Kata Cikgu Syukor…….

Mama dan ayah memikirkan usaha apa lagi yang boleh kami lakukan untuk membantu mengurangkan derita Haziq.Buntu dibuatnya. “Kau dah cuba jumpa Cikgu Syukor?, tanya seorang teman suami kepada suami. Suami menceritakan semula kepadaku pada suatu petang. “Belum,” kata sang suami. Suami pun sebenarnya tidaklah begitu mengenali Cikgu Syukor tetapi nama tersebut bukanlah terlalu asing pada pendengaran kami. Cikgu Syukor hanyalah seorang guru di sebuah sekolah rendah berdekatan kawasan tempat tinggal kami. Kebolehannya untuk mengesan masalah yang dihidapi seseorang akibat gangguan makhluk halus telah menjadikannya agak popular.

“Kau jangan risau, Cikgu Syukor tu niatnya cuma nak membantu, dia tak guna kaedah pelik-pelik ni, dia cuma guna air sahaja,” terang sahabat suami. Kami pun mengambil keputusan untuk mencuba. Apa salahnya berusaha asalkan kita tahu kaedah rawatan tersebut tidak bercanggah daripada syariat  yang digariskan. Kami pun tidak mengambil masa lama untuk ke rumah Cikgu Syukor.

Dari jauh kami melihat sebuah rumah papan yang agak usang pada pandangan mata. “Ish takkanlah Cikgu Syukor duduk di situ,” hatiku berkata tidak yakin. Berpandukan panduan yang diberikan oleh penduduk kampung, memang sah itulah rumahnya. Di luar rumah kelihatan sebuah Avanza Meroon. “Betullah ni bang macam kata Abang Khamis,inilah rumahnya,” kataku lagi. Dalam rasa yakin-yakin takut, kami bawa Haziq keluar. Titi kayu dilintas penuh hati-hati, takut terselit pula kaki di celah-celah lubang. Salam diberi dan muncul seorang lelaki di pintu. “Muda orangnya,” hati kecilku berkata.

Kami dijemput masuk. Mataku mula melilau. Hanya ada sebuah kipas berdiri, televisyen di ruang tamu dan seorang kanak-kanak dalam lingkungan 2 tahun sedang dalam buaian. Sangat sederhana.Kami menyatakan hajat kedatangan kami. Cikgu Syukor hanya mengangguk dan meminta kami bercerita masalah Haziq. Kami pun bercerita sehabis-habisnya. Cikgu Syukor meminta izin masuk ke dalam sebentar. Entah apa dibuatnya kami tak tahu. Sedang asyik menunggu, isteri Cikgu Syukor pulang dari sekolah.”Hmmm…guru rupanya,” hatiku berkata sambil  menghulur tangan bersalaman. Cantik orangnya, lembut, peramah dan mesra walaupun baru kali pertama bersua. Sempat bersembang perihal keluarga. Rupa-rupanya mereka sendiri punya sejarah berkenaan alam mistik.

“Anak akak pernah hilang dalam kandungan. Sewaktu mengandung akak selalu bermimpi ada wanita datang dan meminta anak tersebut dan pada suatu hari, waktu itu kandungan akak 7 bulan, bayi tiba-tiba hilang dari kandungan,” ceritanya. Seram sejuk aku mendengarnya. “Dua kali kejadian seperti itu berlaku,” sambungnya lagi. “Sebab itu saya belajar berkenaan alam ghaib dan niat saya untuk membantu orang lain,” tiba-tiba muncul Cikgu Syukor dari balik langsir pintu bilik.

Di tangannya ada sebotol air dan semangkuk air juga.  Air itu diusap-usap ke seluruh tubuh badan Haziq. Katanya,”InsyaAllah budak ni tak ada apa-apa, tak ada sebarang gangguan. Kalau ada gangguan saya dah boleh tahu bila tuan puan masuk ke rumah saya tadi. Ini penyakit dia sendiri,” katanya lagi. Mungkin dia ada masalah dengan sistem dalam badannya yang kita tak tahu. Dalam kes begini, saya cadangkan puan terus ke hospital untuk dapatkan rawatan yang tepat,” jelasnya lagi. Air ni boleh digunakan untuk membantu sahaja. Pastikan campurkan sedikit dengan air mandian dan usapkan ke badan sambil membaca selawat. Kita cuba apa yang kita mampu,” ujarnya lagi.

Lega hati apabila mengetahui masalah Haziq tiada sebarang kaitan dengan gangguan walaupun hati masih gusar apa sebenarnya penyakit Haziq. Tangan dihulur sekali lagi dan kami meminta izin untuk beredar. “Nampak gaya lepas ni hospital akan jadi rumah kedua kitalah ye bang,” luahku pada suami. “Nak buat macam mana, dah memang begitulah nampaknya,” suamiku mengiyakan. Kami pulang ke rumah dengan satu kaedah perubatan yang nampaknya tidak berpadanan dengan masalah Haziq. Kami terus berdoa dan berharap kami akan bertemu dengan ubat yang tepat untuk membantu Haziq daripada terus menderita.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s