Suntikan botox untuk Haziq..

Semalam, Haziq dibawa untuk temujanji dengan pakar rehabilitasi di Hospital Sultan Ismail, bertemu dengan Dr Sharon. Lama juga tak bertemu Dr Sharon selepas beliau melahirkan anak. Mama ceritakan perkembangan Haziq kepada Dr Sharon selepas mengamalkan transfer factor. Dr Sharon memeriksa Haziq dan mencadangkan supaya Haziq diberikan suntikan botox bagi merehatkan otot kakinya yang semakin keras dan menyukarkan untuk pemakaian ‘splint’ kakinya kerana struktur kedua kakinya yang mula membengkok. Selepas mendengar penerangan Dr Sharon, mama bersetuju demi kebaikan Haziq. Kebetulan seorang rakan mama juga pernah mengambil suntikan tersebut untuk anaknya yang menghadapi masalah yang sama dengan Haziq sebagai pesakit palsi serebrum atau Cerebral Palsy.

Botox haram – Majlis Fatwa benarkan suntikan hanya untuk kegunaan perubatan dalam keadaan darurat. Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, suntikan botox untuk tujuan kosmetik adalah haram kerana mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis. Bagaimanapun, suntikan itu dibenarkan untuk tujuan perubatan dengan syarat penggunaannya dikategori sebagai dalam keadaan darurat dan berdasarkan keperluan serta dilakukan oleh pakar bertauliah. Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Abdul Shukor Husin, berkata ketetapan itu diambil selepas pihaknya meneliti laporan kajian pakar tempatan dan luar negara termasuk dari Asia Barat. Kenyataan ini melegakan mama dan meneruskan hasrat mama untuk memberikan suntikan tersebut kepada Haziq.
Sedikit maklumat mengenai suntikan botox yang dapat mama kongsikan bersama berdasarkan artikel di akhbar Berita Harian pada tahun 2008 yang ditulis oleh Nor Affizar Ibrahim.

RAWATAN: Suntikan botox diperlukan untuk menguatkan otot kanak-kanak palsi serebrum.

Bahan kandungan suntikan botox yang digunakan untukrawatan kanak-kanak palsi serebrum adalah sama dengan kaedah rawatan kecantikan botox bagi anti penuaan. TAHUKAH anda, botox iaitu sejenis protein semula jadi yang dihasilkan oleh mikro organisme, Clostridium Botulinum sebenarnya sudah pun lama digunakan dalam beberapa rawatan perubatan untuk beberapa penyakit. Ini termasuklah, strok, migrain, kecederaan otak, palsi serebrum, sklerosis berbilang dan kecederaan saraf tunjang. Perunding Perkembangan Pediatrik dan Neurologi, Dr Malinee Thambyayah, berkata kaedah perubatan suntikan botox sudah berkurun lama diperkenalkan malah digunakan secara meluas di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak bagi menangani beberapa masalah; terutama berkaitan neurologi yang menyebabkan gejala fizikal seperti lemah atau lumpuh, kehilangan mengawal pergerakan otot, kekejangan dan ketegangan otot secara tiba-tiba. 

Beliau berkata, rawatan suntikan botox juga sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu bagi kanak-kanak palsi serebrum iaitu sejenis penyakit keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan penyelarasan pada anggota tubuh. Bahan kandungan suntikan botox yang digunakan untuk rawatan kanak-kanak palsi serebrum adalah sama dengan kaedah rawatan kecantikan menggunakan botox bagi anti penuaan. Malah, kaedahnya juga sama iaitumelalui suntikan, katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Malinee berkata, suntikan botox meningkatkan kehidupan 10 daripada beribu-ribu kanak-kanak palsi serebrum. Di Barat seperti Australia dan Jerman, kaedah rawatan itu sudah pun digunakan lebih 20 tahun yang lalu. Bagaimanapun di Malaysia, kaedah rawatan suntikan botox terhadap kanak-kanak palsi serebrum hanya bermula pada 1990-an,tetapi diperkenalkan dalam program teratur pada awal 2000.

Palsi serebrum adalah gangguan neurologi yang kedua paling lazim berlaku pada kanak-kanak dengan membabitkan lebih kurang tiga hingga lima dalam setiap 1,000 orang. Kanak-kanak palsi serebrum mempunyai masalah gangguan otak yang wujud sejak kecil lagi  dan menyebabkan berlakunya kelemahan untuk mengawal pergerakan fizikal. Kanak-kanak mengalami keadaan ini sejak dalam kandungan ibu lagi,manakala yang lain berlaku ketika kelahiran sukar hingga menyebabkan bayi kekurangan oksigen. Palsi serebrum juga boleh berlaku kepada bayi pra matang yang menghadapi masalah pernafasan, menyebabkan pendarahan otak serta kekurangan oksigen. Punca lain ialah kecederaan teruk di kepala dan penyakit meningitis menyebabkan kecacatan pada bahagian otak yang mengawal pergerakan. Walaupun palsi serebrum tidak boleh sembuh sepenuhnya, DrMalinee berkata, botox sudah dibangunkan secara khusus bagi merawat kekakuan otot yang sering berlaku kepada kanak-kanak berdepan dengan penyakit itu. Selain itu sejak tiga tahun lalu iaitu dari 2001, doktor di Hospital Selayang membuat kajian mengenai terapi botox terhadap 37 kanak-kanak spastik.

FAKTA:  Suntikan botulinum toxin (BTA) atau botox untuk kanak-kanak palsi serebrum

Suntikan botox menjadikan pergerakan kanak-kanak palsi serebrum lebih mudah seperti dapat menjejakkan tumit kaki pada lantai,membetulkan bengkok pada kaki, berjalan lebih baik dan meningkatkan fungsi tangan. Suntikan bergantung keperluan kanak-kanak itu. Untuk satu atau dua suntikan, doktor mungkin menggunakan krim anestetik sebelum jarum dicucuk. Jika banyak suntikan diperlukan doktor mungkin memberi ubat untuk meredakan sakit. Selepas beberapa jam disuntik kanak-kanak itu boleh pulang ke rumah. Tiada langkah penjagaan khusus diperlukan dan kebanyakan kanak-kanak boleh pergi ke sekolah keesokan hari atau meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Kanak-kanak itu juga perlu melakukan fisioterapi sebelum dan selepas setiap suntikan bagi meregangkan otot yang disuntik termasuk menguatkan kumpulan otot bertentangan. Hasil kajian menunjukkan 12 peratus menunjukkan perkembangan antara minggu pertama rawatan, manakala 55 peratus menunjukkan perkembangan selepas satu minggu.

Otot sekeliling sendi bekerja secara berpasangan. Apabila otot sebelah bahagian pada sendi kejang terdapat otot yang tidak seimbang. Otot yang tegang pada sebelah bahagian secara umumnya menarik sendi berkenan keluar daripada kedudukannya. Bahagian kiri yang tidak dirawat akan mencacatkan struktur anggota badan atau sendi berkenaan terkeluar. Apabila disuntik pada otot yang tegang, botox mengurangkan ketegangan otot itu dan ia membolehkan kanak-kanak berkenaan mengekalkan postur, kurang berasa tegang dan lebih tegap ketika berdiri atau berjalan. Kemahiran motor menjadi lebih mudah dilakukan. Fisioterapi juga lebih mudah untuk meregang dan menguatkanotot kanak-kanak itu. Penting untuk memilih otot yang betul dan sebab itu suntikan seelok-eloknya dilakukan oleh pakar neurologi kanak-kanak atau pembangunan kanak-kanak, pakar bedah otorpedik atau pun pemulihan fizikal.

Sesetengah kanak-kanak palsi serebrum selalunya berdiri atau berjalan atas hujung kaki. Ada juga dalam keadaan dengan kaki membengkok. Keadaan itu menyebabkan ketegangan yang banyak pada lutut atau tulang pinggul dan lama-kelamaan, memburukkan keseimbangan otot dengan sendi yang terkeluar daripada kedudukan sebenar. Suntikan botox pada otot buah betis (bahagian belakang betis yang berisi di bawah lutut) akan membantu kedudukan kaki rata pada bawah dan mengurangkan jalan berjengket, manakala suntikan pada tendon di belakang lutut pula akan mengurangkan bengkok postur. Majoriti pesakit memerlukan sekurang-kurangnya dua suntikan setahun. Selain itu pesakit juga perlu disuntik dengan suntikan berkala. Ada juga didapati kurang daripada 10 peratus kes memberikan maklum balas menggalakkan iaitu hanya memerlukan satu suntikan dan kategori ini dipanggil, golden response.

Kesan sampingan suntikan botox, amat minimum. Jika kesan sampingan kelihatan, ia biasanya pada minggu pertama suntikan dan hanya bersifat sementara saja. Suntikan botox bukanlah penyembuhan ajaib sepenuhnya bagi palsi serebrum, sebaliknya rawatan perlulah dilakukan bersama dengan terapi fizikal standard dan pemulihan yang lain. Ini kerana kesan pengenduran otot bermula antara seminggu daripada suntikan dan selepas sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan, ia akan kembali tegang serta memerlukan suntikan semula. Namun, melalui fisioterapi intensif serentak, kesan terhadap botox boleh bertahan lama. Apabila otot menegang, keadaan itu menyakitkan pesakit khususnya kanak-kanak. Jadi, dengan adanya suntikan botox kesakitan itu dapat diredakan dan kesannya paling baik ialah membuatkan kanak-kanak itu bergerak lebih mudah dan ini membantu meningkatkan kualiti kehidupannya.

Suntikan botox untuk kanak-kanak palsi serebrum disarankan selepas meningkat usia 18 bulan atau dua tahun. Ini berikutan, jika dibuat sebelum itu ia akan memberikan risiko kerana kanak-kanak itu masih dalam peringkat pramatang. Bagaimanapun, persidangan Australian Academy of Cerebral Palsy & Developmental Medication 2008  yang berlangsung di Australia pada awal April lalu, menyarankan ia dimulakan pada usia 12 bulan. Apabila meningkat usia 10 hingga 12 tahun kanak-kanak palsi serebrum biasanya perlu melakukan pembedahan ortopedik bagi meluruskan tulang atau melonggarkan otot. Walaupun pembedahan itu tidak membolehkan kanak-kanak berkenaan membesar secara normal, sekurang-kurangnya suntikan botox dapat memperbaiki fungsi dan postur, mengurang serta mencegah kesakitan serta memperbaiki penampilan.

Mama akan usahakan yang terbaik buat Haziq. Kalau satu ketika dulu mama pernah membuat keputusan besar yang mungkin kebanyakan orang takut untuk melakukannya, kenapa tidak kali ini mama mengambil keputusan yang sama. Haziq anak mama, mama berhak menentukan apa yang terbaik untuk kesihatan Haziq. Semoga keputusan mama dan ayah hari ini adalah keputusan yang tepat dan mama pastinya tidak akan menyesal dengan setiap keputusan yang telah bulat hati mama menoktahkannya. Doakan mama terus kuat menghadapi hari-hari dalam menjaga, membelai dan mencurahkan kasih sayang untuk Haziq….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s