Cerita sang semut…….

Assalamualaikum dan salam sejahtera…………..

Baru berkesempatan update blog Super Haziq selepas dua hari pulang ke kampung memenuhi undangan kenduri saudara sebelah mak. Hampir dua bulan tak balik kampung dek hambatan kursus hujung minggu. Kalau tidak pun sebab hujung minggu dipenuhkan dengan sesi terapi Haziq di Batu Pahat……Konon nak update sejurus sampai di rumah, seperti biasalah….angan tinggal angan…sampai-sampai rumah semuanya lepak….

Cerita yang mama nak kongsikan kali ni berlaku pada subuh pagi Ahad lepas. Kami sampai di Segamat lebih kurang jam 10.30 pagi. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, Super Haziq ceria aje. Boleh gelak-gelak…….sampai di kampung, sikapnya berubah. Taknak minum susu, jadi pendiam. Mujur tak merengek. Sebelah petang mama menghadiri kenduri dan Super Haziq dijaga ayah di rumah. Petang pun taknak makan. Minum susu pun kena paksa. Mama dah mula risau. Sebelah malamnya pula, ke stadium ASTRO di rumah adik di Bukit Siput menonton perlawanan bola antara JDT dan Red Giants. Super Haziq sangat behave duduk di atas bouncer adik sepupunya hinggakan nak angkat pun merengek. Harus kena beli satu untuk Super Haziq lepas ni. Habis game, kami pulang ke kampung untuk melelap mata. Mama bawa Haziq tidur dalam bilik. Konon-konon nak tidur berdua aje dalam bilik,selesa sikit. Super ayah dan Super Kakak dan Abang dah melabuh badan di ruang tamu. Haziq ketawa-ketawa bila baring atas tilam.Agaknya dia rasa macam atas tilam di rumah.

Lebih kurang jam 2.30 pagi, Haziq merengek. Mama raba kepalanya. Berpeluh! Kipas berpusing laju. Mama pun letak tangan di kepala sendiri. Berpeluh juga! Baru perasan bahang walaupun berkipas. Mama pun angkat Haziq untuk menyertai ‘team’ yang bersimpang siur di ruang tamu. Biasanya, menjejak 3 pagi, sejuknya lain macam, sampai ke tulang! Kali ini lain pula. Haziq tak mahu ditinggalkan. Mahu mama tidur di sebelahnya barulah mahu dia melelapkan mata. Anak manja! Mama letakkan kepala Haziq di atas lengan tapi entah bila lengan mama dah beralih pun mama tak perasan. Sedar-sedar lebih kurang jam 5.30 pagi, Haziq menangis. Kali ini bukan menangis mahukan susu. Tangisannya sangat berbeza. Perlahan, sekejap lagi bunyinya tersentak-sentak. Mula-mula mama ingatkan haus, mama buatkan susu tapi ditolak. Sedunya kian berbeza. Mama kejutkan ayah. Terpisat-pisat ayah bangun. Mama nyatakan kerisauan melihat bentuk tangisan Haziq yang lain macam. Dipopok-popok pun tak reda. Reda sekejap, sekejap lagi tangisannya bagaikan tersentak-sentak lagi. Puas mama usap kepalanya, gosok kakinya dan tiba-tiba…………………..

Naluri seorang ibu agaknya.  Allah  tu Maha Pengasih yang memberikan lintasan di hati mama. Dalam hati mama terdetik, “Allah…janganlah sebab ada semut!”. Pada waktu itu hanya itu yang bermain dalam fikiran. Sebenarnya itulah perkara yang paling menjadi kerisauan mama kalau balik kampung. Risau semut berjalan-jalan dan masuk dalam telinga Haziq. Nak cakap tak pandai, mesti menangis sahaja yang dia tahu. Itupun kita tak tahu apa sebabnya. Air mata tak henti-henti mengalir di hujung mata Haziq dan mengalir ke pipi. Mama tak tahu apakah derita yang sedang ditanggung Haziq hinggakan kelihatan begitu seksa rasanya. Dalam hati mama berdoa seandainya benarlah ada semut masuk dalam telinga Haziq, keluarlah, janganlah duga anak mama dengan sebegini rupa. Anak kecil ini tak mampu nak menyatakan kesakitannya. Kalau kita yang biasa ni pun boleh terasa seksanya kalau semut masuk dalam telinga, bunyinya…..itu kalau tak digigit, kalau digigit? Nak cakap sakit tak tahu….nak menjerit tak pandai..menangis sahaja yang mampu menjadi cara untuk menyampaikan apa yang dirasa.

Dua tiga kali mama berdoa agar kalau benarlah Haziq menangis kerana semut, mama mohon Allah dengar rayuan mama. Tolonglah keluarkan semut itu. Tolonglah, mama tak sanggup melihat keadaan Haziq begitu. Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar rayuan hambaNya. Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Penyayang. Betul-betul di akhir doa mama kali ketiga yang menyebabkan akhirnya air mata mama menitis di pipi, mama melihat seekor semut berjalan keluar dari telinga kanan Haziq dengan begitu sopan. Subhanallah!!!!!!!Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar. Dek kerana geram, cepat tangan mama menguis semut itu dan mama picit hingga mati. Tamatlah riwayat semut itu pada ketika itu juga. “Ayah, semut!!!”. Hanya itu yang mampu terluah dari bibir mama dalam nada sebak. Pada ketika itu juga tangisan Haziq berhenti. Mama kesat air mata yang menitik, mama cium Haziq puas-puas. Rasa syukur yang tidak terhingga kerana tiada lagi semut yang mengganggu Haziq dan Haziq terus tenang. Subhanallah!!!!! Hanya itu yang mampu mama ucapkan berkali-kali di dalam hati.

Ayah kata, “Sepatutnya jangan dibunuh semut tu. Cakap baik-baik, dah pergi main jauh-jauh”, sempat lagi ayah bergurau tatkala mama dirundung sedih dan risau yang bukan kepalang tadinya. Apa jawab mama? “Tak ada maknanya!!”. Mana mungkin mama membiarkan anak mama disakiti walaupun oleh sekecil-kecil serangga. Memanglah kita tak boleh bunuh binatang sesuka hati tetapi seandainya ianya mendatangkan mudarat, mama percaya tindakan drastik mama di bawah sedar itu bukanlah satu dosa. Cukuplah ujianMu Ya Allah untuk anak syurgaku……tak sanggup rasanya melihat ujian demi ujian yang Kau hadirkan buatnya. Mungkin ianya ujian untuk mama dan ayah untuk melihat bagaimana kami menanganinya tapi mama mohon, usahlah ujian itu diberikan lewat anak syurga yang tidak mampu berbuat apa-apa ini melainkan menangis. Kalaulah mama mampu menggantikan kesakitan itu, mama sanggup!!!Asalkan anak syurga mama tidak diuji sebegini lagi…..

Selepas kejadian pagi itu, agaknya Haziq trauma. Terus jadi tidak aktif. Dalam posisi baring pun tak aktif sebagaimana biasanya. Diberikan susu pun tak mahu minum. Hanya sekali minum susu dalam perjalanan ke Tangkak, ke kampung sebelah ayah. Di Tangkak pun begitu. Disuakan makan pun tak mahu, minum air soya sahaja baru hendak dibuka mulut, itupun sekadar setengah botol. Naik risau mama dibuatnya. Asyik nak tidur sahaja….Tabiat yang jarang dibuatnya. Selalunya nak tidur siang memang payah melainkan dah betul-betul mengantuk. Asalkan tak menangis tak apalah nak…..walaupun di hati mama ni masih terselit kerisauan. Apa yang peliknya, dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang, moodnya kelihatan berubah. Dah nampak ceria, boleh gelak-gelak dalam kereta. Ni auta ke apa anak mama ni? Makan pun agak berselera walaupun tak seperti biasa. Lebih aneh bila sampai je rumah, terus mengelekek bila didukung masuk ke dalam bilik. Disuakan susu, menyedutnya macam dah lama sangat tak minum susu. Gelojoh sampai dua-tiga kali tersedak. Lepas dimandikan, terus tertidur nyenyak!!!Anak bertuah……………….

Seronok tengok Haziq tidur nyenyak. Dicium-cium pun tak berkutik. Lagi-lagi bila Super Kakak datang mengimpit, langsung tak rimas. Selalunya cepat saja Haziq tersedar kalau tahu bukan mama yang mengulitnya. Kali ini berbeza. Nampak tenang ajer…

Dua beradik beradu....

Dua beradik beradu….

Semoga selepas ini tiada lagi cubaan semut-semut untuk masuk ke telinga Haziq. Sudah..cukup.cukup sudah…..mama tak sanggup melaluinya sekali lagi. Semoga anak mama ini akan terus sihat, mampu menghadiahkan mama senyuman dan gelak tawa yang  mengisi segenap ruang hati mama….

2 thoughts on “Cerita sang semut…….

  1. Mama Haziq memang hero… untung la Haziq dapat mama ada super sensor macam mama Haziq… Mama pun bertuah dapat superkid mcm Haziq… Haziq senyum jer dunia mama tukar jadi indah hilang terus masalah mama…
    semut… jgn kacau Haziq lagi… mama Haziq baru tunjuk sikit tu… dia belum tunjuk lagi laser kluar dari tangan….

  2. herolah sangat Ma…mau tercopot jantung bila dalam keadaan tu.Syukur sangat diberi lintasan pada ketika itu juga…….alhamdulillah, hari ni dia dah balik manja-manja, auta mama dia..sengih2…manyak fandai ini budak lorrr….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s