Lima tahun yang indah….

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ceritahaziq ini….

Hari ini genap lima tahun Aiman Haziq, putera syurga saya dipinjamkan kepada saya sejak 23 Julai 2008. Bila melihat wajahnya, hati kadang-kadang tu ada rasa sedih, sayu, gembira…semuanya bercampur aduk. Yelah, mana sangka anak yang dilahirkan normal tiba-tiba didiagnos sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Jujur pada waktu itu saya tidak sekuat hari ini. Tangisan adalah teman paling rapat. Namun alhamdulillah saya cepat bangkit daripada fasa kemurungan dan kembali berpijak di bumi nyata. Mungkin juga ada yang tak perasan ketegangan pada wajah saya, seolah tiada apa-apa terjadi. Seolah-olah saya sedang melalui perjalanan yang sama seperti orang lain padahal hakikatnya jauh berbeza. Pada awal fasa penerimaan hakikat, tidur malam kami tidak menentu. Fokus kerja kami tersasar. Hospital itu sudah jadi rumah kedua sehingga bila perlu ke hospital, kami cuak kerana ada nostalgia pahit di situ. Tapi itu dulu….sekarang kami suami isteri sudah lali, alah bisa tegal biasa….

Saya masih tak lupa satu kejadian pada malam raya ketiga tahun 2008. Pada waktu itu Aiman Haziq diserang sawan sehingga kebiruan dan kami  menyangkakan dia sudah bertemu Sang Pencipta. Lemah lutut pada ketika itu namun kami masih diberi peluang untuk mencurah kasih padanya sehingga ke hari ini. Kalau nak cerita satu persatu, takut nanti ada pula yang mengalir air mata. Saya tak mahu….fasa kesedihan itu saya sudah letakkan ke tepi. Apa yang perlu dilalui sekarang ialah fasa berjuang, berkorban dan berbahagi kasih sayang sementara kami diberikan kesempatan untuk bersamanya. Saya belajar menerima hakikat sedikit demi sedikit dan belajar mempersiapkan diri untuk kehilangannya satu ketika nanti. Bukan kerana saya tidak mendoakan anak syurga saya panjang umurnya tetapi saya belajar menerima hakikat bahawa realitinya anak-anak ini boleh pergi dari kami bila-bila masa atau atas sebab apa pun yang mungkin tidak dijangka. Jadi sementara masih ada peluang, saya berdoa agar peluang itu terus ada selama mana yang boleh…..

Diam tak diam, hari ini sudah lima tahun Aiman Haziq membesar di depan mata saya. Lima Tahun….Daripada terlentang sehingga sudah mampu meniarap kini. Daripada tidak mampu menyatakan ekspressi hingga sudah boleh tersenyum, ketawa dan menyatakan keinginan melalui tindakan dan mimik muka…Daripada hypotonia (lembik) sehingga semakin kuat leher dan badannya….semuanya berlaku di depan mata. Tipulah kalau saya tak mahu dia membesar seperti anak tipikal yang lain tetapi sebagai ibu kepada OKU, saya percaya setakat mana kemampuan anak saya. Mungkin pelik dalam usia lima tahun tetapi tidak banyak perkembangannya yang dapat dilihat, tetapi istilah ‘pelik’ itu disebabkan oleh pandangan manusia. Mereka tidak pelik, sebaliknya manusia yang menjadikan mereka pelik…

Saya cukup bersyukur kerana saya dapat melakukan yang terbaik untuk Aiman Haziq. Mungkin belum layak dikatakan terbaik, sebaliknya saya lakukan apa yang termampu oleh saya. Pada detik Aiman Haziq dapat menatap bola mata saya sewaktu saya berbicara dengannya, itulah detik yang sangat membahagiakan. Di saat Aiman Haziq cuba memberikan respon ”err…err” kalau dipanggil namanya juga adalah saat yang membahagiakan. Di kala jari jemari saya menggeletek bahagian tubuhnya dan terdengar gelak ketawanya yang mengelekek juga adalah ibarat saya sedang menimang bulan yang jatuh di ribaan. Tak tergambar dengan kata-kata. Cuba bayangkan dua orang kanak-kanak sebaya, seorang tumbuh membesar dengan sihat, seorang hanya terbaring tanpa bisa berbicara, tanpa mampu memberi fokus dalam apa yang dilihat, tanpa mampu melambai tangan…apa yang anda rasakan? Apa yang anda rasa, itulah yang saya rasakan saban waktu.

Hari ini, saya bahagia kerana meskipun perkembangan Aiman Haziq cuma sedikit, ia besar maknanya pada saya. Walaupun jujurnya ada ketikanya saya terasa begitu lelah, tertekan dan buntu, namun senyuman yang sering menguntum di bibirnya benar-benar meluluhkan hati saya. Benar-benar memberikan semangat dan kekuatan daripada segenap arah. Banyak lagi yang harus saya lakukan bersama-sama anak syurga ini. Hari ini sempena genap umur Aiman Haziq lima tahun, saya cuba memasak kek harijadi untuknya dengan tangan saya sendiri walaupun sebenarnya saya ni bukanlah seorang ibu yang cekap di dapur. Demi anak syurga ini, saya lakukan juga walaupun hasilnya bukanlah sehebat mana. Apa yang penting, semuanya dari lubuk hati yang paling dalam.

DSC02911

potong time!!!

potong time!!!

DSC02915

DSC02919

suapan kasih sayang

suapan kasih sayang

DSC02918

DSC02921

Senyuman dan gelak ketawanya cukup memekarkan taman di hati seorang mama. Semoga kami masih diberikan kesempatan untuk terus memberikan yang terbaik untuk Aiman Haziq. Aiman Haziq mengajar saya erti kesabaran, mengajar erti kematangan, ketabahan serta kecekalan dalam mengharungi dan melewati hari-hari bersama dirinya yang istimewa.

Kau datang padaku membawa cinta
Memberikanku sedetik rasa bahagia
Kau berikan daku sinar kedamaian
Kau ciptakan daku jalur ketabahan
Kau tunjukkan daku cahaya yang terang
Hadirnya dirimu anugerah tak terbayang………….
Kerana KAU KUPU-KUPU SYURGA…
 
SELAMAT HARI LAHIR SAYANG!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s