Multiple Sklerosis ataupun tidak…ble dgr jer doctr sbut perkataan lumbar pnture,jantung sy trase mcm nk jatuh ble terbygkn kemungkinan utk lumpuh tu ade..yg plg sy risau kalau prosedure tu bg kesan kpd masa dpn sy lg2 sy masih belum berkahwin dan stiap wanita pasti mahupun zuriat dlm perkahwinan kan…sy masih resah kak dan risau kak..

    • Assalamualaikum Izzati
      Pertamanya, terima kasih singgah di blog Haziq ye. Semoga Izati sihat dan berada di bawah lindunganNya selalu. Berkenaan lumbar puncture, apa yang boleh akak sarankan ialah Izati berbincanglah dengan keluarga soal ini. Akak faham, perasaan takut itu akan sentiasa ada. Cuba cari alternatif lain dulu. Sekiranya memang pasukan perubatan kata itu adalah kaedah terbaik, Izati perlu faham risikonya dan bersedia menghadapi segala kemungkinan. Keputusan di tangan Izati.Sekiranya resah, buatlah solat istikharah, insyaAllah jalan terbaik akan Izati peroleh. Akak doakan yang terbaik untuk Izati. Kena banyak sabar ye dik…..

  12. Assalam…kak,terima kasih sbb bkongsi cerita ttg anak akak ni.saya pn menghadapi masalah yg sama tp ianya berlaku pada ayah saya.dia berumur 62 tahun.awal april 2013 yg lepas,saya ada bawak ayah ke HKL utk bjumpa dengan pakar neurlogi.ayah saya disyaki menghidap NPH (normal presure hydrocephalus).10 tahun yg lepas dia kena strok.lepas 15 hari di hospital putrajaya,dia discharge dan dia sihat mcm biasa dan kembali dengan rutin harian yg biasa dia buat.tp lama kelamaan saya lihat kesihatan dia semakin merosot.dia semakin jadi pelupa,tak boleh drive kete lagi,pergerakan dia makin merosot terutamanya berjalan.sampailah dia kena guna wheel chair sekarang ni dan pakai pampers sbb susah nk berjalan ke tandas.doktor cadangkan utk buat lumbar puncture dan mcm situasi akak,saya juga memikirkan hal yg serupa.risaukan risiko2 yg bakal dihadapi lepas buat procedure tu nanti.tp lepas berbincang dengan mak serta adik beradik yg lain,kami bersetuju utk buat.cuma kami pohonkan pada Yang Esa agar ayah kami selamat jalani procedure tu dan semakin sihat selepas tu.apa yang saya nk tau ialah,berapa kos masa anak akak buat procedure tu.adakah sampai berbelas ribu?lagipun ayah saya pesara kerajaan.ape2 pun terima kasih sbb berkongsi cerita ni.sangat2 menghargainya sbb menyangkal persepsi orang2 kita ttg lumbar puncture ni.
    Wassalam…

    • Waalaikumsalam. Boleh panggil Azmi je ye? Kalau ikut takut, tipulah kalau tak takut tapi insyaAllah kalau itulah jalan yang terbaik, selebihnya kita serah pada Dia. Prosedurnya dah tak macam dulu, jarumnya pun sangat kecil sampai kitorang dulu tak perasan pun kesan cucuk jarum untuk ambil air tulang belakang tu….Bukan senang nak ubah mentaliti kita orang Melayu ni kan…Menjawab pertanyaan Azmi, tak ada sebarang kos yang kami perlu bayar waktu tu sebab Haziq memang admitted di sana lebih dua minggu. Kami suami isteri kakitangan kerajaan. Rasanya ayah Azmi pun tak kena bayaran kot sebab pesara dan warga emas. Tapi tak berani nak confirmkan sebab tak tahu. Jumpa Dr Hussein Imam ke? Atau Dr Khoo di HKL? Kami dah lama tak ke sana sebab dah refer ke Hospital Sultan Ismail, Pandan, JB dan appoinment pun bila pakar turun ke JB. Semoga ayah Azmi terus sihat ye. Sampaikan salam akak pada ayah dan famili. Semoga semuanya akan baik-baik sahaja…..

      • Waalaikumsalam…di HSI akak ke jabatan rehabilitasi. Ada ramai yang pernah in charge Haziq. Kalau pakar biasanya Dr Sharon. Kalau Dr biasa, Dr Hairuza dan Dr Nani. Selain tu di fisio biasa dengan terapist Monica dan di OCTT ada Pn.Syikin, Pn Shaz…..

  13. Salam…maaf saya nk bertnya ank puan sakit yg bagaimana…sbb ank sdara saya br shj masuk hospital dia mngalami pmbengkakan dihati lipa dan buah pinggang..doktor juga bkata perlu ambil air tulang belkang bahgian ats sikit pd bontot..ank sdr saya br brusia 3 thn…jd kami pn x bg kputusan lg sbb masing2 bckp bgitu tmsuk saya..jd saya nk btnya puan dh beri kputusan dan skrg ank puan bagaimana keadaannya..adkah slps ambil air itu ank puan ada kesannya…

    • assalamualaikum….
      Zai, anak saya mengalami masalah genetik, masalah kromosom yang menyebabkan dia kena sawan sejak hari kedua lahir. Untuk makluman, biasanya air tulang belakang diambil bertujuan untuk mengenalpasti kalau terdapat kuman yang menyerang selaput otak dipanggil meningitis supaya dapat dikenalpasti dan diberikan rawatan yang tepat. Mungkin Dr nak kesan kalau-kalau ada kuman di selaput otak, sebab kuman yang menyerang ni boleh jugak memberi kesan kepada organ-organ tubuh yang lain. Cuba tanya doktor kenapa lumbar puncture/air tulang belakang tu perlu diambil bagi kes anak saudara zai ye. saya dah lama buat lumbar puncture untuk anak saya, sejak tahun 2008, lebih kurang 3-4 bulan kelahiran anak saya sebab pada waktu itu kami masih tak dapat kesan apa punca sawan. Prosesnya sekarang sangat mudah, hanya menggunakan jarum yang kecil dan tak lama pun cuma pastikan hanya doktor pakar yang buat. Saya faham kita especially orang Melayu memang skeptikal/takut dan ada macam-macam rasa. Masa saya buat dulu, kami dah tak ada option, so kami serahkan pada yang pakar. Soal keadaan anak saya, dia masih terlantar…bukan kerana ambil air tulang belakang, tetapi kerana memang dia ada masalah perkembangan, dan masalah saraf. Tiada kesan dia makin teruk sebab lumbar puncture cuma kerana keadaannya sendiri memang begitu bagi anak-anak Spastik Cerebral Palsy. Sebenarnya, apa-apa pun yang kita buat semuanya ada risiko, kena ingat dan sentiasa berlapang dada. Kalau itulah jalan terbaik, bagi saya….saya akan berikan pasukan perubatan kepercayaan. Selebihnya kita serah pada Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-sagalanya…..Harap dapat membantu Zai…

  14. assalammualaikum..terima kasih kak sbb kongsi masalah ank..sy pon pnh mengalami situasi yg sme ble family sy beritahu adek sy disyaki leukaemia n dktr perlu mengambil air tulang sumsum..pd mule ye..kmi fmly xnk..krn dgr mcm2 kesan smpingan..tp selepas perbincangan dgn dktr n pengalaman kwn2 sy s’diri..akhir ye kmi berserah..alhamdulillah..setakat ini msh tiada apa2 perubahan yg kurang elok..malah sekarang..ade dktr yg akn dtg utk ajr senaman n b’jalan setiap pg..cme ketahan badan die agk lemah selepas membuat rawatan kimo..tp bkn la kesan dr pengambilan air tulang sumsum..selepas prosedur itu dilakukan..dktr pon telah dapt mengenalpasti jns luekimia n jns ubat dan rawatan yg diperlukan utk proses penyembuhan..utk pengetahuan akk..pd 18/8/2013, adek sy sekali lg akn mengalami prosedur ini bg tujuan mengetahui sejauh mne sel kanser ini telah mati before utk kimo yg ke 2..pd sy..apa2 keputusan yg kite buat mst lah disertai dgn doa yg xputus..hidup mati biar jd urusan ALLAH swt..yg pntg kite da cbe yg terbaik tuk org yg kite sygi…

    • waalaikumsalam…semoga adik Ziah baik-baik sahaja. Kita kena ubah persepsi kita. Apa yang paling penting kena percaya, setiap penyakit Allah datangkan bersamanya ubat kecuali mati. Yakin dan tawakkal, selebihnya kita serah padaNya. Terima kasih sudi singgah laman ceritahaziq.

  15. Salam Dik CT SU,thanks krna memberi gambaran positif dari sebelum ini…kak mendapat semua gambaran negetif…kak tlh disahkan melalui MRI mengalami radang saraf tunjang.doktor meminta persetujuan menjalani LP utk tujuan rawatan seterusnya.InsyaAllah selepas ini kak akan istikharah utk memohon petunjuk utk melaksanakan prosuder ini….

    • Assalam Kak….Selepas melalui pengalaman melakukan prosedur LP untuk Haziq, saya rasa persepsi masyarakat kita perlu diubah. sebab itu saya kongsikan dalam laman ceritahaziq. Akak buatlah istikharah agar mendapat petunjuk terbaik dalam melaksanakan prosedur tersebut.Seandainya itu yang terbaik, insyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja.Apa yang penting, usaha, doa dan tawakkal padaNya sebab setiap penyakit itu insyaAllah didatangkan ubat bersamanya.Semoga akak kuat menghadapi ujian ini dan semoga dianugerahkan kesembuhan oleh Yang Maha Kuasa….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s