Apa dicari?

Assalamualaikum…

Salam penuh kebahagiaan buat semua pengunjung laman ceritahaziq yang masih tak putus-putus meluang masa untuk membaca dan mengetahui apa cerita Super Haziq mama. Alhamdulillah…sedar tak sedar, sudah lebih 30, 000 view di laman ceritahaziq ini. Sudah 3 hari 2013 ditinggalkan dan dalam sedar tak sedar juga sebenarnya masa semakin pantas berlari meninggalkan kita. Hari ini Jumaat pertama tahun 2014. Dapatkah kita bertemu Jumaat akan datang? Wallahua’lam… Masih belum terlambat rasanya mama mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi buat semua pembaca dan pengunjung laman ceritahaziq. Jangan sampai terlupa tahun Hijrah pula ye teman-teman….Tahun baru, azam lazimnya berganti baru. Dua tiga hari lepas ada juga mama terbaca entri sahabat-sahabat yang meneruskan azam “long term” yang telah disetkan untuk beberapa tahun ke hadapan. Bagus juga tu kan…tidaklah asyik bertukar azam setiap tahun. Masuk saja tahun baru, sibuk nak bertanya azam baru….apa yang penting biarpun azam kita sama sejak dahulu kala hingga ke hari ini dan masa akan datang, meskipun mungkin hanya ada sedikit perubahan, yang penting kita istiqomah….

Hmmm…bercerita tentang Super Haziq kesayangan mama ni…tahun 2013 adalah tahun yang mama rasa membahagiakan mama dengan perkembangan Super Haziq. Walaupun perkembangan itu “sangat kecil” pada pandangan mata kasar orang lain, namun ianya “SANGAT BESAR” bagi mama yang sememangnya menantikan setiap detik perkembangan Super Haziq yang mama cintai ini…. Mama dapat melihat Super Haziq ketawa macam budak-budak tipikal yang lain, mama dapat lihat super Haziq cuba memalingkan badan daripada posisi meniarap, mama dapat merasa genggaman tangan Super Haziq yang bertambah kukuh, mama dapat melihat kaki Super Haziq mula kurang ‘spastiknya’, mama paling bahagia tatkala melihat sawan Super Haziq yang semakin berkurangan!! Enam bulan terakhir 2013 adalah detik-detik bahagia mama. Seingat mama, sepanjang enam bulan terakhir itu Super Haziq hanya diserang sawan sebanyak 4 kali!! Berbeza jika dibandingkan enam bulan sebelumnya Super Haziq diserang sawan 3-4 kali sebulan. Berbeza dengan bulan-bulan sebelum itu serangan sawannya setiap hari sehingga pernah diserang sebanyak 10 kali dalam masa SEJAM!!! Allahu Akbar!!! Setiap kali serangan sawan, Super Haziq akan menangis,menahan nafas sehingga mukanya kebiruan dan ada ketika serangan yang kuat, dapat dilihat lidahnya menjadi pendek dan kebiruan. Pada ketika itu mama berharap agar kesakitan itu dihentikan, kerana mama tahu sangat sakitnya serangan sawan yang menyebabkan kekejangan tubuhnya yang kecil itu. Mama berdoa agar Allah beri peluang untuk mama terus bersama Super Haziq mama. Hakikatnya, kondisi anak-anak ini ibarat “time bom” yang boleh meledak bila-bila masa dan kita mungkin kehilangannya. Sedih, sukar menerima namun itu hakikat yang perlu dipelajari untuk diterima dan mungkin buat masa ini kami belum mampu menerima seandainya time bom ini meledak. Mama masih belum puas mencurah kasih, mencium, memeluk, mencubit, menggomol, menyuap, memandikan, memakaikan pakaian, mengurut dan banyak lagi moment yang masih mama rindukan. Perasaan yang hadir sukar digambarkan. Syukran Ya Robb yang masih meminjamkan anak kecil ini untuk mama, Super Ayah, Super Kakak dan Super Abang berbahagi kasih dan pengorbanan dalam perjuangan memberikan yang terbaik untuk amanah Allah yang satu ini! Terima kasih untuk lima tahun setengah yang indah ini!!

Bila difikir-fikir,tahun 2014 Super Haziq menjejak usia ENAM tahun. 23 Julai tarikh kelahiran Super Haziq. Selayaknya pada usia ini Super Haziq sudah mula memasuki alam pendidikan formal di tadika. Namun entah mengapa, mama tidak berasa cemburu dengan anak-anak tipikal lain yang sudah memulakan alam bermasyarakat atau bersosialisasi. Bermain bersama-sama, berlari, menjerit dan sebagainya. Mama akur dengan ketetapan Allah. Anak mama, buah hati pengarang jantung mama ini belum mampu untuk bersosialisasi. Masih lagi menjadi baby besar mama, masih lagi menjadi handbag termahal mama yang dekat di hati mama. Sensitif bila mendengar anak ini cacat lantaran terma itu bertukar menjadi anak istimewa, anak syurga, dan sebagainya. Hakikatnya, kebenaran itu perlu diakui dengan redha meskipun sukar. Kondisi anak mama ini tidak memungkinkan untuk diterima dalam sistem pendidikan. Mama akur dengan sistem tersebut. Bukan pendidikan yang mama dambakan buat masa ini sebaliknya proses pemulihan yang berterusan. Dalam pada mama berjuang untuk memulihkan Super Haziq, pada ketika inilah penerapan elemen pendidikan itu diselitkan secara tidak formal. Biarpun mungkin pandangan mama ini jelek pada pandangan orang lain, mungkin sedikit songsang daripada apa yang diperjuangkan oleh rakan-rakan sekasut yang lain…mama berpegang kepada realiti dan hakikat. Selagi anak ini tidak dipulihkan fungsi sistem tubuhnya, bagaimana mungkin dia dapat menyerap segala ilmu yang hendak diterima. Justeru, fokus mama ialah proses rehabilitasi yang bakal disusuli dengan sistem pendidikan. Inilah yang paling diinginkan mama untuk pihak-pihak berwajib memberi perhatian. Anak-anak cerebral palsy yang dikatakan tidak mampu berada di dalam sistem pendidikan itu akan LAYAK berada di situ seandainya wujud program/pusat pemulihan yang sistematik dan efisien sejak dari usia anak-anak ini kecil lagi. Namun kecewa di hati mama kerana sehingga kini kebajikan dan hak anak-anak ini masih dipandang dari ekor mata sahaja, bukan sebelah mata, apatah lagi dengan kedua-dua belah mata! Semoga akan ada perubahan yang memberangsangkan selepas ini…..

memek sedih

memek sedih

bila gembira

bila gembira

senyum bahagia

senyum bahagia

Melihat reaksi pelbagai Super Haziq ini sudah cukup membahagiakan hati kecil mama. Meskipun mama tidak sehebat mama-mama lain di luar sana dengan rutin yang pelbagai namun mama juga masih ada keinginan sendiri. Keinginan yang sentiasa berterusan. Semata-mata untuk perkembanganmu sayang. Mama cukup gembira tatkala urutan stimulaterapi yang mama cuba usahakan menunjukkan perubahan yang amat memberangsangkan. Mama bukanlah pandai mengurut tapi disebabkan tak mahu urutan itu terhenti setakat sewaktu rawatan, mama memerhatikan bagaimana perawat merawat Super Haziq dan sedikit demi sedikit mama aplikasikan di rumah. Jujurnya, tidaklah selalu tapi mama cuba pastikan tidak terputus. Terima kasih buat Mak Ija yang sudi merawat Super Haziq mama. Biarpun ada ketikanya tubuh sendiri sudah tidak mampu bertahan, namun tetap digagahkan demi insan kesayangan. Kadangkala sampai terlupa bahawa diri sendiri memerlukan rehat, badan juga bukanlah robot yang harus bekerja tanpa henti. Tatkala Allah memberikan peringatan supaya ‘tomakninah’, barulah mama menyedari bahawa mama bukanlah sekuat atau segagah mana. Mama bukanlah Super Mum yang boleh dibanggakan. Ada kalanya mama tertewas dengan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan. Ada masanya mama kecundang dengan emosi yang turun naik dan ada ketikanya mama boleh bertahan sehingga sukar digambarkan dari mana datangnya sebuah kekuatan.¬†Jujurnya, mama cuma manusia biasa. Selagi bibir ini bisa menguntum senyum, selagi itulah insan-insan di luar sana tidak akan dapat menyelami luka dan sarat tekanan atau cabaran yang ditanggung. Mama sentiasa mengingatkan diri….”LA TAHZAAN….INNALLAHA MA ‘ANA”~~~Jangan bersedih…Allah bersama kita. Sentiasa mama ingatkan diri supaya jangan terlalu bersedih. Anggap sahaja setiap cubaan itu sebagai cabaran, bukanlah masalah. Andai ia masalah sekalipun, mama cuma ingatkan diri bahawa masalah juga datangnya dari Allah, maka bersangka baiklah denganNya. In sha Alah, tiada kedukaan, tiada keluh kesah dan tiada kerisauan di dalam meniti perjalanan yang masih banyak liku-liku yang akan ditempuhi.

Hari berganti hari, minggu bertukar minggu, bulan berganti bulan dan tahun terus bertukar. Semua orang memasang impian dan angan-angan. Tahun ini mama memasang impian untuk menambah sesi terapi Super Haziq memandangkan terdapat satu pusat rehabilitasi dan terapi yang baru dibuka di Pasir Gudang, alhamdulillah! Mama berhasrat benar untuk membawa Super Haziq menunaikan umrah tapi kena tunggu dana yang cukup ye sayang…..Mama sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua sahabat yang telah menjejakkan kaki ke Baitullah dan mendoakan yang terbaik untuk Super Haziq mama. In sha Allah ada rezeki kita akan sampai juga ke sana sayang….Mama nak ambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada insan-insan yang telah banyak memberi cetusan, idea dan semangat antaranya ahli keluarga yang dikasihi, sahabat-sahabat sekasut, rakan-rakan seperjuangan dalam menyahut cabaran pengajian, Ustazah Nor Aziah serta En Zaini Abas yang telah benar-benar memberikan cetusan semangat dan membuktikan kehebatan Al-Quran untuk anak syurga mama. Ramai lagi yang tak mama tuliskan nama kalian satu persatu namun sesiapa sahaja yang bergelar sahabat mama dan pernah mengenali mama, doa kalian adalah hadiah terindah buat mama dan Super Haziq untuk terus berjuang. Apa lagi yang mama mahu? Apa lagi yang mama cari? Mama tidak meminta terlalu banyak…..

Mama sentiasa memanjat doa agar terus diberikan peluang oleh Allah dengan meminjamkan Super Haziq selama yang boleh untuk mama. Mama pohon beroleh kesihatan yang baik, rezeki yang berlimpah ruah dan barokah untuk mama memberikan yang terbaik untuk Super Haziq dan mama mohon agar diberikan kekuatan serta semangat yang tidak putus dalam menunaikan amanah Allah ini. Pencarian mama tidak akan berhenti untuk Super Haziq. Pencarian mama masih belum bertemu titik noktahnya melainkan salah seorang daripada kami kembali kepada Sang Pencipta. Sehingga detik itu tiba, mama akan berusaha melalui hari-hari mendatang dengan harapan dapat terus melaksanakan amanah dengan sempurna agar dapat berpimpinan dengan Super Haziq di taman-taman syurga. Amiiiin….doakan mama ye sayang…..

Semoga 2014 ini membawa rahmah yang berterusan buat Super Haziq dan keluarga kami. Semoga segala urusan dipermudahkan. Begitu juga kepada kalian yang membaca catatan mama kali ini. Semoga Allah lancarkan urusan kalian, Allah bukakan pintu rezki dah rahmatNya yang seluas-luasnya dan sentiasa dilindungiNya saban ketika….semoga perjuangan ini tetap berada di landasan ISTIQOMAH dan mama akan berusaha sebaik mungkin kerana “PERJUANGAN MASIH BELUM SELESAI”……

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s