Cerita Alam Impian (Siri 1)

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua pembaca dan pelawat laman ceritahaziq.

Sebelum memulakan bicara, saja nak bagitau…Super Haziq sekarang berada di Canting, Alam Impian, Shah Alam. Kali pertama dengar nama tempat Alam Impian pun dah buat mama teruja. Inikan pula benar-benar berada di Alam Impian! Entri hari ini alhamdulillah dapat dicoretkan kerana line internet di sini sangatlah ‘menyedihkan’…huhuhuhu. Al-maklumlah kawasan perumahan baru. Bak kata perawat di sini, tunggu Astro tak sampai…tunggu Unifi pun tak mari…silap-silap UFO yang datang…..Nak cari line telefon pun punyalah sedih..kesot sana kesot sini, dok bucu sana..kalih tang sini…dapatlah satu bar…redha jelah….

Sebelum nak sampai ke mari, mama sebenarnya dah lama menunggu perawat stimulaterapi yang lebih mesra dengan panggilan Mak Ija turun ke Johor namun kepadatan jadual beliau tidak memungkinkan beliau untuk turun ke Johor dengan kerap. Mama akur dengan situasi itu. Tatkala mendengar Mak Ija buka pusat rawatan di Shah Alam, hati sudah meronta-ronta untuk pergi mendapatkan rawatan untuk Super Haziq. Mengapa mama sanggup ke Shah Alam? Mama melihat kesan perkembangan positif Super Haziq dengan rawatan ini dan mama sangat percaya rawatan alternatif sangat membantu dalam usaha pemulihan Super Haziq mama. Mama dapat melihat Super Haziq ketawa mengelekek, mama dapat melihat senyuman yang sering bermain di bibirnya dan mama dapat meredakan resah di hati mama dan Super Ayah apabila serangan sawan semakin berkurangan.

Super Ayah mahukan kepastian mama, sanggup ke mama berlama-lama di Shah Alam. Sudah dicongak-congak dan dihitung-hitung, mama akan berada di Shah Alam selama 10 hari untuk rawatan intensif Super Haziq. Mama nekad, apa sahaja aktiviti dalam waktu tersebut memang mama buat tak nampak sebab hanya inilah masa yang mama ada untuk fokus pada rawatan intensif Super Haziq. Sepuluh hari setahun sahaja! Mama memegang pada ” untuk mendapatkan sesuatu, mama terpaksa lepaskan sesuatu”. Meskipun apa yang dilepaskan itu juga penting, namun apa yang mama ingin dapatkan ini pentingnya melebihi apa yang mama lepaskan dan mama tidak ralat sama sekali terpaksa melepaskan apa yang perlu dilepaskan. Biar apa orang kata, yang melaluinya ialah mama. Mereka hanya tahu bercakap tetapi mereka tidak melalui setiap detik yang mama lalui. Kalau nak fikirkan kata-kata orang memang sampai bila-bila pun tak akan berhenti. Hendak bercakap..bercakaplah asal tak sampai menyusahkan mama, itu sudah cukup buat mama.

Berbalik kepada perjalanan ke Alam Impian…kami bertolak pada pagi 9hb. Beberapa hari sebelum itu Super Haziq demam. Risau dibuatnya sebab takut perancangan tergendala namun alhamdulillah tiba harinya kondisi Super Haiq membaik. Sepanjang jalan Super Haziq tak mahu tidur, risau juga sebab perjalanan agak jauh. Excited tengok pemandangan agaknya. Sememangnya anak-anak ini juga punya emosi tersendiri. Super Haziq memang suka naik kenderaan. Kalau sebelum ini pernah balik ke Segamat pun tak tidur..tapi kali ini sebenarnya mama mengharapkan Super Haziq tidur supaya tidak kepenatan, rupanya tinggal impian…itu belum lagi sampai ke Alam Impian!!Kami berhenti rehat di Pagoh. teringin pula nak makan manggis…tengok manggis tu macam sedap saja rasanya. Nampak buah jambu pun sedap saja….mama ni memang pantang nampak buah-buah. Sehari kalau tak makan buah terasa seakan tak lengkap sahaja hidup..hihihi..maka belilah buah manga, jambu, dokong dan manggis untuk bekalan sepanjang jalan.

Super Haziq pula seperti biasa pantang sebut pasal makanan, mulutnya pasti berdecap-decap. Mama kunyah jambu dan cuba suakan ke mulutnya…eh makan!!! Menganga-nganga minta lagi! Alhamdulillah!! Satu perkembangan lagi! Takutlah juga nak suakan banyak-banyak…buat-buat rasa sudahlah. Mama kupas pula manggis…seakan ternampak-nampak, mulutnya berdecap lagi meminta. “Eh buah manggis ni masam…menjerit kalau bagi ni nanti”, hati mama dah berkata-kata.

menjeling buah manggis...bila nak dapat ni....

menjeling buah manggis…bila nak dapat ni….

sekali dia dapat....

sekali dia dapat….

Baru betul mengences!!

Baru betul mengences!!

Mama memang tak sangkalah Super Haziq nak makan buah manggis sebab selalunya kalau masam-masam ni dia menjerit sekuat hati. Kali ni boleh makan macam tu aje? Macam tak ada rasa bersalah je…macam sedap sangat je….Mama dah muncul taman dalam hati dah waktu ni. Perjalanan diteruskan. Memang nampak keterujaannya sebab agaknya Super Kakak dan Super Abang tak ikut, jadi dia dimanjakan.Kalau tidak pasti akan kedengaran suara riuh rendah, bergaduh berperang dalam kereta. Kali ini yang ada hanya suara mama dan Super Ayah. Oh indahnya dunia….kata Super Haziq (agaknyalah….)

Menikmati pemandangan alam....

Menikmati pemandangan alam….

20131209_111526

Tak teruja namanya ni?

Sampai di Alam Impian lebih kurang pukul 2.30. Angkat barang, rehat sekejap…terus kononnya mahu cari tiket bas untuk Super Ayah.Super Ayah cuma menghantar kami dan akan balik semula ke JB . Kenderaan ditinggalkan di Alam Impian supaya mudah untuk mama ke sana sini. Sampai di stesen bas lebih kurang jam 5 petang dengan harapan ada tiket bas malam supaya dapatlah kami cari sikit barang keperluan, isi gas dan sekali lagi ! harapan tinggal impian!! Rezeki Super Ayah…terus dapat tiket dan kebetulan bas belum sampai. Uh…nampaknya mama memang kena jadi Super Mum betul…semuanya akan dilakukan sendiri. Nak cari jalan pulang ke Alam Impian…beli barang keperluan dan isi gas UNSER yang akan jadi kuda tunggangan yang paling setia. Tawakkal…mujur dah di setkan Alam Impian pada ‘favourite’ di GPS…lagi pula Super Ayah memang tahu mama ‘independent’ cuma yelah…hati ni dup dap dup dap juga sebab bukan biasa di Shah Alam. Pertama kali bersendirian dengan anak!! Kuatkan hati..kuatkan semangat..YAKIN BOLEH!! Insyaallah….Tiba-tiba rasa kalau boleh tak mahu benarkan Super Ayah balik……Namun dua orang anak tipikal yang ditinggalkan juga perlu diberikan perhatian. Sementelah 10hb, Super Kakak akan menyambut hari lahirnya yang ke-8 dan pertama kali juga mama tiada bersama-sama untuk menyambutnya. Mama bersyukur kerana Super Kakak memahami apa yang mama lakukan. Meskipun sayu bila mendengarkan suaranya yang sayu ditinggalkan, namun kesayuan itu sudah terubat dengan sehelai tudung hadiah pra harijadinya….

Tinggallah mama dua beranak. Bermulalah perjuangan sebenar mama. Tiada Super Ayah untuk bergantung harap dalam tempoh rawatan ini. Semuanya harus dilakukan sendiri.Super Ayah bimbang juga selama mana mama mampu bertahan tetapi mama yakinkan Super Ayah yang mama mampu lakukan. Doakan sahaja mama terus kuat! Malam itu sesi pertama Super Haziq untuk rawatan stimulaterapi. Sehari perlu melalui tiga sesi rawatan urutan. Menangis usah dikira namun mama sudah berhati batu. Hati kering kata orang…Mama serahkan pada Mak Ija, buatlah apa yang patut….Tak ada perkataan yang mampu diungkapkan hanya…

Enjoying the pain...

Enjoying the pain…

Memang sakit tetapi demi sebuah survival…mama yakin Super Haziq mampu bertahan. Super Haziq mampu melalui semua ini demi kebaikanmu sayang…Tiada sayu di hati mama, tiada lagi rasa kasihan, tiada lagi rasa ala manja-manja mama….kerana mama tahu mungkin ini salah satu rawatan pemulihan terbaik untuk anak syurga mama. Panjang lagi masa kita di sini sayang. Nikmati hari pertama ini dan episod hari seterusnya akan menyusul dan sehingga hari ini, diam tak diam sebenarnya sudah masuk hari keempat kita di sini..hanya tinggal dua minit untuk menginjak ke hari yang baru…insyaalah mama akan terus mencoret setiap perkembangan Super Haziq sepanjang berada di sini. Semoga talian internet baik-baik sahaja dan semua di luar sana yang mengikuti perkembangan Super Haziq mama akan terus dapat mengetahui perkembangan dari hari ke hari rawatan Super Haziq. Setakat ini dahulu catatan untuk perjalanan hari pertama. Episod seterusnya akan menyusul…tunggu!!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s