Damailah kalian di sana…..

Betapa kuatnya kita, betapa sabar pun kita, belum tentu kita kuat dalam menghadapi pemergian insan-insan yang kita sayangi. Janji Allah itu benar, mati itu benar….alam barzakh itu benar, syurga dan neraka itu benar….kenyataan ini wajib kita percaya. Kita harus menyediakan diri untuknya, namun bersediakah kita? Cukupkah bekal yang ingin kita bawa? Sangat beruntung hambaNya yang dijemput menemuinya dalam keadaan suci tanpa noda………

Mengingatkan diri sendiri tentang kematian apabila mendapat tiga khabar duka sepanjang minggu lepas. Tiga anak syurga yang berada di dalam penjagaan super mum dan super dad yang sekasut dengan mama akhirnya dijemputNya. Allahuakbar!!!! Biarpun tak pernah bersua muka, tak pasti sama ada pernah berbicara namun di atas kapasiti yang sama, rasa duka dikongsi bersama-sama. Usah ditanya air mata yang mengalir, sendu yang masih terasa kerana kehilangan burung-burung hijau syurga yang Allah pinjamkan sementara untuk menggembirakan hati kedua orang tua. Pedih, pilu semuanya bergumpal menjadi satu. Damailah kalian di sana anak-anak syurga wahai Eryna, Aiman dan Hazim. Tersenyumlah kalian di sana kerana pastinya tiada lagi kesakitan yang harus kalian tanggung. Tiada lagi airmata yang keluar menahan kesakitan dan tiada lagi penderitaan. Tariklah kedua orang tuamu untuk bersama-samamu disyurga di atas kebaikan dan ehsan mereka sepanjang menjaga kalian dengan penuh kasih sayang….

Mama pasti ibu bapamu berduka di atas kehilangan ini tetapi mama yakin mereka juga berasa puas kerana dapat menjaga kalian semasa hayatmu dikandung badan. Mama yakin tidak sekalipun kalian diabaikan malah mama yakin mereka menyayangi kalian lebih daripada nyawa mereka. Izinkan mama membahasakan diri sebagai mama kerana bukan sahaja kalian, semua anak-anak syurga adalah anak-anak mama…..kerana mama juga punya Aiman Haziq, anak syurga seperti kalian. Mama beruntung kerana masih dipinjamkan Aiman Haziq untuk mama dan keluarga. Namun, mama tidak tahu sehingga bila pinjaman ini diberikan untuk mama. Setiap ibu dan ayah pasti mahu anak-anak syurga mereka berada selama yang boleh dengan mereka kerana kalian semua adalah anugerah yang tidak ternilai….

Mama pernah menghitung hari seandainya ditakdirkan Aiman Haziq dipinjamkan hanya dua tahun kepada kami tatkala diagnosis pasukan perubatan menyatakan Haziq pesakit Rett Sydrome yang kebanyakannya gagal melepasi usia dua tahun. Alhamdulilah, diagnosis pertama itu silap dan Aiman masih bersama kami. Namun, masih ada ketakutan di hati mama. Kondisi anak-anak ini yang sukar dijangka. Ada ketikanya sangat baik dan ada ketikanya membuatkan jantung kita berdebar-debar dan tak keruan. Selagi mana Aiman Haziq dipinjamkan, selagi itulah mama akan berikan layanan yang terbaik…..

Mama yakin, Allah mahu ringankan beban yang ditanggung ibu bapa kalian wahai anak-anak mama…….Mama percaya Allah mahu berikan sesuatu yang lebih baik. Tidak ada seorang pun yang gembira dengan kehilangan sebaliknya pasti bersedih, berduka dan diratapi. Menangislah kerana ia akan mengurangkan duka. Namun, jangan lupa untuk bersabar dan redha kerana kita semua pasti akan menempuhi saat yang sama cuma entah bila detik dan ketikanya. Sehingga itu, kita akan lakukan yang terbaik dalam menjaga amanahNya. Seandainya kami terdampar di luar pintu syurga, kami mengharapkan ehsan kalian untuk menarik kami bersama-sama. Doakan kami terus kuat ye sayang.

Berlari-larilah kalian keriangan di alam sana. Tertawalah kalian sepuasnya. Tenang dan damailah kalian di sana sang kupu-kupu syurga….

Kau datang padaku membawa cinta
Memberikanku sedetik rasa bahagia
Kau berikan daku sinar kedamaian
Kau ciptakan daku jalur ketabahan
Kau tunjukkan daku cahaya yang terang
Hadirnya dirimu anugerah tak terbayang…..
 
Senyum di bibirmu semekar kuntum bunga
Tawamu penawar hatiku yang duka
Tangismu mengundang tetamu resah
Sendumu memanggil hiba di jiwa
Demi cintamu aku rela
Demi kasihmu aku setia
Kerana dirimu tiada gantinya
 
Kau tanya mengapa tak seperti dia
Kau selalu rasa kau amat berbeza
Mereka berkata jiwamu terasa
Namun percayalah
Kau kupu-kupu syurga
 
Biarlah mereka berkata apa
Kau dan aku sudah biasa
Biarkan mereka memandang saja
Kuyakin kau tetap teguh di sana
Bukannya simpati yang aku pinta
Sekadar perhatian dan pengertian
Kau tetap sang kupu-kupu syurga
 
Dikaulah sang kupu-kupu syurga……
 

Buat Allayarhamah Eryna, Allahyarham Hazim dan Allahyarham Aiman …..Damailah kalian anak-anakku di sisiNya……Al-Fatihah……

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s