Nilai persahabatan…

“Hai…, you anak sakit apa?,” tanya seorang lelaki Cina dalam lingkungan awal 40an. Ketika itu aku bawa Haziq ke sebuah klinik Sensei di Gelang Patah. Lelaki itu duduk disebelahku, sama-sama menunggu giliran nama dipanggil. “Sawan,” jawabku ringkas. “Saya Ben,” katanya sambil menghulur tangan. Aku hanya tersenyum sambil menunduk sedikit kepala. Dia memahami dan menarik kembali tangannya. “Saya Su,” jawabku. “Sudah lama anak sawan?,’ tanyanya lagi. “Lama juga, hampir 6 bulan,” jawabku. “Anak saya juga sama, ada sawan tiap-tiap hari. Inilah, saya datang sini ambil ubat. Tempat ini bagus, dia guna serbuk mutiara,” katanya lagi. Peramah betul..tak henti-henti bercerita. Aku pun layankan sahaja. Secara tak langsung persahabatan terjalin antara kami dengan begitu mudah. Maklumlah, sama-sama punya anak yang mempunyai masalah yang sama.

Seingat aku, tempat ini dicadangkan oleh salah seorang ibu bapa yang sering membawa anaknya menjalani terapi di HSA. Aku cuba juga menggunakan serbuk mutiara itu untuk Haziq tetapi sawannya masih tidak berkurangan. Pada masa ini, aku baru sahaja berjinak-jinak dengan kumpulan sokongan ibu bapa kanak-kanak Cerebral Palsy (CP) yang diilhamkan oleh Ketua Jabatan Rehabilitasi HSA, PN Premalatha. Kumpulan ini menghimpunkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya dalam kategori CP. Disini kami banyak bercerita tentang perkembangan anak masing-masing.

Bercerita tentang Ben, orangnya begitu mesra. Malah aku jarang berjumpa dengan orang kita yang sebaiknya. Walaupun baru sahaja berkenalan, kami seolah sudah lama kenal. Melihat kepada perkembangan Haziq yang perlahan, Ben menawarkan sebiji kerusi buat Haziq bagi membantu Haziq duduk. Kerusi itu dibuat oleh temannya dan diberikan untuk Haziq secara percuma. Sekejap sahaja Haziq dapat menggunakan kerusi itu kerana tiada penyokong leher. Leher yang masih tak kuat menyebabkan sering sahaja lehernya akan terlentuk sama ada ke kiri atau ke kanan tanpa dapat dikawal. Aku sungguh terhutang budi padanya.

Bukan senang nak berjumpa seorang kawan sepertinya. Tanpa mengira perbezaan agama mahupun warna kulit, kemesraan yang  terjalin menyebabkan hubungan kami berterusan hingga hari ini. Apabila ada temannya membuat sesuatu peralatan baru untuk membantu kanak-kanak CP, pasti Haziq tidak akan dilupakan. Haziq pernah menerima ‘triangle pillow” untuk membantu menguatkan leher. Haziq juga diberikan kerusi terkini bagi menyokong posisi duduk yang lebih baik di samping mendapat PVC bolster. Aku rasa sangat bersyukur dengan anugerah ini. Sahabat yang sama-sama merasai keperitan yang sama dan tidak lokek berkongsi apa yang ada. Sahabat yang boleh berkongsi suka dan duka. Sahabat yang sentiasa ada bila kita memerlukan sokongan. Sahabat yang memahami dengan jelas apa yang dirasa.

Dalam meniti hari-hari menjaga anak-anak istimewa, aku yakin dan pasti dapat menjalin persahabatan dengan pelbagai peringkat masyarakat. Terkini, dek kerana blog Haziq ini juga, aku dapat membina jalinan persahabatan dengan seorang ibu yang mempunyai anak yang menghadapi masalah hampir sama dengan Haziq. Dapatlah kami berkongsi cerita dan rasa sebagai insan-insan pilihan….semoga jalinan persahabatan yang terjalin ini akan kekal selama-lamanya….

 

 

 

Leave a comment