Genap 7 tahun. Allahuakbar!

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Sudah sebulan enam hari permata hati mama tinggalkan mama. 8 Mei itulah tarikh yang seakan merentap jantung mama sayang. Kalau hendak diceritakan satu persatu detik perjalanan terakhirmu, pasti air mata ini tidak mahu berhenti dan merembes laju.

Baru hari ini mama punya kekuatan untuk menulis di laman blog ceritahaziq. Mengenang kembali saat-saat kau masih dalam pelukan mama, air mata ini terasa begitu murah. Hari ini air mata mama mengalir lagi. Dada ini sesak lagi. Gara-gara satu aplikasi. Aplikasi itulah yang mendorong mama untuk menulis di laman blogmu ini sayang.

Mama terlihat satu aplikasi di facebook yang menawarkan aplikasi menukarkan tarikh Masihi ke tahun Hijrah. Mama tergerak untuk mencuba aplikasi tersebut. Setiapa tarikh lahir ahli keluarga kita mama cuba dapatkan tarikh dalam tahun hijrah termasuk Haziq. Mama cuba pula dengan tarikh pemergian Haziq dan pada waktu itulah mama terpempan. Terkedu. Terkesima. Sebak. Nafas seakan tersekat. Allahuakbar! Subhanallah! Hanya itu yang mampu mulut mama ucapkan berkali-kali…

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh kelahiran Aiman Haziq

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Tarikh Aiman Haziq pergi..

Genap 7 tahun mengikut tahun Hijrah! Aiman Haziq pergi tepat usianya 7 tahun pada 20 Rejab. Hanya hari yang berbeza. Perginya pada hari yang sungguh mulia. Penghulu segala hari. Speechless! Mama tak tahu apa yang ada dalam hati mama ketika tulisan ini mama coretkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia di sebalik kejadian.

Mama masih belum mampu menuliskan apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu. Semuanya berlaku terlalu pantas. Terlalu cepat. Masih terasa seakan mimpi. Namun mahu bercerita tentangnya, mama belum cukup kuat. Meskipun mama telah cuba menulis, namun mama masih belum mampu menoktahkannya. InsyaAllah apabila tiba masanya, mama akan terus menulis dan menoktahkannya. Ada kalanya seakan tidak mahu mempercayai namun janji Allah itu benar bahawa setiap makhluk itu pasti merasai mati.

Beruntung Aiman Haziq….beruntung sangat kamu sayang…kamu sedang berbahagia di alam sana. Kamu sedang berlari riang di sana duhai anak. Tiada lagi kesakitan. Tiada lagi tangis dan air matamu yang dapat mama lapkan. Tiada lagi senyum manja dan tawa riang yang dapat mama tatap dan dengar. Tiada lagi rengek manjamu bagaikan memahami apa yang mama ungkapkan. Tiada lagi semua itu. Yang tinggal hanyalah kenangan yang terpahat kukuh di sanubari.

Selamat jalan sayang…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s