Bila hati seorang mama dijentik….

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ceritahaziq. Semoga sihat semuanya dan dipermudahkan segala urusan.

Terima kasih kerana memperuntukkan sedikit masa menjengah ke lamancerita haziq. Sayangnya kali ini bukan cerita tentang perkembangan Super Haziq mama, cuma sedikit coretan dari hati seorang ibu yang dihiris dek belati tajam. Sehari dua ini kami ibu-ibu yang memiliki anak syurga begitu terkesan dengan komen seorang hamba Allah di laman blog salah seorang rakan sekasut kami , Puan Saripah Bakar di dalam blog beliau http://www.saripahbakar.blogspot.com. Jelas komen tersebut mengguris hati kami yang bukan sedikit. Ramai rakan-rakan yang memberikan pelbagai komen daripada pelbagai sudut yang berbeza. Mama juga tidak terkecuali kerana mama punya Super Haziq yang tetap mama yakin bakal penghuni syurga. Paling membekas di hati mama tatkala membaca hasil tulisan di bahagian penghujung komen….”ADAKAH BUDAK CACAT ITU ANAK SYURGA? LAYAKKAH BUDAK CACAT ITU MASUK SYURGA?”. Allahu Robbi….dangkalnya soalan itu bagi mama untuk seorang insan yang memiliki aras kematangan yang selayak usianya. Meskipun perkataan “BUDAK CACAT/ANAK CACAT” itu bukan lagi kudis bagi kami tapi ketahuilah……ada ketikanya hati kami juga rapuh. Hati kami bukan diperbuat dari besi atau diperkukuh dengan konkrit mahupun batu. Allah kurniakan kami sekeping hati yang sarat dengan perasaan kasih, sayang, benci, suka, duka, hiba dan sama seperti orang lain. Bezanya kami ibu bapa yang mempunyai anak CACAT sebagaimana dalam fikiran hampir sebahagian daripada masyarakat di sekeliling kami. Meskipun sudah cuba menahan agar air mata jangan gugur tatkala membaca surat terbuka Kak Pah untuk Encik Safuan….mama gagal Haziq sayang…mama GAGAL!! Hati mama tersentak dan tercuit juga. Maafkan mama kerana mungkin kelihatan lemah namun masih mampu mengukir senyum di bibir, insyaAllah….

Untuk semua yang sedang membaca…biar mama bercerita dari hati yang tak berapa nak dalam sebab tak semua akan memahami, mengerti mahupun empati. Cuma mohon cuba letakkan diri Tuan-Puan sebagai ‘mama’ dalam coretan kali ini. Along Nadia…anak Kak Pah yang berusia 19 tahun ketika ini hanya dikenali kalau tak silap pada tahun 2012. Sewaktu gathering kami ibu bapa yang memiliki anak-anak syurga di Shah Alam. Meskipun sebelum itu hanya berkenalan di alam maya, kami ibarat satu keluarga apabila bertemu bertentang mata dengan teman-teman sekasut. Rasanya Alonglah anak istimewa paling dewasa di kalangan anak-anak kami. Macam mana mahu melupakan Along? Sukar sekali.Anak manja yang suka menjerit, tiba-tiba memeluk dari belakang, baling-baling barang, tarik-tarik baju…siap tepuk punggung mama! Padahal memang tak pernah jumpa pun sebelum itu. Bila kami katakan anak-anak ini adalah anak-anak syurga, kami memang maksudkannya kerana kami yakin setiap kata-kata yang keluar dari mulut kami selagi ianya baik, ia adalah doa dan doa ibu sangat makbul. Ada sesiapa nak membantah?

Mama tak boleh nak membandingkan pengalaman Kak Pah dalam membesarkan Along. 19 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Bak kata Kak Pah…kalau anak dara seusia Along tu…macam-macam rutin harian yang boleh dilakukan. Melepak, sambung study, silap-silap ada yang dah kahwin muda. Tapi Along masih belum mampu mengurus diri, bercakap apatah lagi. Luahan semua berasaskan ekpressi dan interpretasi yang hanya mampu difahami oleh kedua ibu dan ayah yang diamanahkan menjaga wanita syurga ini. Hebatnya mereka dalam menguruskan segala keperluan Along. Siapa mahu mendapat anak yang CACAT? Siapa mahu? Tolong angkat tangan dan jujur sekiranya mahu. TAKNAK kan? TAK MAHU kan? Semua ibu bapa yang menantikan kelahiran permata hati pastinya berdoa agar mendapat anak yang sempurna sifatnya, sempurna akalnya, sempurna segala-galanya. Tak ada seorang pun yang mahu menerima anak CACAT. Tetapi…..kita terlupa yang kita hanya hambaNya yang tidak boleh menolak ketentuan dariNya kerana pasti Dia Maha Mengetahui setiap apa yang ditentukan dalam perjalanan hidup setiap hambaNya. Anak-anak ini sudah mengikat perjanjian dengan Allah sejak di Luh Mahfudz lagi. Yakinkah mereka mahu diturunkan ke dunia? Maka Allah carikan mereka penjaga yang benar-benar dapat menjaga amanah ini. Bukan sekadar ujian kepada anak CACAT ini, malah kepada penjaga, ahli keluarga dan setiap insan di sekeliling mereka. Allah tidak sekali-kali memberikan ujian kepada hambaNya di luar kesanggupan hambaNya melalui ujian tersebut. Subhanallah!!

Menyoroti kelahiran Aiman Haziq bin Ruzaini, anak syurga mama pula…

DSC03121

20131029_071425

20131029_071350

suka Haziq main buai ye...

suka Haziq main buai ye…

Lihatlah wajah Aiman Haziq sepuasnya….lihatlah ke dalam hati kecil anak ini. Pernahkah dia minta dilahirkan CACAT? Pernahkah dia minta dilahirkan lembik tubuhnya? Pernahkah dia minta matanya sukar untuk melihat? Pernahkah dia minta agar bibirnya belum mampu berbicara? Adakah pernah dia meminta tangannya masih belum mampu menyentuh pipi mamanya? Adakah pernah dia meminta tangannya masih belum mampu memeluk erat tubuh mama dan ayah seperti mana abang dan kakaknya? Adakah pernah dia meminta dilahirkan begitu? Pastinya tidak bukan? Siapa mama untuk menolak bahawa kamu hadiah paling indah dalam hidup mama sayang….siapa juga insan-insan yang begitu lancang mengeluarkan kata-kata yang begitu tajam menikam? Mereka belum tentu pernah melalui apa yang kami rasakan.

Pernahkah bertanya apa perasaan kami tatkala mendapat tahu anak kami CACAT? Pernahkah bertanya betapa sensitifnya perkataan CACAT itu hinggakan telinga kami sudah jadi tuli dan lali mendengarnya? Pernahkah tahu dan merasa susah payah kami? Pernahkah terbangun setiap malam khuatirkan keadaan anak yang tidak menentu?Pernahkah tahu letihnya kami berulang alik ke hospital dengan macam-macam temujanji? Pernahkah tahu bagaimana kami berkorban untuk anak-anak ini? Pernahkah tahu bagaimana perasaan kami tatkala anak-anak kami demam, diserang sawan bahkan ada ketika hampir berada di ambang kematian? Bolehkah bayangkan perasaan kami ketika itu? Bukan mama nak membuka pekung sendiri sayang tetapi inilah yang perlu ‘dibentangkan’ agar minda insan-insan yang dangkal hatinya ini dapat dibuka. Kalau tidak duduk di dalam kasut kami, berfikir sejenak sebelum berbicar kerana kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang. Terlajak perahu boleh diundur..terlajak kata…jadilah insan yang budiman, jangan hanya tahu membaling batu dan menyembunyi tangan semata.

Tatkala melihat tangisan anak kecil ini, kadang-kadang tanpa tahu puncanya…macam-macam perasaan yang timbul. Apabila melihat dia ketawa seakan-akan ada yang mengagah…mam juga ada kalanya tertana-tanya mengapa dia begitu..sukar hendak dijawab mahupun ditafsirkan. Namun apabila melihat senyumannya…Allahu Robbi…hilang segala kepenatan, hilang segala lelah…hilang segala duka lara yang bertandang…..senyumannya ibarat penghapus resah gelisah, penghapus nestapa, penghapus segala yang menyentuh rasa di jiwa.

Anak ini mengajar ibu bapanya erti redha dan . Pertamanya menerima hadiah ini sebagai ketentuanNya yang perlu dijaga sebagai amanah yang besar. Keduanya…menghadiahi ibu bapanya dengan kasih sayang yang tiada taranya. Inilah anugerah yang menguji sejauh mana ikatan kasih sayang mama dan ayah. menguji kasih sayang antara adik beradik dan ahli keluarga. Anak ini juga mengajar erti sabar dan tabah. Menghadapi kerenahnya, sakit peningnya, urusan hariannya, temujanjinya…makan minumnya..semuanya dilalui dengan kesabaran. Anak ini juga menghadiahi kedua ibu bapanya dengan kekuatan yang datang dari segenap arah. Usah ditanya bagaimana kekuatan itu muncul kerana semuanya rahsia Dia. Mama masih belum puas untuk mencium, menggomol, mencubit, mendukung, menyuap makanan, mendodoinya waktu tidur seperti anak kecil yang masih berusia 4-5 bulan. Usianya LIMA TAHUN…pernahkah dia meminta perkembangannya hanya seakan anak berusia 4-5 bulan? Pastinya dia tidak pernah meminta namun redha apabila DIA memberi……

Wahai insan-insan di luar sana..kami tidak mengharap wang ringgit kalian untuk meneruskan kelangsungan kami dalam meneruskan perjuangan membesarkan anak CACAT kami ini. Kami tidak mengharapkan sumbangan kalian untuk melancarkan perjalanan hidup kami. Kami hanya mengharapkan pengertian dan empati daripada kalian. Kalian harus belajar menikmati dan menghayati istilah empati itu untuk lebih memahami dunia anak CACAT kami. Ya…anak kami CACAT…anak kami kurang upaya…anak kami tidak sempurna…SO WHAT?? Tepuk dada..tanyalah hati dan mintalah minda berfikir perkara yang positif dan baik-baik untuk anak-anak syurga kami….

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s