2014 yang berlalu…

Assalamualaikum dan salam penuh kasih sayang buat semua pengunjung laman ceritahaziq.

Haziq tanya apa khabar….Haziq tanya apa khabar….Haziq tanya apa khabar, semua….Semoga semuanya berada di bawah lindungan dan kasih sayang Yang Maha Esa. Hmmmm….diam tak diam sudah 11 hari kita berada di tahun 2015. Hari ini mama berusaha mengetuk papan aksara di depan mata selepas hampir setengah tahun laman ceritahaziq ini terbiar tanpa sebarang seliaan, kemas kini mahupun perkongsian cerita. Adakah yang masih tertunggu-tunggu cerita dari mama ni ye? Maafkan saya kerana sudah lama membiarkan jemari ini tidak menari. Banyak kisah yang mahu dikongsikan namun hendak diputarkan setiap detik dan cerita, tidak mampu rasanya untuk ditaipkan kata demi kata.

Baru seperenggan, bahu sudah terasa tegang. Inilah antara sebab mengapa saya jarang berada lama di hadapan komputer dan tidak dapat memberi fokus untuk menghasilkan penulisan yang berjela-jela panjangnya. Namun saya gagahkan juga. Apabila saya buka semula laman ceritahaziq dan melihat banyak mesej/respon yang tidak berbalas, terasa bersalah menjengah dan saya kira saya perlu meneruskan apa yang telah saya mulakan pada tahun ini. Teruskan menulis dengan harapan ada sesuatu yang boleh saya kongsikan tentang Aiman Haziq dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Selain itu, saya masih memasang angan untuk menghasilkan sebuah travelog perjalanan seorang anak istimewa dengan kecacatan kromosom.

Untuk catatan pertama tahun 2015 ini, saya hanya ingin kongsikan sorotan kisah Aiman Haziq dalam setengah tahun terakhir 2014. Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang menantikan perkembangan anak ini dapat melihat perjalanan anak ini. Bermula Jun 2014 (kalau tak silap), saya menambah makanan tambahan untuk Aiman Haziq. Selepas melihat perubahan ketara sawan Haziq dengan pemakaian pelapik tilam Bio Velocity (BV), saya mencuba memberikan Haziq BV Alfalfa (Raja semua tumbuhan) yang turut mengandungi teknologi BV di dalamnya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana sejak gabungan dua produk BV ini, sehingga detik saya menulis entri ini, sudah hampir 8 bulan Haziq tidak diserang sawan! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Perkembangan yang sangat mengujakan!. Namun begitu, berdasarkan sejarah lampaunya yang diserang sawan seawal usianya dua hari, kami tetap berjaga-jaga kerana sawan boleh hadir tiba-tiba tanpa dijangka. Meskipun begitu, saya dan suami tetap punya sebab untuk tersenyum. Alhamdulillah! Allahuakbar! Tidur malam kami semakin lena berbanding suatu ketika dahulu ketika kami terpaksa tidur bergilir-gilir, bimbang Haziq diserang sawan. Semoga episod tidur berganti-ganti ini tidak menghantui kami lagi selepas ini.

Haziq juga sudah bertukar pengasuh. Betapa beruntungnya anak yang bernama Aiman Haziq ini kerana punya 3 ibu; iaitu saya, Ibu Aisyah dan Ibu Nora. Pengasuh terawal, Ibu Aisyah. Tiga tahun usia Haziq, Ibu Aisyah dikurniakan cahayamata dan tidak dapat menjaga Haziq. Rezeki Haziq dapat bertemu Ibu Nora yang pernah punya pengalaman menjaga anak istimewa persis Haziq. Tiga tahun juga Ibu Nora berpeluang mengasuh Aiman Haziq. Tahun lepas tatkala Ibu Nora mendapat peluang kerja dengan gaji yang lebih besar, Aiman Haziq dipulangkan kepada Ibu Aisyah. Kecil tapak tangan, padang taman perumahan itu Ibu tadahkan, kata Ibu Aisyah. Saya cuma mahu meneruskan misi untuk terapi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sementelah Ibu Aisyah memang seorang guru mengajar Al-Quran. Di samping itu, Ibu Aisyah juga mengasuh beberapa anak-anak jagaan lain, Justeru Aiman Haziq akan berada dalam persekitaran yang berbeza, boleh bersosial dan lebih terbuka (dengan caranya sendiri, insyaAllah). Alhamdulillah,hampir sebulan bertukar tangan….kelihatan Aiman Haziq lebih manja, makannya juga sudah tidak terlalu spesifik, asal sedap boleh saja. Paling seronok kalau sesekali saya bawa Aiman Haziq ke Kimiwa Cafe, pasti lempeng dan kuah sardin saya suakan ke mulutnya. Lagi seronok bila melihat Aiman Haziq berjaya menghabiskan sekeping lempeng! Badan kecil tetapi selera mengalahkan orang besar! Seronok melihat Aiman Haziq yang tidak cerewet sangat tentang makan. Paling seronok bila tahu Aiman Haziq sudah ada menu kegemaran. Pastinya, lempeng sardin, nasi goreng hitam dengan kicap dan telur, ikan singgang! Boleh habis sepinggan!

Tahun lepas juga saya memulakan sesi ‘home fisio’. Sasaran saya mahu buat setiap minggu tetapi bajet masih belum mengizinkan. Buat masa ini saya hanya mampu buat dua kali sebulan. Saya kira cukup baik berbanding sesi terapi di hospital yang hanya dapat dibuat dua bulan, sekali kerana pesakit yang terlalu ramai dan perlu menunggu giliran. Andai ada rezeki lebih tahun ini, saya berhasrat untuk melengkapkan sesi fisioterapi setiap minggu di rumah. Saya rasa semua ibu bapa yang memiliki anak-anak seperti Aiman Haziq memasang impian yang sama demi perkembangan anak-anak ini cuma yelah, banyak juga komitmen lain yang perlu disusun ikut keutamaan. Kadang-kadang terpaksa melupakan keinginan kerana mahu mengutamakan keperluan anak syurga. Bila menyentuh soal Aiman Haziq, saya tidak begitu berkira. Apa yang saya rasakan bagus, baik…saya akan berusaha untuk mendapatkannya! Biarlah orang nak kata apa pun, mereka yang tidak duduk dalam kasut saya pasti tidak akan mengerti. Kadang-kadang orang hanya pandai mengata atau bercakap belakang berbanding menghulurkan tangan untuk memberikan semangat agar terus mampu bertahan. Itulah lumrah yang harus diterima. Belajar menerima apa saja seadanya. Belajar untuk lebih mensyukuri nikmat yang ada.

Saya masih menyimpan angan untuk meneruskan sesi stimula untuk Aiman Haziq. Kalau boleh semua benda yang disyorkan mahu dibuat tetapi ada masanya kena ‘sedar diri’. Ada ketikanya wajar untuk muhasabah diri. Sejauh mana kekuatan yang ada. Sejauh mana kuatnya tubuh untuk terlalu lasak. Memanglah sekali pandang empunya tubuh ini ‘sihat’, namun hakikatnya kita manusia yang sering merasa lelah. Setiap kali terasa tubuh terlalu letih, ayat ‘dunia memang tempat untuk berpenat’ inilah yang menjadi azimat untuk kembali menggagahkan diri. Banyak lagi harapan dan sasaran untuk Aiman Haziq pada 2014 yang masih belum direalisasikan dan akan disambung tahun ini insyaAllah. Semoga Allah mudahkan!! Amiiin Ya Robbal A’lamiiiiin…

Oh ya, ada satu lagi cerita Aiman Haziq yang mahu saya kongsikan pada akhir tahun 2014. Setelah beberapa ketika cuba mendapatkan slot untuk terapi pertuturan Aiman Haziq dengan seorang terapist pertuturan yang jauh datangnya dari Utara, akhirnya kami berjaya menempatkan Aiman Haziq dalam senarai. Kredit kepada sahabat di Kulim, Kak Ju yang mengusahakan pertemuan kami. Memang teruja bila melihat perkembangan pertuturan Muhamad Aiman dalam masa yang disasarkan dan membuatkan saya benar-benar teruja untuk mendapatkan sesi terapi pertuturan bersama Mr. Mano. Sanggup kami dari JB bergerak ke KL selepas subuh, sampai tepat pada waktu sesi terapi dan bergegas pulang sejurus usai sesi terapi. Sejak hampir tiga tahun lalu kami tak buat ‘kerja gila’ ini. Sarapan di Pagoh, makan tengahari di KL dan makan malam di Machap atau mana-mana yang sempat. Mengapa? kerana temujanji neuro Haziq sudah dipindahkan ke HSI. Hanya tinggal temujanji metabolik dan klinik mata yang hanya setahun sekali di HKL. Jika tidak, dulu hampir setiap sebulan kami buat ‘kerja gila’ berulang alik ke rumah kedua kami, HKL. Bila dah lama tak buatlah yang jadi sedikit huru hara. Perjalanan 4-5 jam boleh jadi 10 jam!! Macam-macam hal….

Ok, kembali kepada cerita sesi terapi pertuturan. Aiman Haziq as usual, anak yang behave…baik saja waktu terapi. Boleh ketawa dan hanya menangis sekejap. Mr. Mano seorang yang sangat humble, sangat peramah, tidak lokek dengan ilmu yang beliau punya berdasarkan pengalaman yang ada dan saya sudah ada senarai tugas atau latihan intensif untuk merangsang pertuturan Aiman Haziq sebelum pertemuan susulan pada Tahun Baru Cina nanti. So far, kelihatannya Aiman Haziq tidak ada masalah dengan pernafasan, cuma rangsangan perlu diberikan secara intensif di bahagian kotak suara dan beberapa bahagian sebagaimana dalam nota catatan saya tempoh hari. Seronok bila melihat Aiman Haziq mula mengeluarkan bunyi-bunyi dengan lebih kerap. Biarlah bising pun sebab saya tahu Aiman Haziq dalam proses menyerap bunyi sekeliling untuk ditiru. Semoga banyak lagi perkembangan positif boleh dicapai selepas 7 bulan otaknya tidak mengalami kecederaan atau kerosakan akibat serangan sawan. Itulah yang paling saya takuti. Hampir enam tahun saya berhadapan situasi ini hampir setiap hari dan saya berharap agar episod ini segera berlalu agar Aiman Haziq boleh terus tumbuh membesar dengan sihat, ceria dan gembira.

Dan bila tahun baru menjelma, saya penuh harapan agar impian untuk memasukkan Aiman Haziq ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti akan tercapai. Jika benarlah bangunan itu adalah bangunan PDK sebagaimana direncanakan, ianya PDK pertama di Parlimen Pasir Gudang dan saya akan berusaha memberikan Aiman Haziq persekitaran yang kondusif untuk perkembangan psikomotor, emosi dan sosialnya. Semoga anak ini sentiasa dilindungi dan mendapat redha Allah sepanjang masa. Doakan Aiman Haziq ye Tuan-tuan, Puan-puan…Saya tak tahu sehingga bila peluang untuk membuat kebajikan ke atas anugerah yang Allah pinjamkan ini dapat kami sekeluarga nikmati. Namun selagi nafas ini masih belum berhenti, saya akan cuba lakukan yang terbaik sebelum tiba masanya anugerah ini dipulangkan kepada Sang Penciptanya. Doakan saya dan keluarga saya agar selalu kuat dan sama-sama dapat mencurah kasih untuk Aiman Haziq.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk anak ini. Saya yakin terlalu ramai yang menyayanginya walaupun tidak pernah bersua muka. Inilah indahnya nilai dan rasa kasih yang Allah titipkan dalam seketul daging kecil dalam tubuh kita kan…Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

20131209_111526

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s